Thursday, May 20, 2010

Berita ' Kristian tolak PAS ' salah


IPOH, 21 Mei : Merujuk Laporan Akhbar Sinar Harian 20/5/2010 (semalam), saya ingin menyatakan kekesalan kerana beberapa fakta yang kurang tepat dan cara pemberitaan yang tidak profesional.

Bahkan tajuk akhbar "Kristian Tolak PAS" (muka depan) dan Kristian tidak minat sertai PAS: Nizar" di halaman PK4 adalah tersasar daripada hakikat pertemuan yang berlaku dan tidak ada kenyataan seperti itu dilafazkan oleh DS Nizar semasa sidang akhbar tersebut.

Selaku moderator dialog tersebut dan salah seorang pimpinan PAS yang turut serta memberikan kenyataan akhbar saya ingin betulkan fakta-fakta berikut:

i/ Perjumpaan PAS Perak dengan pimpinan gereja-gereja seluruh Kinta adalah di atas jemputan PAS. Matlamatnya adalah untuk saling berkenalan dan memahami di antara satu sama lain.

ii/ Perjumpaan tersebut bukan untuk mengajak pimpinan gereja untuk menyatakan sokongan kepada PAS. Sebagai satu entiti agama, pihak gereja adalah dilarang terlibat dalam politik kepartian. Namun pihak gereja menyatakan mereka bebas menyatakan sikap tentang isu-isu keagamaan dan isu-isu kepentingan rakyat atau negara.

iii/ Tidak pernah mana-mana pimpinan gereja yang berucap sama ada menyatakan sokong atau tolak PAS. Kenyataan yang mereka keluarkan hanyalah mereka rasa berbesar hati dan menyanjung keterbukaan PAS untuk bersemuka dengan mereka walaupun PAS berhadapan risiko.

iv/ Dalam sesi dialog pihak gereja meminta penjelasan PAS tentang isu-isu - peranan ulama dalam memberi fatwa, isu hak keluarga yang ditinggalkan oleh suami yang memeluk Islam, isu hak rakyat bukan Islam dalam hal-hal minuman keras dan hiburan serta isu kenapa hingga kini orang bukan Melayu masih dilabelkan sebagai pendatang. Isu penggunaan kalimah Allah disentuh secara ringkas sahaja. Akhirnya pihak pimpinan gereja memuji kepimpinan Tuan Guru Nik Aziz, Menteri Besar Kelantan yang mereka sebutkan sebagai ahli kepada semua rakyat dan memastikan amalan kebebasan agama berlaku dengan baik di Kelantan.

v/ Di pihak PAS, kami berusaha untuk menerangkan konsep-konsep utama dalam hubungan antara agama yang menjadi prinsip-prinsip Islam iaitu - tidak ada paksaan dalam kepercayaan, Islam adalah agama rasmi negara ini, hak rakyat untuk mengamalkan agama masing-masing, prinsip-prinsip keadilan islam dan prinsip Pas tidak menerima perjuangan berasaskan perkauman.


DR. HJ KHAIRUDDIN BIN DATO' ABD. MALIK
TIMBALAN PESURUHJAYA PAS PERAK

Read more ...

Perkauman Umno bahaya

BUKIT MERTAJAM, 21 Mei: Sentimen perkauman yang dibawa oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) amat merbahaya jika ianya dibiarkan berleluasa dalam setiap kali pilihan raya diadakan, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu.

Menurut beliau, isu perkauman yang dimainkan oleh Umno dan BN banyak mempengaruhi rakyat kerana mereka tidak mendapat pendedahan yang sebenar.

Katanya, Umno dan BN pernah menggunakan sentimen itu dengan mendakwa sekiranya pembangkang seperti PAS, PKR dan DAP menjadi kerajaan, maka akan berlaku huru-hara dalam pemerintahan.

"Tapi mereka lupa di negeri Kelantan sejak tahun 1990, PAS memerintah negeri tersebut sehinggalah pada 2010 ini tiada berlaku huru-hara sepertimana yang mereka dakwa,” ujarnya semasa menyampaikan ceramah beliau di Bukit Teh, dekat sini malam tadi.

Begitu juga, tambahnya dengan negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat (PR) sejak Mac 2008 yang lalu, tidak ada huru-hara seperti mana yang mereka dakwa.

Menurutnya, huru-hara yang berlaku adalah kerana tindakan yang pemimpin Umno BN sendiri atur dan rancang seperti mana yang berlaku di negeri Perak.

“Dalam pilihan raya kecil Parlimen Sibu juga mereka menggunakan isu perkauman dengan menakut-nakutkan masyarakat di sana supaya tidak memilih PR. Tapi akhirnya senjata memakan tuan apabila isu yang mereka gunakan membuatkan mereka kalah," katanya.

Katanya lagi, PR perlu menggunakan strategi yang terbaik bagi mematahkan isu perkauman yang sudah menjadi sebati dalam perjuangan Umno dan BN.

