Wednesday, April 6, 2011

PKR yakin menang di Satok


KUCHING 6 APRIL: Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dewan Undangan Negeri (DUN) N08 Satok, Ahmad Nazib Johari akan menggunakan kelebihan usianya sebagai pendekatan terbaik untuk mendekati hati pengundi di kawasan itu.

Justeru, jika dibandingkan dengan calon sandaran Barisan Nasional (BN), Datuk Amar Abang Johari Tun Openg yang berhasrat memegang kerusi itu untuk penggal ke lapan berturut-turut, Ahmad Nazib menyifatkan saat perubahan sudah tiba untuk rakyat negeri Sarawak.

"Kekuatan yang ada pada saya ialah saya orang muda, jiwa muda, pemikiran muda yang kita ingin bawa kepada orang belia di kawasan ini supaya mereka memikirkan masa depan yang lebih jauh untuk membangunkan lagi kawasan ini samada dari segi mentaliti, fizikal dan sosial," katanya.

Ahmad Nazib yang ditemui media selepas selesai proses penamaan calon di Dewan Datuk Merpati Jepang tengahari tadi berkata, kepimpinan Barisan Nasional (BN) disifatkan sebagai sudah lapuk selain menggambarkan negeri Sarawak kini ketinggalan 20 tahun kebelakang berbanding negeri-negeri di Semenanjung.

Lantas corak pemikiran baru harus diterapkan dalam masyarakat di negeri itu untuk mereka keluar dari kepompong kekolotan.

"Jadi saya melihat bahawa kepimpinan tersebut kita patut tukar. Kita patut melihat kepimpinan baru untuk berfikir cara baru dan membawa Sarawak lebih kedepan," kata beliau.

Mengulas lanjut samada persaingan pada 16 April nanti sengit ataupun tidak Ahmad Nazib yakin beliau mampu mengubah mentaliti rakyat di negeri itu untuk membawa arus perubahan yang lebih besar kepada masyarakat setempat.

"Persaingan ini lebih kepada persaingan orang tua dan muda. Maksudnya persaingan sengit tidak timbul. Mereka mahu melihat persaingan yang bersih dan kearah merakyatkan negeri Sarawak," jelasnya lagi.

Ahmad Nazib yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sarawak berharap rakyat di kawasan itu memilih PKR pada hari pengundian nanti memandangkan kesepakatan dinamik yang ditunjukkan mampu membawa lebih banyak suara rakyat ke DUN Sarawak.

Katanya lagi, beliau optimis rakyat di Sarawak telah menyaksikan bagaimana pemerintahan lapuk BN menindas rakyatnya dalam isu tanah dan keperluan prasarana yang tidak mencukupi jika dibandingkan dengan hasil mahsul negeri itu.

Satok yang mempunyai 10,431 pengundi terdiri daripada 40 peratus pendaftar pemilih yang berusia lingkungan 40 tahun ke bawah.

Pilihanraya ke-9 pada tahun 2006 lalu menyaksikan calon veteran BN Amar Abang Johari Tun Abang Openg meraih kemenangan dengan majoriti 2,798 undi.

PRN kali ini bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PKR Ahmad Nazib dengan calon veteran BN Amar Abang Johari yang akan berlangsung 16 April nanti.

Read more ...

SPRM kena bertanggungjawab

Kematian Pegawai Kastam, NGO Desak SPRM Bertanggungjawab


SHAH ALAM 6 APRIL : Badan Bukan Kerajaan (NGO) Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM) dan Malaysians For Beng Hock (MBH) menuntut pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM) bertanggungjawab sepenuhnya dalam kes kematian Penolong Pengarah Jabatan Kastam Negeri Selangor Ahmad Sarbani Mohamed, 56 yang dijumpai mati di bangunan SPRM pagi ini.

Dalam satu kenyataan media hari ini, NGO yang memperjuangkan hak asasi manusia di negara ini juga mahu satu Suruhanjaya DiRaja dibentuk bagi memastikan penyiasatan telus dan berkecuali dalam kes ini.

"Kami (NGO) amat sedih kerana insitusi negara yang sepatutnya melindungi dan mendahului hak awam nampaknya mengabaikan prinsip demokratik dan tata kelola baik. Bukan sahaja hak asasi dan kebebasan dicabuli, malah nyawa telah melayang," tegas Suaram.

Suaram turut kesal kerana SPRM tidak mengambil pengajaran kes kematian pembantu Exco Selangor Teoh Beng Hock pada 2009 yang turut dijumpai mati ketika siasatan SPRM.

"Dalam pengetahuan kami, ini kali kedua rakyat mati dibawah siasatan SPRM. Hal insiden ini berlaku tidak lama selepas kematian Teoh Beng Hock pada Julai 2009 menjadi sebab rakyat negara ini risau.

"Insiden ini sekali lagi mengutarakan persoalan integriti dan ketelusan SPRM. Keyakinan awam terhadap kredibiliti dan profesionalisme SPRM telah musnah!," tegas kenyataan tersebut.

Justeru, NGO berkenaan mahu Kerajaan dengan segera mengambil langkah berikut.

1- Mengadakan satu Suruhanjaya Di Raja bagi melakukan penyiasatan yang berkecuali dan menyeluruh dalam insiden ini. Penyiasatan juga mesti meliputi peranan mereka yang mengarah dan memegang struktur kuasa di SPRM dalam insiden tragik ini.

2- Pengarah Nasional SPRM Mohamad Khalid Yusof, Pengarah SPRM Selangor dan semua pegawai yang terlibat dalam kes ini haruslah digantung tugas sempena selesai Enkuiri Suruhanjaya Di Raja ini bagi memastikan keadilan dan tiada sebarang percubaan menyembunikan bukti atau halangan proses penyiasatan.

3- Mengimplementasikan dengan segera syor dari Jawatankuasa Pilihan Kabinet mengenai Kanun Keseksaan dan Kanun Acara Jenayah bagi menggunal Akta Koroner di Malaysia seterusnya menubuhkan Mahkamah Koroner bagi memenyiasat semua kes kematian dalam tahanan.

Read more ...

DAP lebih awal dari Perkasa bela kematian pegawai kastam Melayu

SPRM Perlu Diteliti Transparency International




SHAH ALAM 6 APRIL: Parti Tindakan Demokrat (DAP) mendesak corak pentadbiran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diteliti oleh badan bebas Transparency International serta dirombak semula keseluruhannya.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan medianya berkata, satu Suruhanjaya DiRaja (RCI) juga perlu ditubuhkan bagi menyiasat punca kematian seorang pegawai Kastam, yang ditemui mati di tingkat satu pejabat SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur hari ini.

"DAP ingin mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Ahmad dan DAP juga kesal kejadian satu lagi kematian di kawasan SPRM sedangkan kematian tragik Teoh Beng Hock masih belum selesai. Apakah SPRM langsung tidak belajar dari kejadian lampau?" tegas beliau.

Menurut Guan Eng, apa yang berlaku hari ini menunjukkan seolah-olah SPRM tidak serius dalam memperbetulkan kesilapan lalu walaupun telah berjanji untuk tidak mengulangi kes Teoh Beng Hock.

"Rakyat Malaysia tidak percaya apabila diberitahu Teoh membunuh diri, sebaliknya mereka percaya Teoh dibunuh. Persoalannya sekarang ialah samada kerajaan serius dalam usahanya mencari mereka yang bertanggungjawab dan mengambil tindakan sewajarnya. Kematian tragis Ahmad hanya menambah lagi kesangsian serta menghancurkan sedikit sebanyak kepercayaan rakyat terhadap badan tersebut," tegas beliau lagi.

Timbalan Pengarah Kastam Selangor, Ahmad Salbani Mohamed, 56 disiasat SPRM di bawah Operasi 3B sejak awal minggu lalu ditemui mati di perkarangan bangunan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut pengarah Penyiasatan SPRM Datuk Mustafar Ali, Ahmad Salbani dikatakan naik ke tingkat tiga bangunan SPRM di Jalan Cochrane untuk disoal siasat sebelum di jumpai mati diaras bawah bangunan itu , kira- kira jam 10.15 pagi tadi.

Awal minggu ini, SPRM menahan lebih enam puluh pegawai Kastam dan merampas sejumlah wang bersabit siasatan rasuah di bawah beberapa akta termasuk Akta Pengubahan Wang Haram.

Tragedi berlaku ketika sebuah Suruhanjaya Diraja sedang menyiasat prosedur operasi SPRM susulan kematian bekas pembantu Exco Kerajaan Selangor Teoh Beng Hock, yang mati pada Julai 2009.

Teoh, 30, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Polis pada mulanya mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut, namun satu badan siasatan diwujudkan bagi menyiasat punca kematian Teoh.

Selepas 17 bulan dibicarakan mahkamah menetapkan tiada keputusan dicapai yang mana tidak dapat dipastikan sama ada Teoh membunuh diri atau dibunuh.

Ekoran keputusan itu, pentadbiran Datuk Seri Najib Razak mewujudkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat punca kematian Teoh.