"Oleh kerana itu, maka PR adalah sebuah pakatan yang memperjuangkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Kita adalah sebuah pakatan dan gandingan yang amat jauh bezanya dengan Umno dan BN yang ternyata tidak sesuai lagi untuk terus menjadi pemerintah dalam pilihan raya umum yang akan datang," katanya.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Timbalan Speaker Dun Pulau Pinang, Tan Hock Leong serta kepimpinan PAS, PKR dan DAP Bukit Mertajam.

Read more ...

Kenyataan Najib tidak bertanggungjawab

KUALA LUMPUR, 21 Mei: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub (gambar) menyifatkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai kerugian besar Sime Darby Berhad tidak menunjukkan sikap bertanggungjawab.

Ketika ditanya mengenai perkara itu semalam, Perdana Menteri berkata:

"'Kita perlu tengok dulu apa punca kerugian. Ini kita kena kaji sebelum kita boleh buat apa-apa tentang kebertanggungjawaban dalam soal ini".

“Sime Darby mengalami kerugian besar akibat lebihan kos berjumlah kira-kira RM1.6 bilion. Saya telah menyatakan sebelum ini bahawa Najib sebagai Menteri Kewangan adalah orang yang paling bertanggungjawab terhadap kerugian itu," kata Salahuddin.

Menurut beliau, berdasarkan laporan tahunan Sime Darby 2009, Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) mempunyai 39 pegangan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 14 peratus dan PNB sendiri 13 peratus. ASB berada di bawah PNB.

"Ia bermakna pegangan PNB dan KWSP dalam Sime Darby berjumlah 66 peratus dan kedua-duanya bertanggungjawab terus kepada Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri," kata beliau.

Rakyat, katanya, tidak boleh menerima penjelasan bahawa lembaga pengarah Sime Darby yang turut dianggotai oleh wakil-wakil dari PNB dan KWSP tidak menyedari awal-awal lagi kemungkinan kerugian yang akan dialami.

"Peniaga kecil pun membuat kajian kemungkinan (feasibility study) dan penilaian prestasi (performance appraisal), sebab itulah rakyat tidak boleh menerima jika lembaga pengarah Sime Darby didakwa tidak menyedari kerugian itu sejak dari awal lagi," kata Salahuddin.

Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, sejak dari awal lagi beliau mempersoalkan di manakah jawatankuasa audit dan akaun Sime Darby.

"Adakah jawatankuasa audit dan akaun itu tidak mengesan kerugian tersebut lebih awal?
"Jika mereka telah mengesan kerugian itu lebih awal dan melaporkannya kepada Lembaga Pengarah Sime Darby, apa yang dilakukan oleh lembaga pengarah GLC itu termasuk wakil-wakil dari PNB dan KWSP?" tanya Salahuddin.

Lebih dari itu, katanya, jika kerugian itu dikesan sejak dari awal lagi, adakah PNB dan KWSP tidak melaporkannya kepada Menteri Kewangan.

"Sebab itulah saya menyatakan sebelum ini, jika Perdana Menteri sebagai Menteri Kewangan tidak sedar kerugian yang sebegitu besar, sistem kebertanggungjawaban apa yang digunakan oleh kementeriannya?

"Tidak sedar bermakna kelalaian atau negligence dan negligence boleh dianggap breach of duty.
"Sebab itulah jika Perdana Menteri tidak sedar, beliau tidak layak menjadi Menteri Kewangan dan rakyat mesti menuntut beliau berundur.

"Jika beliau telah dilaporkan awal-awal tentang kerugian itu dan tidak berbuat apa-apa, adalah jelas beliau adalah sebahagian dari pihak yang bersalah atas kerugian itu dan beliau mesti berundur jika beliau seorang yang bertanggungjawab dan bersifat patrotik kepada negara ini," katanya.

Salahuddin juga meminta rakyat menyedari bahawa kerugian Sime Darby bukanlah yang pertama yang dialami oleh GLC dan tidak semesti yang terakhir.

"Sebelum ini kita mendengar kerugian Mas, Maybank dan sebagainya. Semua itu hakikatnya adalah simptom kepada penyakit sebenarnya iaitu pentadbiran Umno dan Barisan Nasional yang sarat dengan kelalaian, kepentingan sendiri, penyelewengan serta penyalahgunaan kuasa," katanya.

Read more ...

Kumpulan kompang baik untuk belia

CIMG3941.jpg picture by paspb

PARIT BUNTAR, 21 Mei : Sekumpulan anak muda kira-kira 20 orang dari Parit Sungai Labu Bawah menggunakan masa terluang mereka dengan menyertai kumpulan kompang. Kumpulan kompang ini yang diketuai oleh Khairul Hanafi ,20 .
Khairul yang sedang menunggu tawaran kemasukan ke universiti berkata, beliau bersama-sama remaja berlatih bermain kompang setiap hari.