Katanya lagi, sebuah badan seperti SPRM yang tiada kepercayaan dari rakyat hanya membuktikan kerajaan BN tidak serius dalam mencegah penyelewengan.

Jelas Guan Eng, SPRM perlu segera dirombak sepenuhnya bagi memastikan badan itu mampu menjalankan tugasnya dengan lebih efisyen, efektif, bersikap neutral serta profesional dalam semua aspek keselamatan suspek.

"Kegagalan SPRM menyiasat dakwaan penyelewengan terhadap Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud menunjukkan satu contoh kes berat sebelah dan kegagalan SPRM dalam menguatkuasan undang-undang secara adil," kata beliau lagi.

Tambah Guan Eng, beliau turut menegaskan penubuhan suruhanjaya siasatan bagi menyiasat kematian Ahmad perlu bagi mengetahui punca sebenar kematian beliau serta menghukum pesalah sebenar sekali gus melaksanakan ciri-ciri keselamatan yang mampu memastikan suspek tidak lagi dicederakan atau mati secara sia-sia semasa berada di bawah tahanan SPRM.

Read more ...

Alfred Jabu tengking wartawan




BETONG 6 APRIL : Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu menengking wartawan yang mempersoalkan masalah pemberian dividen dan penata kewangan yang tidak diberikan kepada peserta Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (Felcra).

Beliau yang mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N31 Layar buat penggal ke 8 berturut- turut tidak memperdulikan tuduhan bahawa pengurusan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (Salcra) di bawah pimpinannya tidak telus.

"Kami bertanggungjawab kepada kerajaan. Kami tak bertanggungjawab kepada mereka yang menjerit di jalanan," kata Alfred selepas memfaikan borang pencalonan beliau di Pejabat Daerah Betong pagi ini, lapor Malaysiakini.

Dalam keadaan emosi itu Alfred mungkin lupa bahawa pemimpin sebenarnya bertanggungjawab kepada rakyat.

Alfred dilihat tertekan dengan laungan "Reformasi" oleh penyokong Parti Keadilan Rakyat semasa proses penamaan calon.

Apabila terus ditekan untuk memberi komen tentang rungutan pemilik- pemilik tentang mereka tidak pernah diberi penyata dan bantuan kewangan, ahli politik veteran ini bertambah marah.

"Itu apa yang kamu mendakwa, Itu apa yang kamu cakap!," beliau menengking wartawan yang bertanya soalan itu.

Laman Sarawak Report sebelum ini mendedahkan prestasi Salcra di bawah kepimpinan Alfred sebagai gagal.

Menurut laporan itu, janji Alfred bahawa pembayaran rekod sebanyak RM74 juta dalam keuntungan kepada pemilik tanah hanyalah gimik pilihan raya bertujuan menyembunyikan kegagalan Salcra.

Menurut Sarawak Report lagi, untung RM 74 juta bagi 48 ribu hektar tanah kelapa sawit - bersamaan RM 1, 541 sehektar terlalu kecil jika dibandingkan dengan syarikat lain seperti IOI yang mendapat keuntungan sebanyak RM 13, 347 sehektar pada tahun yang sama.

Penyertaan Salcra kebanyakannya melibatkan rakyat pedalaman keturunan Iban yang menyerahkan tanah adat mereka kepada Salcra untuk dibangunkan.

Read more ...

Gambar bomoh Taib Mahmud kena halau

Kecoh Di Balingian Taib Bawa Bomoh

Pusat penamaan calon N51 Dun Balingian hari ini kecoh apabila calon Salleh Bin Jaafar menyerang seorang wanita asing yang disyaki sebagai bomoh kepada Taib Mahmud.

Beliau yang keluar dari dewan penamaan calon itu terus menyerang wanita tersebut dengan menyatakan wanita tersebut sebagai perosak negeri Sarawak, malah menjerit wanita tersebut sebagai bomoh yang selama ini bersama Taib untuk memusnahkan negeri Sarawak.

Dalam masa yang sama beliau juga menjelaskan kepada orang ramai jika tidak percaya boleh bertanya dengan Taib sendiri siapa sebenarnya wanita tersebut.

Wanita tersebut yang berbangsa asing itu dilihat melarikan diri dari Salleh kerana ingin mengelak dari terus diserang. Dalam masa yang sama beberapa penyokong BN mula mengawal wanita tersebut dan membawa lari ke suatu lokasi yang tidak diketahui. Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone

Read more ...