" Bagi remaja yang bersekolah pagi akan berlatih pada waktu petang manakala yang bersekolah petang akan berlatih waktu pagi.
" Kumpulan kompang ini di bawah program Rakan Muda dan sering menyertai program-program di rumah kenduri kahwin dan majlis-majlis keraian lainnya" katanya
Ahli Parlimen Parit Buntar Dr Mujahid Yusof Rawa beserta pengiringnya, Jasni Ahmad dan Abdul Wahid Mat Deris berkesempatan melawat kumpulan ini dan menyatakan rasa gembira di atas sikap anak-anak muda di kampung ini yang mengisi masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah.
" Saya berharap kumpulan ini akan terus berkembang dan mendapat perhatian masyarakat setempat.

" Saya menyeru para belia di kawasan lain agar mengambil inisiatif yang sama bagi mengisi masa mereka yang terluang" katanya

Menurutnya, penyertaan dalam aktiviti sebegini akan dapat menghindarkan golongan remaja dari terjebak dengan aktiviti sosial yang membuang masa dan tiada faedah.

Read more ...

Cadangan cuti bersalin 90 hari ke mesyuarat Exco











KOTA BHARU , 21 Mei : Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Kesihatan, Wan Ubaidah Omar berkata, pihaknya akan membawa cadangan cuti 90 hari bagi kakitangan wanita Kerajaan Negeri dalam mesyuarat Exco nanti.

Beliau berkata, cadangan tersebut dapat memberi peluang kepada kakitangan wanita untuk berehat dan memberikan perhatian kepada bayi yang dilahirkan serta memberi peluang kepada golongan wanita untuk kembali pulih seperti biasa.

“Pihak kami bersetuju dan memberikan sokongan sepenuhnya terhadap permohonan tersebut dan usaha yang dijalankan Ke-satuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) dengan kerjasama Badan Bukan Kerajaan (NGO),” katanya ketika ditemui di sini.

Beliau berkata, usaha mendapatkan sejuta tandatangan daripada orang awam adalah langkah yang paling bijak.

Wan Ubaidah berkata, tujuan tersebut adalah untuk meminta pertimbangan Kerajaan Pusat menimbangkan pemberian cuti 90 hari kepada kakitangan wanita yang bersalin di negara ini.

Menurutnya, sebagaimana di negeri ini sebanyak 90 peratus kakitangan di peringkat sokongan (pengkeranian) adalah melibatkan wanita.

“Jadi dengan adanya kempen yang digerakkan itu kerajaan negeri pun akan berusaha ke arah cuti 90 hari bagi kakitangan wanita negeri ini dan saya akan membawanya kepada mesyuarat Exco nanti,” katanya.
SH

Read more ...

Protes judi bola seluruh negara





KUALA LUMPUR, 21 Mei : PAS menganjurkan sekurang-kurangnya lima perhimpunan di pelbagai tempat di seluruh negara esok bagi membantah tindakan kerajaan meluluskan lesen judi sukan.
Protes yang digerakkan Dewan Pemudanya itu akan diadakan di Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu.

Daripada kelima-lima negeri itu, perhimpunan di Terangganu dijangka terbesar, melibatkan sekurang-kuranngnya 3,000 orang.

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang (kanan) sendiri dijadual akan turut serta di perkarangan Masjid Pengedang Baru, Kuala Terengganu.

Bercakap kepada
Malaysiakini, ahli jawatankuasa PAS Terengganu, Azman Shapawi Abdul Rani berkata pihaknya tidak memohon permit untuk perhimpunan itu kerana ia akan dibuat "secara aman di dalam perkarangan masjid".

Menurutnya, demontrasi itu dijangka turut dihadiri kepimpinan Pemuda daripada parti lain dalam Pakatan Rakyat.

Sebelum ini, kerajaan secara
rasmi dilaporkan memberi lesen judi semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 kepada Kumpulan BERJAYA.

Tindaka
n itu dibantah pelbagai pihak, khususnya termasuk pakatan pembangkang dan NGO Melayu-Islam di Malaysia.

Sementara itu, Di Perak, Naib Ketua Pemuda PAS negeri Salman Salleh berkata kira-kira 2,000 orang dijangka menghadiri demontrasi di Masjid Sultan Idris Shah II di Ipoh bagi membantah keputusan kerajaan itu.

Umno juga dijemput

"Semua pertubuhan termasuk Umno, Pemuda Pakatan Rakyat dan NGO dijemput bersama kita untuk menzahirkan bantahan pemberian lesen judi," katanya.

Menurut Salman, demonstrasi itu akan diketuai oleh ketua Pemuda PAS negeri, Zawawi Hassan.

Di Negeri Sembilan, dijangka 1,500 orang akan menyertai demontrasi di Masjid Negeri Sembilan dekat Seremban selepas solat Jumaat.