Tuesday, April 5, 2011

PRN Sarawak : 2000 iriingi calon PR di Ba'kelalan

PRN Sarawak : Calon Ba'kelalan PKR Diiringi Hampir 2000 Penyokong


Hampir 2,000 penyokong Parti Keadilan Rakyat bersama-sama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengiringi calon kerusi Dewan Undangan Negeri N70 Ba'Kalalan hadir pusat pencalonan pagi tadi.

Suasana meriah dan penuh semangat yang sebelum tidak pernah dirasai penyokong PKR di Ba'kalalan sedikit sebanyak menyuntik semangat calon dan penyokong parti itu untuk menawan kerusi DUN tersebut.

Sejak jam 7.00 pagi lagi, penyokong PKR sudah mula berkumpul dihadapan bilik gerakan PKR Ba'kalalan dengan membawa bendera parti serta sepanduk.

Dari jauh kelihatan lautan bendera biru muda dan merah berkibar disepanjang jalan menuju ke pusat pencalonan di Dewan Majlis Daerah Lawas.

Sedikit mengejutkan apabila, penyokong BN menunjukkan sokongan dengan melambai tangan dan menghulurkan tangan kepada penyokong PKR.

Anwar, Baru Bian serta penyokong tiba di sempadan luar pusat pencalonan pada pukul 8:35 pagi tetapi hanya dibenarkan masuk tepat pukul 9:00 pagi.

Baru Bian tiba dipusat pencalonan dengan disambut Pegawai Pengurus Pilihan Raya N70 Ba'kalalan, Ladin Atok, serta diiringi oleh pencadang Simon Buayah, penyokong piri Abai dan saksi Charles Labong.

Baru Bian, seorang peguam terkenal bakal berdepan dengan calon BN, Willie Liau yang merupakan Ketua Pemuda Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) dan juga lulusan undang-undang.

Read more ...

BN bergolak di Beting Maro, peluang PAS cerah

Peluang PAS cerah di Beting Maro

BATANG LUPAR, 5 April: Peluang PAS untuk merampas Dun Beting Maro pada pilihan raya negeri Sarawak kali ini dilihat cerah ekoran pergaduhan dalaman melanda BN.

Utusan Borneo hari ini melaporkan, penyokong BN di kawasan tersebut berbalah sesama sendiri ekoran tidak berpuas hati dengan pemilihan Razaili Gapor sebagai calon.

Rasa tidak puas hati itu diluahkan ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sendiri yang mendakwa pemilihan Razaili dibuat tanpa rundingan dengan ahli parti di peringkat akar umbi.

Mereka yang bersama BN sejak 30 tahun dahulu itu mahukan calon pilihan mereka sendiri iaitu Mohd Eden Mohd Ali namun ditolak pemimpin BN.

Sementara itu, tinjauan Harakahdaily ke beberapa kawasan termasuk di rumah panjang Kampung Matong di sini mendapati, suara-suara tidak puas hati kepada BN memang wujud.

Sehinggakan mereka secara terbuka mengumumkan untuk memilih calon PAS pada hari pengundian 16 April ini.

Timbalan Ketua Bahagian Parti Pesaka Bersatu (PBB) Bahagian Matong, Sukun Anak Rembau antara yang sudah bosan dengan sikap kepimpinan BN.

Ianya ditambah lagi dengan isu hak milik tanah yang gagal diselesaikan, malah tanah-tanah mereka juga 'dirampas' kerajaan negeri.

"Kita sudah lama memberi sokongan kepada BN, kita sokong tetapi dia tidak sokong kita.

"Kita bawa masalah tanah kepada wakil rakyat, tetapi tidak ada penyelesaian," katanya.

Ujar Sukun, BN sangat lemah dalam menyelesaikan isu-isu membabitkan tanah adat di sini, sedangkan sejak Sarawak menyertai Malaysia lagi, isu-isu membabitkan tanah adat sudah diperkatakan.

Beliau yang juga Ketua Rumah Panjang Kampung Matang kesal dengan sikap kepimpinan Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang enggan menyelesaikan isu tanah adat di sini.

Lebih malang, tanah-tanah penduduk di sini diambil dengan pampasan sekitar RM200 seekar, menyebabkan penduduk hilang punca rezeki dan terpaksa bekerja sebagai buruh di sektor pembinaan, katanya.

"Kali ini sokong bulan (PAS) kita mahu ajar "Tok Uban" (Taib Mahmud), dia tak selesaikan masalah kami di sini," ujarnya lagi.

PAS mengumumkan Abang Ahmad Kerdie sebagai calon mereka bagi Dun Beting Maro.

Abang Ahmad merupakan seorang peguam yang dijangka dapat membantu masyarakat di sini dalam menyelesaikan isu-isu tanah adat.