Ketua Pemudanya Khairil Anwar Mohd Wafa berkata pihaknya turut menjemput pemimpin Pemuda Pakatan yang bukan Islam, termasuk Ketua Pemuda DAP Anthony Loke.

"Kita tidak pohon permit, kalau hendak tangkap, tangkaplah. Kita buat perhimpunan aman. Dulu masa (demonstrasi) membantah (firma perundin) Apco Worldwide tiada tangkapan pun," kata Khairil Anwar.

Di Pulau Pinang pula ketua Pemuda PAS Mohd Yusni Mat Piah berkata pihaknya menganjurkan demontrasi esok di hadapan Masjid Permatang Gajus, Permatang Pauh selepas solat Jumaat.

Perhimpunan aman tersebut dijangka seramai 1,000 penyokong Pemuda Pakatan, tambahnya.

Demonstrasi di 22 kawasan PAS


Di Selangor pula keadaan agak berbeza apabila tiada demonstrasi di peringkat negeri dianjurkan PAS.

Ketua Pemudanya Hasbullah Mohd Ridzwan berkata Pemuda PAS negeri telah mengarahkan 22 Pemuda kawasan mengadakan demontrasi itu sama ada esok atau Jumaat depan.

"Setakat ini Pemuda PAS kawasan Hulu Langat akan mengadakan demontrasi membantah keputusan kerajaan itu esok," katanya.

Hasbullah berkata, dijangka kira-kira 200 orang bagi setiap kawasan akan hadir dalam demontrasi itu.

Menurut pemimpin negeri yang dihubungi, kesemua perhimpunan esok dijalankan tanpa memohon permit polis kerana "ia adalah satu perhimpunan aman".

Difahamkan, pembangkang di negeri-negeri lain, Perlis, Kedah, Pahang dan beberapa kawasan di Selangor akan mengadakan demontrasi itu Jumaat hadapan.

Kemuncak kepada siri demonstrasi tersebut akan dilaporkan diadakan pada 3 Julai ini di Kuala Lumpur bagi menyerahkan memorandum bantahan mereka kepada Yang di-Pertuan Agong. Malaysiakini

Read more ...

Pendedahan Dr. Selvaa perlu disiasat bukan dihukum











PETALING JAYA, 21 Mei : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tunku, Lau Weng San mahu Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah (KPLW) melakukan siasatan terhadap Doktor V P Selvaa sebelum menghukumnya.

Ia berikutan tindakannya membongkar keadaan pesakit orang asli di sebuah hospital Orang Asli di Gombak.

Weng San berkata, disebabkan pendedahan itu, Dr Selvaa dikenakan surat tunjuk sebab oleh jabatan berkenaan pada 19 April lalu.

“Doktor Selvaa menerima surat atas tindakannya membongkar peristiwa itu dan dikatakan melanggar peraturan tetap kakitangan awam.

“Beliau juga difahamkan turut membongkar perkara itu ke Majlis Peguam Malaysia pada 11 Februari lalu dan mengatakan bahawa rawatan yang diberi kepada pesakit Orang Asli tidak memenuhi piawai yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Weng San berkata, tindakan Dr Selvaa yang berani itu diikuti dengan peristiwa tunjuk perasaan yang diadakan di hospital berkenaan pada 24 Februari lalu oleh lebih daripada 30 penduduk Orang Asli.

“Saya berasa kecewa dengan tindakan jabatan itu kerana tidak akan menyelesaikan masalah kesihatan yang dialami oleh golongan Orang Asli.

“Selain itu, masalah yang ditimbulkan Dr Selvaa itu berkait rapat dengan profesionalisme perkhidmatan perubatan di Malaysia dan sebagai seorang doktor perubatan yang bertauliah, beliau berhak untuk menyuarakan kepincangan dalam perkhidmatan perubatan kepada pihak yang berkenaan supaya tindakan pembetulan boleh diambil,” katanya.

Katanya, Dr Selvaa memilih untuk membongkar perkara itu kepada pihak luar kerana tidak melihat sebarang tindakan susulan daripada pihak berkenaan bagi memperbetulkan keadaan yang berlaku.

“Mereka harus menyiasat tuduhan yang dibuat dan mengenakan tindakan disiplin terhadap pegawai kerajaan dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang tidak menyelesaikan masalah yang dibangkitkan.

“Saya menyarankan kabinet dan Perdana Menteri campur tangan dalam hal ini kerana seseorang kakitangan awam tidak harus dipersalahkan hanya kerana beliau menyuarakan kebenaran,” katanya.
SH

Read more ...

Tiada lompat parti jatuhkan kerajaan PR Kedah








ALOR SETAR , 21 Mei : Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution menafikan khabar angin mengenai tiga wakil rakyatnya di Kedah akan lompat parti.

Beliau yakin dengan kesetiaan ketiga-tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terbabit dan tiada keperluan untuk mereka keluar parti kerana kepimpinan di Kedah berada pada tahap memuaskan

“Saya percaya wakil rakyat PKR di Kedah tidak akan keluar parti, seperti yang heboh dikatakan sekarang ini. PKR Kedah masih kuat dan tidak bermasalah,” katanya pada sidang media sebelum mengadakan perjumpaan dengan barisan kepimpinan PKR Kedah, semalam.

Saifuddin berkata, tujuan berjumpa pemimpin PKR Kedah sehingga ke akar umbi adalah untuk mengetahui situasi sebenar selain memantau keadaan supaya apa yang disebarkan tidak menjadi kenyataan.

“Lebih baik saya sendiri bersemuka dengan wakil rakyat terbabit dan bertanya apa sebenar yang berlaku, daripada hanya mendengar daripada pihak luar. Apabila berbincang dengan mereka, tak ada apa pun,” katanya.

Sebelum ini, khabar angin bertiup kencang di negeri ini bahawa dalam masa terdekat, tiga Exco PKR dan seorang ADUN akan melompat parti dan keluar daripada Pakatan Rakyat.

Mereka yang dikatakan akan berbuat demikian ialah S Manikumar (PKR-Bukit Selambau), Tan Chow Kang (PKR-Sidam), Lim Soo Nee (PKR-Kulim) dan Lee Guan Aik (DAP-Kota Darulaman).

Dakwaan ini timbul berikutan kenyataan yang dibuat Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin baru-baru ini, yang membayangkan peristiwa kejatuhan kerajaan Pakatan di Perak akan berulang di Kedah dalam waktu terdekat.

Saifuddin berkata, semua anggota parti hendaklah menjalin kerjasama sebaiknya dan menjaga persefahaman dalam kalangan ahli.

Mesyuarat itu turut membincangkan persediaan Kongres PKR di Pusat Dagangan Kelantan, Kota Bharu, 28 Mei depan.
SH

Read more ...

Wednesday, May 19, 2010

Polis lindungi judi bola berlesen

KUALA LUMPUR, 20 Mei : Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) mengucapkan tahniah kepada polis kerana kesungguhannya untuk melindungi judi bola sepak berlesen milik Tan Sri Vincent Tan yang diluluskan kerajaan yang dilihat menguntungkan Umno.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin sebelum ini berkata, pihak polis akan memerangi habis-habisan mereka yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan menjalankan perjudian haram membabitkan wang pertaruhan sempena Piala Dunia.

Mahfuz berkata, kenyataan Mohd Bakri itu sekaligus membuktikan kerajaan dan parti Umno Barisan Nasional tidak dapat apa-apa sumbangan dari sindiket perjudian tanpa lesen.

"Dengan mengeluarkan lesen kepada syarikat milik Vincent Tan sudah pasti rundingan telah dibuat untuk pastikan bukan saja pulangan cukai yang diperolehi oleh kerajaan tetapi sudah pasti ada bahagian yang akan diperolehi untuk dana politik Umno BN.

"Jadi polis dikerah untuk membanteras sindiket tanpa lesen yang tak menguntungkan Umno BN untuk menjayakan dana politik Umno BN melalui perjudian bola sepak piala dunia yang dikendalikan oleh tauke judi negara, Vincent Tan.

"Maknanya polis bekerja untuk politik Umno dan Vincent Tan. Tahniah polis," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Beliau juga melihat kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah itu sebagai ikrar akan memastikan setiap rakyat Malaysia yang mahu terlibat dengan pertaruhan perjudian sempena pertandingan bola sepak Piala Dunia hanya dibenarkan melakukannya dengan syarikat Ascot Sports Vincent Tan yang diberikan lesen oleh kerajaan BN.

"Satu perkara yang pelik apabila polis boleh bersetuju dengan pemberian lesen judi bola sepak yang akan meninggalkan kesan buruk kepada masalah sosial dalam negara seperti jenayah rompak, ragut dan bunuh.

"Dengan bertambahnya kegiatan judi melalui sukan bola sepak akan menyebabkan rakyat jadi malas hanya bergantung pada nasib dan akan lahir ramai penganggur yang hanya berharap dapat wang dari berjudi.

"Keruntuhan institusi keluarga akan meningkat. Apakah pula langkah dan tindakan polis selepas ini?" Mahfuz mempersoalkan.

Baginya, kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah yang malah menyatakan polis telah mengesan suspek dan lokasi perjudian membuktikan bahawa alasan kerajaan mengeluarkan lesen judi bola sepak kepada Vincent Tan untuk mengatasi perjudian haram ternyata tidak benar.

"Maknanya sindiket tanpa lesen akan terus wujud walaupun judi bola berlesen dikeluarkan. Ini menunjukkan kenyataan kerajaan sebelum ini meleset," kata Mahfuz.hrkh

Read more ...