"Kami mahu calon baru (wakil rakyat baru) tolong kami," ujar Sukun sambil disahut laungan 'hidup bulan' oleh penyokong rumah panjang (gambar atas).

Read more ...

Agenda Utusan terlalu jahat dan biadap

Said Zahari : Utusan Aibkan Anwar Untuk Politik Umno


SHAH ALAM 5 APRIL : Bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu Said Zahari membidas laporan media arus perdana yang ghairah menyiarkan gambar dan menayangkan klip video seks semata-mata untuk mengaibkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menyifatkan tindakan Utusan Malaysia dan TV3 serta media lain sebagai tidak beretika dan melanggar prinsip asas kewartawanan semata-mata untuk memenuhi agenda politik majikan mereka.

"Cerita- cerita seperti itu, video dan gambar- gambar seperti itu langsung tidak usah dipakai. Sepatutnya pengarang tidak perlu menggunakannya, tak perlu siarkan kerana apa faedahnya kepada pembaca, apa yang dipelajari mereka,” kata beliau kepada TVSelangor/

Said berkata media yang beretika tidak akan melaporkan sesuatu yang belum terbukti kesahihannya serta tidak cuba untuk mendorong pembaca agar mempercayai setiap apa yang dipaparkan mereka.

Said menjelaskan peranan akhbar adalah menyebarkan menyampaikan berita, maklumat dan mencerminkan pemikiran rakyat kearah kebaikan.

Namun mutakhir ini, surat khabar secara rasmi diangkat menjadi lidah rasmi bagi parti pemerintah.

Said berkata, hakikatnya pembaca membeli surat khabar untuk mendapatkan berita yang sahih dan memberi 1001 maklumat yang berguna bukannya fitnah politik semata- mata.

"Pembaca bukan hendak benda yang macam itu pun. Tapi oleh kerana mereka nak jual surat khabar, mereka gunakan itu sebagai penarik kepada pembaca."

Beliau menyifatkan Utusan Malaysia dengan sengaja mahu mendorong pembaca untuk mempercayai bahawa Anwar adalah individu dalam video seks yang didalangi Datuk T.

"Lebih mendukacitakan , ia (Utusan Malaysia) digunakan untuk menuduh seseorang dalam kes ini yang saya ingat dia sebutkan Anwar walaupun sudah terbukti bukan Anwar dalam video itu dan gambar itu terbukti bukan Anwar," tambah beliau.

"Namun Utusan secara tidak langsung menunjukkan bahawa orang itu adalah Anwar. disini terletaknya politik (Utusan Malaysia dan Umno)."

Said mengingatkan warga media agar kembali berpegang kepada etika kewartawanan demi memartabatkan industri ini dikata mata rakyat.

"Pengarang, pemberita, wartawan, editor surat khabar harus berhati- hati dalam soal seperti ini sebab tiada faedahnya untuk pembaca." tegas s beliau.

Read more ...

Youtube video seks tambah marah rakyat kepada UMNO

Youtube Tonjol "Kelemahan" Video Aibkan Anwar


SHAH ALAM 5 APRIL : Satu Malaysia kecoh …kerana sebuah klip video kurang dua minit. Ada yang mengatakan orang itu mirip Anwar Ibrahim, tidak kurang yang sangsi. Anwar berkata beliau “tidak peduli’ kerana tahu pelaku dalam rakaman itu bukan beliau.

Tindakan oleh pihak yang memuatkan video itu jelas untuk mengaibkan lagi Anwar setelah beliau enggan tunduk kepada ugutan supaya beliau dan isterinya berundur dari politik – sesuatu yang amat dihajati oleh Umno, namun tidak kesampaian.

Walaubagaimanapun setiap sesuatu itu ada hikmahnya. Kepada mereka yang mempunyai kepakaran di bidang video dan mahu menegakkan kebenaran (tanpa dipengaruhi laporan media arus perdana) rakaman pendek Youtube membolehkan mereka menguji kesahihan video Datuk “T” itu buat kali pertama dengan “barang kes itu sendiri.”

Jelas beberapa persoalan asas muncul selepas melihat klip satu minit 41 saat itu, secebis daripada rakaman 21 minit yang didalangi oleh gadingan bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Sharzyl Eskay dan Bendahari Perkasa Shuib Lazim.

Bagi mereka yang arif dalam penerbitan video persoalan pertama adalah kenapa wajah pelaku tidak jelas?

Jawapan adalah kerana Kamera “night vision” digunakan.