RM1.75 juta bantu SAR, tahfiz di Pulau Pinang


PULAU PINANG, 20 Mei: Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang menambah peruntukan kepada sekolah agama rakyat (SAR) dan sekolah tahfiz pada tahun ini menjadikan RM1.75 juta berbanding tahun lepas hanya RM1.5 juta.

Demikian kata, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pada majlis sumbangan peruntukan untuk SAR 2010 di Madrasah Al-Aminiah, Kampung Pertama, dekat sini semalam.

Menurutnya, daripada peruntukan tersebut, RM380,950 diberikan kepada 102 sekolah rendah agama dan RM25,000 lagi kepada lima buah sekolah tahfiz.

"Kerajaan negeri berjaya menambah peruntukan RM1.5 juta peruntukan untuk sekolah agama rakyat menjadikan RM1.75 juta tahun ini. Bantuan terbuat menggambarkan Kerajaan Pakatan Rakyat prihatin terhadap SAR yang pernah dibatalkan peruntukan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN)," tegasnya.

Kerajaan negeri juga, katanya senantiasa menitik beratkan tentang kualiti pembelajaran untuk setiap generasi agar menjadi generasi berilmu dan cemerlang.

Justeru itu, tambahnya Kerajaan Pakatan Rakyat menyediakan satu Hab Pendidikan Cemerlang di Balik Pulau seluas 200 ekar demi menarik institusi pengajian tinggi yang terunggul.

"Hab Pendidikan Cemerlang di Balik Pulau dengan keluasan 200 ekar bakal mewarnai bidang pendidikan Islam suatu hari nanti di negeri ini. Namun, sekarang projek berkenaan masih dalam perbincangan mungkin dalam tempoh setahun atau dua tahun ia akan siap," tegas beliau.

Umat Islam harus berbangga kerana dengan peruntukan Kerajaan Pakatan Rakyat tahun lepas telah membolehkan Madrasah Al-Aminiah mewujudkan makmal sains untuk pelajarnya.

Beliau berharap Kerajaan Pusat memperuntukkan kepada SAR untuk mengubah suaian serta membangunkan institusi SAR pada masa depan kerana bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri terlalu kecil.

"Setiap tahun peruntukan akan diberikan, contohnya tahun sudah Madrasah Al-Aminiah berjaya membina makmal sains. Pembelajaran sains juga wajar dipertingkatkan pembelajaran di SAR supaya pelajarnya boleh berjaya dalam kedua-dua bidang sekali gus," tambahnya.

Bantuan kali ini meliputi Maadrasah Manabil Ulul sebanyak RM197,000, Madrasah Al-Irsyad Al Asyraf Al-Watanaiah (RM159,000), Madrasah Al-Aminiah (RM183,000), Sekolah Menengah Islam Ad-Diniah (RM166,275), Sekolah Menengah Arab Tahfiz (SMART) sebanyak RM120,000.

Sekolah Menengah Othmaniah (RM90,000), Institut Pengajian Ar-Razi (RM70,000), SABK Khairiah Islamiah (RM23,000).

Manakala SABK Al-Masriyah (RM30,000), SABK Wan Jah (RM13,000), SABK Faqiyah Daimiah (RM22,000), SABK Al-Ahmadiah Al-Ijtimaiyyah (RM25,000), SABK Daeratul Maarifil Wataniah 1 (RM25,000), SABK Daeratul Maarifil Wataniah 2 (RM19,000), SABK Al-Mashoor Islami (RM25,000), SABK SMATI (RM22,000), SABK Al-Imam An Nawawi (RM3,000), Sekolah Menengah Al-Itqan (RM96,275) dan Sekolah Rendah Islam Bahrul Ulum sebanyak RM45,000.

Hadir sama dalam program berkenaan ialah Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Ketua Menteri 1, Dr Mansor Othman, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Haji Abdul Malek Abul Kasim, Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir, Ustaz Saleh Man, Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Bakap, Haji Mokhtar Shafie, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Haji Mohamad Sabu dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, Haji Sazali Husein.hrkh

Read more ...

Titi usang bahayakan penduduk

CIMG3934.jpg picture by paspb

PARIT BUNTAR, 20 Mei : Titi yang usang di Parit Sungai Labu Bawah berdekatan tiang lampu KSL B 14/1 sudah hampir dua tahun tidak dibaiki.

Wakil penduduk, Sabri Hussin memberitahu sudah ada wakil JPS hadir melihat keadaan titi tersebut namun belum ada tindakan daripada mereka.

"Jambatan tersebut baru 12 tahun namun keadaan titi tersebut tidak sampai 10 tahun sudah mengalami kerosakan yang teruk.
" Sudah beberapa kali penduduk yang bermotosikal jatuh ke dalam parit" katanya

CIMG3935.jpg picture by paspb

Salah seorang penduduk di situ, Sarimah Ibrahim mengatakan beliau bersama anaknya pernah jatuh motosikal di dalam parit tersebut dan mengakibat kecederaan.