Kamera ini biasa digunakan apabila keadaan sesuatu tempat adalah gelap tetapi bilik hotel yang dirakam jelas mempunyai lampu dengan pancaran bayang jelas kelihatan pada dinding bilik.

Jadi kenapa kamera night vision digunakan – jawapan paling logik adalah tindakan itu disengajakan kerana kamera sedemikian akan memastikan muka pelaku dalam rakaman adalah “soft”, dan samar-samar.

Ini membolehkan pelbagai tafsiran dibuat mengenai identiti pelaku.

Persoalan penting adalah kenapa pihak yang membuat rakaman tidak menggunakan kamera biasa yang akan menampakkan dengan jelas wajah pelaku jika tujuan rakaman adalah untuk mendedahkan Anwar melakukan perbuatan sumbang.

Persoalan seterusnya ialah apa signifikannya bayang-bayang pelaku yang tertera jelas pada dinding.

Mereka yang arif dalam penerbitan video akan terus menjurus kepada bayang-bayang pelaku yang dihasilkan oleh kilauan lampu di sekitar bilik hotel berkenaan. Bilik diterangi dengan lampu, menyebabkan pantulan bayangan pada dinding dan pada tubuh ketiga-tiga pelaku setiap kali mereka melintasi lampu yang dimaksudkan.

Jika bilik diterangi sebegitu rupa, agak mustahil pelaku tidak tahu tujuannya.

Agak mustahil pelaku tidak tahu mereka sedang dirakamkan (hakikat ini akan diperkuatkan dengan hujah seterusnya).

1. Rakaman itu akan menunjukkan bahawa kedua-dua pelaku, satu berseluar dan satu bertuala begitu tekun menggunakan remote control (alat kawalan jauh) berwarna hitam yang diletakkan di atas meja di mana kamera “night vision” dipasang.

- Mungkin pihak “sebelah sana” akan mendakwa “remote contol” itu adalah untuk penghawa dingin bilik namun ini amat disangsikan kerana kedua-dua pelaku menghalakan “remote control” itu kepada apa yang ada di atas meja berkenaan.

- Fakta KEDUA-DUA pelaku lelaki mencapai dan menggunakan alat “remote control” dan mengajukannya PADA ARAH SAMA sebelum beredar adalah petanda jelas pelaku dalam video TAHU malah mendalangi rakaman itu.

- Satu kelemahan kamera “night vision” adalah ia boleh mengambil visual wajah pelaku secara samar-samar atau “soft”. Namun ia tidak dapat menyembunyi atau melunturkan imej susuk tubuh pelaku. Oleh kerana itu perut buncit dan “tetek labuh” pelaku tidak dapat dikaburkan. Ini membolehkan perbandingan jelas dibuat antara susuk tubuh Anwar dan pelaku dalam video itu.

Segala pengamatan ini diperkuatkan dengan beberapa fakta asas – video yang dinaikkan di Youtube disunting dari sudut-sudut tertentu yang pelakunya mirip iras wajah Anwar.

Kenapa agaknya pihak berkenaan tidak memuatkan keseluruhan video berkenaan di Youtube?

Jawapannya tentu kerana jika lebih banyak sudut pelaku dalam video itu ditonjolkan, risiko adalah lebih besar dan pelbagai persoalan akan ditanya oleh rakyat dan sekali gus menghakis persepsi yang cuba di tanam oleh dalang rakaman itu di minda rakyat.

Media arus perdana telah memainkan klip rakaman itu berulang kali di televisyen. Akhbar kawalan Umno turut memuatkan gambar dari klip itu di muka depan dan di muka dalam dengan mesej yang sama – tak syak lagi memang Anwar dalam rakaman video mengadakan seks dengan pelacur Cina.

Namun pengamatan yang teliti mengenai video itu oleh pakar-pakar berkaitan akan mendapati video berkenaan dihasilkan oleh seorang yang tahu menggabungkan “kuasa” kamera dengan penataan cahaya lampu’ untuk mencapai maksud yang dihajatkan oleh pihak yang mengupahnya.

Persoalan-persoalan yang dibangkitkan dalam rencana ini menguatkan hujah bahawa polis tidak sekadar boleh menyiasat ketulenan video itu semata-mata tetapi memperinci sama ada pelaku dalam rakaman itu benar-benar Datuk Seri Anwar Ibrahim atau tidak.

Dan, biarlah siasatan itu telus setelus-telusnya dan bukan sekadar menanam tebu di bibir.

Read more ...

Hanya Dato' 'T' dan polis sahaja ada video seks, bukankah hanya Dato' 'T' dan polis sahaja suspek yang boleh siarkan dalam youtube?


Harapkan pagar,pagar makan padi..

Itulah pepatah Melayu yang masyhur sejak dari dulu lagi.

Maksud pepatah ini paling sesuai digunakan kepada pihak yang diamanahkan untuk menjaga sesuatu perkara tetapi pihak itu pulak mengabaikan tanggungjawabnya.

Malahan sanggup menjadi ‘barua’ kerana semata mata mengejar keuntungan duniawi.

Polis bertanggungjawab bocor video fitnah: Bekas Ketua Polis daerah Baram

Kegagalan Polis menjaga keselamatan video fitnah yang diserahkan oleh trio Dato T membuktikan institusi itu tidak boleh dipercayai, kata bekas Ketua Polis Daerah Baram, Sarawak Voon Lee Shan.

Menurut Voon, selain trio Dato T, hanya polis memiliki video itu sebelum ia tersebar secara meluas di internet, semalam. Tegasnya, ia menunjukan pihak polis boleh diandaikan terlibat dalam penyebaran video itu.

“Dua isu utama yang perlu diambil kira dalam hal ini. Pertama, Pegawai polis yang terlibat dalam menjaga video itu harus disiasat dan kedua, jabatan yang dipertanggungjawabkan menjaga bahan bukti itu tidak boleh dipercayai,” katanya kepada Keadilandaily.

Sehubungan itu, tegas beliau, Suruhanjaya Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) perlu ditubuhkan segera kerana jelas agensi itu gagal menjaga keselamatan rakyat dan memulih imejnya yang berpihak kepada Barisan Nasional.

“Bagaimana mereka hendak menjaga keselamatan rakyat jika video seperti itu pun gagal mereka uruskan,” soal beliau yang bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Baram hampir 10 tahun.

Voon lee Shan turut menegaskan sekiranya video itu dengan mudahnya bocor di internet, ia menunjukkan bukti yang didakwa itu juga mampu direka dengan tujuan mengaibkan Anwar oleh musuh politiknya.

“Saya cukup yakin ini merupakan fitnah kali ketiga yang sengaja diwujudkan untuk membunuh kerjaya politik Anwar. Lebih-lebih lagi kewujudan video itu berkait rapat dengan musim pilihan raya di Sarawak.

“Namun berdasarkan mood rakyat dan kajian saya mendapati kes video fitnah itu tidak memberi kesan kepada pengundi di Sarawak. Malah memberikan undi simpati kepada Anwar dan Pakatan Rakyat di sini,” kata beliau yang kini seorang peguam.

Video itu mula didedahkan Datuk T yang didalangi bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik, ahli perniagaan, Shazryl Eskay Abdullah dan Dato Shuib Lazim.

Ia ditayangkan pada 21 Mac lalu di Hotel Carcosa Seri Negara kepada wartawan terpilih, pada hari sama Dewan Undangan negeri Sarawak dibubarkan. Semalam, sedutan video itu dimuatnaik ke laman You Tube oleh blogger pro- Umno- Barisan Nasional.

Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar hari ini menafikan pihak polis terlibat dalam penyebaran video lucah palsu itu.

Keadilandaily

Read more ...

Dewan Pemuda dan Muslimat PAS Parit Buntar dapat ketua baru

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjycZpPBGnCHcsnOoWH57jbvTWKlqsHFuni0vrNlnpF210R1-BxU7jrUkeoJuCjmbsNRI-Ai2DtF1k2g7UqPxEiDPyNcbqPsl8HkkOpAq7TBSOcS5ytyi6PJKZUOvQIlnzqE_zZ0-SSU_Q/s320/pas3.jpgPARIT BUNTAR, 5 April : Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS Kawasan Parit Buntar yang telah bermesyuarat baru-baru ini telah melantik ketua serta jawatankuasa baru bagi sesi 2011-2013.

Bagi jawatan tertinggi, pemilihan ketua, timbalan ketua dan naib ketua telah dibuat secara syura di dalam majlis mesyuarat khas dewan masing-masing.


Dewan Pemuda PAS Parit Buntar kini diterajui oleh Dr Muhyiddin Ibrahim sebelum ini merupakan Timbalan Ketua. Timbalan Ketua disandang oleh Hairul Nizam Ishak yang sebelum ini memegang jawatan Ketua Penerangan.

Manakala Syahrin Md Daud kekal sebagai Naib Ketua Pemuda. Untuk jawatan ahli jawatankuasa, lapan orang telah dipilih iaitu Abdul Halim Yahaya, Adnan Abdul Rahman, Fairus Ahmad, Asyraf Mohammad, Reduan Osman, Nazarudin Rashidi, Ahmad Amir Abdullah dan Abdul Malik Hisham.