Menurut penduduk, terdapat sebuah lagi jambatan yang berhampiran turut mengahadapi masalah yang sama.
Masalah ini mendapat perhatian Ahli Parlimen Parit Buntar dalam sesi lawatan ke kawasan sekitar Parit Buntar dan beliau sendiri bersama pegawainya, Hamdan Fadel Ahmad telah melihat keadaan jambatan yang uzur tersebut.

"Saya minta supaya pihak yang bertanggungjawab dapat mengambil tindakan segera dalam hal ini sama ada membaiki ataupun membina titi yang baru. Kita tidak mahu kemalangan yang berlaku ke atas penduduk di sini berulang.

" Mungkin sebelum ini hanya kecederaan ringan kita tak mahu selepas ini lebih buruk dari ini berlaku."katanya

Read more ...

Kerana laporan polis Saiful








PETALING JAYA , 20 Mei : Kerani yang didakwa membuat ugutan bunuh terhadap bekas pembantu peribadi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Saiful Bukhari Azlan menafikan komen di laman sosial Facebook sebagai ancaman bunuh.

Badrul Hisham Abd Jalal, 40 yang ditahan reman lima hari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis petang kelmarin, tampil memberi penjelasan bagi membersihkan namanya bahawa beliau tidak berniat seperti mana yang didakwa.

“Sebagai seorang Islam, kita tidak pasti bila kita akan mati.. saya mungkin akan mati esok..kita tidak tahu,” katanya yang hanya berniat menegur sesama Islam.

Badrul berkata, beliau menghantar komen itu di laman sosial Facebook namun tidak menyangka akan menjadi ‘highlight’ .

“Setelah mendapat tahu bahawa Saiful membuat laporan, saya tampil memberi kerjasama kepada polis tetapi dimaklumkan bahawa saya ditahan.

“Sepanjang ditahan, saya dilayan dengan baik. Namun, emosi saya bercelaru memikirkan keluarga dan memikirkan mengapa saya ditahan biarpun tidak berniat membunuh seperti mana yang di dakwa,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat di sini, semalam.

Beliau yang juga ahli PAS hadir bersama isteri dan sepupu lelakinya kelihatan masih terkejut dan kurang sihat akibat penyakit gout yang dihadapinya.

Badrul berkata, beliau tidak menyangka niatnya menyerah diri untuk memberi kerjasama kepada polis menyebabkannya ditahan.SH

Read more ...

SPR didakwa seleweng undi pos



PUTRAJAYA, 19 Mei : Ketua Pemuda Sosialis DAP, Anthony Loke membuat aduan rasmi berhubung kelemahan proses perjalanan pilihan raya kecil Sibu Ahad lalu di ibu pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya di Putrajaya petang tadi.

Turut hadir menyerahkan aduan kepada SPR termasuk Ketua Penyelaras Ajen Mengundi DAP, Vincent Wu, Ahli Jawatankuasa DAP Negeri Sembilan, Mary Josephine dan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS, Suhaizan Kayat.

"Kita amat tidak berpuashati dengan beberapa perkara yang berlaku dalam PRK Sibu, terutamanya mengenai pengiraan undi pos," kata Loke kepada media selepas menyerahkan aduan kepada SPR.

Loke berkata petugas undi pos Pakatan Rakyat mendapati sewaktu penjumlahan undi pos dilakukan, terdapat beberapa kod undi yang jumlah pemulangannya melebihi dari jumlah yang dikeluarkan. Ia melibatkan Kod 708, iaitu 6 undi dikeluarkan dan 24 yang kembali, Kod 429, 160 yang dikeluarkan dan 161 yang kembali serta Kod 43, sebanyak 47 undi dikeluarkan dan 67 yang kembali.

"Ini tak boleh berlaku kerana undi yang diterima tidak boleh bertambah. Kalau undi yang kembali menjadi sedikit, itu logik, sebab mungkin ada orang yang tak mengundi, dan memang itu hak dia. Kalau ada lebihan, bermakna kertas undi itu tidak dikeluarkan oleh SPR," jelasnya.

Beliau memaklumkan setiap undi pos perlu dikembalikan bersama satu surat akuan yang perlu ditandatangani oleh seorang saksi.

Namun petugas Pakatan Rakyat membantah apabila meragui surat akuan tersebut selepas mendapati banyak sampul yang tidak mempunyai tandatangan.

Bantahan tersebut diterima oleh Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya tetapi seorang pegawai SPR Pusat yang bernama Ismail campur tangan dan mengarahkan beliau untuk menerima semula undi yang ditolak tersebut.

Ini berlaku sedangkan terdapat kesalahan pada sampul dan kertas undi terbabit
Petugas Pakatan Rakyat juga berjaya mengesan individu yang disyaki pengundi hantu.

Mereka turut merakam gambar dan mendedahkan terdapat beberapa individu yang mendakwa diri mereka adalah wakil kepada pengundi pos.

Loke turut mempersoalkan kelewatan pihak SPR untuk mengumumkan keputusan seperti mana yang dijanjikan.

Kelewatan 2 jam itu berpunca dari proses pengesahan pengiraan undi pos. SPR didakwa menangguhkan pengeluaran Borang 15 yang mengesahkan keputusan kiraan tersebut.

"Borang 15 itu adalah bukti pengesahan oleh pegawai SPR dan parti yang bertanding. Kami takkan tinggalkan tempat kiraan tanpa borang tersebut. Bahkan sampai hari ini pun kita masih belum terima borang tersebut," kata Loke.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mempersoalkan kewajaran SPR untuk mewujudkan pusat pengundian di kawasan persendirian seperti rumah panjang.

"Sepatutnya pengundian dijalankan ditempat yang sah dan berkecuali seperti sekolah atau balai raya. SPR mesti ambil iktibar dari insiden seperti ini," jelas Loke lagi.

Read more ...

Utusan kena saman lagi


SHAH ALAM, 19 Mei : Timbalan Presiden KEADILAN, Senator Dr Syed Husin Ali akan memfailkan saman terhadap Utusan pukul 11 pagi esok di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung laporan berita fitnah yang diterbitkan oleh Utusan Malaysia bertarikh 6hb Mac 2010 di bawah tajuk "RM500,000 Syed Husin dicabar lapor polis".

"Berita tersebut mendakwa saya kononnya menerima RM500,000 daripada Anwar Ibrahim sebagai bayaran untuk membubar Parti Rakyat Malaysia (PRM) bagi memudahkan percantuman dengan Parti Keadilan Nasional dan membentuk Parti Keadilan Rakyat," kata beliau dalam laporan media sebelum ini.

Justeru itu, katanya, pihaknya akan mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang yang perlu terhadap mereka.

Dr Syed Husin juga berkata tindakan undang-undang akan diambil sekiranya tiada jawapan daripada pihak terbabit berhubung tuntutan tersebut.

Beliau akan mengadakan satu sidang media di lobi mahkamah sejurus saman itu difailkan.

Read more ...

Selcat siasat, SPRM dakwa



"Maka terpulang kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) untuk melakukan tindakan susulan dengan menggunakan kuasa yang ada pada suruhanjaya itu," katanya.

Khalid berkata demikian ketika menjelaskan pertikaian sesetengah pihak yang meragui peranan Selcat dan kuasa terbatas yang dimilikinya pada sidang media selepas mesyuarat exco di bangunan SUK, di sini petang tadi.

Menteri Besar itu mengakui Selcat tidak mempunyai kuasa untuk membuat pendakwaan terhadap salah laku dalam isu penyelewengan aktiviti melombong pasir oleh anak syarikat milik kerajaan negeri, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).

Namun demikian katanya, SPRM sudah tentu berminat untuk membuat tindakan susulan jika sekiranya kenyataan yang dibuat oleh Selcat mengandungi unsur-unsur rasuah dan berlakunya penyelewengan.

SPRM boleh dakwa

"Adalah dalam bidang kuasa SPRM untuk membuat pendakwaan jika sekiranya terdapat sebarang penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah melalui kenyataan-kenyataan Selcat," terang beliau.
Ekoran dari pendedahan tentang dakwaan berlakunya penyelewengan dalam isu pasir ini oleh Ahli Parlimen Kapar S Manikavasagam, maka Speaker Dewan Negeri Selangor, Teng Chang Khim menetapkan tarikh 2 hingga 4 Jun depan untuk pendengaran awam oleh Selcat.

Dalam pada itu, Khalid menegaskan bahawa sesiapa sahaja boleh membuat laporan polis jika tidak berpuas hati berhubung kes melombong pasir yang melibatkan kerajaan negeri Selangor itu.

Beliau mengulas laporan oleh bekas penyelaras Parti Keadilan Rakyat, DUN Ijok, Azmi Muhammad di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang meminta disiasat kenyataannya yang didakwa berbau ugutan terhadap Manikavasagam.

Azmi mendakwa kenyataan Khalid itu bertujuan untuk melindungi saudara terdekatnya yang didakwa mempunyai kaitan dengan KSSB.

"Dia boleh buat laporan polis. Saya galakkan, jika ada sebarang individu yang berfikir dengan tujuan menjaga harta negeri ataupun apa-apa mengenai penyalahgunaan kuasa dan rasuah," kata Khalid.

Azmi, dalam laporannya mendakwa bahawa saudara terdekat Khalid terlibat dalam kes simbah cat ke atas kereta dan rumah Manikavasagam tempuh hari.

Read more ...