Dewan Muslimat PAS Parit Buntar pula diketuai oleh Rahimah Osman (gambar) yang sebelum ini merupakan Naib Ketua. Timbalan Ketua adalah Rosnah Abu Bakar, manakala jawatan Naib Ketua disandang oleh Norijan Omar .

Lapan jawatankuasa yang dipilih adalah Athirah Ibrahim, Izan Aqilah Mohamad, Zabariah Mat Amin, Azizah Awang, Sumaiyah Ali, Salina Osman dan Hashimah Hashim.


Di dalam mesyuarat agung baru-baru ini, Ketua Muslimat yang baru Rahimah Osman, telah menyeru kepada semua jawatankuasa serta perwakilan agar terus istiqamah dalam perjuangan dan menuntut supaya jentera pilihanraya muslimat dapat diperkasakan bagi mempertahankan kemenangan PAS dan Pakatan Rakyat di Parlimen Parit Buntar, DUN Titi Serong dan DUN Kuala Kurau.

Manakala Ketua Pemuda yang baru, Dr Muhyiddin di dalam ucapannya berharap seluruh ahli pemuda PAS di Parit Buntar dapat membina sahsiah yang baik serta menjaga perilaku supaya nama baik parti dapat terus dijaga.

Beliau juga mahukan organisasi pemuda di peringkat cawangan diperkuatkan dan bersiap siaga untuk bekerja untuk memenangi dalam pilihanraya umum tidak lama lagi.

Read more ...

Monday, April 4, 2011

Video : UMNO tak perlu susah , polis sanggup panjat tiang turunkan bendera PKR



Sidang media oleh Yusmadi MP Balik Pulau.

Gambar di atas jelas menunjukkan polis apco baru turun dari kereta polis apco Balik Pulau duit rakyat WGR 9782 bertindak mewakili pemuda umno yang tidak ada telur untuk menurunkan bendera Keadilan di Pekan Kongsi Balik Pulau pada 2 April 2011 jam 11:12 am sebelum ketibaan rosmah najib.

Gambar ini pula bukti jelas polis apco Balik Pulau bertindak mewakili pemuda umno yang memang tidak ada telur dan yang lebih menghairankan mengapa tidak ada bendera umno yang dipasang, tak ada bajet untuk bendera umno ke?

Sepatutnya AMK Balik Pulau terus bertindak mempertahankan bendera Keadilan dari dibuang oleh polis apco. Mungkin tak cukup berani agaknya..hahahaha..

Polis apco memang telah menelefon Ketua AMK Balik Pulau untuk menurunkan bendera Keadilan yang dipasang pada Jumaat malam tetapi AMK Balik Pulau tetap bertegas tidak mahu turunkan bendera tersebut.

Akhirnya pada pagi hari Sabtu, polis apco Balik Pulau telah menjadi tunggangan umno untuk membuang bendera Keadilan.

Tempat baner ini asalnya diletakkan baner Pakatan Rakyat dan bendera Keadilan tetapi telah dibuang dan telah digantikan dengan baner rosmah najib.

Akhirnya rosmah najib terpaksa dibawa melalui jalan Pondok Upeh kerana tidak mahu rosmah najib melihat bendera Keadilan yang banyak di pasang di Pekan Kongsi. polis apco hanya buang bendera yang dipasang selepas turun dari bukit sehingga masuk jalan Pondok Upeh.

Polis apco telah menghubungi Ketua AMK Balik Pulau sdr Faizal, siapa yang ambil gambar di atas, Faizal jawab itu tak penting tetapi yang penting mengapa hangpa turunkan bendera Keadilan. Terkunci mulut polis apco nak jawab. Faizal tanya lagi, hangpa tau mana ada gambar tu, polis apco jawab dalam FB Amizudin Sharphooter....pulak dah...pantau jangan tak pantau..hahahaha..

Tanyalah pemuda umno, depa akan kata susah nak ambil balik dah P.Pinang dan akan jadi seperti negeri Kelantan. Sekali jatuh sukar nak rampas kembali kecuali jika dibuat rampasan seperti di Perak.

Kepada polis apco, ingatlah gaji hangpa, kereta yang hangpa naik, duit petrol, baju uniform yang hangpa pakai, semuanya adalah duit pembayar cukai rakyat Malaysia bukan duit umno tetapi yang pasti duit judi memang telah dicampur sekali dan tidak diasingkan seperti yang disebut oleh Pak Menteri umno apco b-end dalam Parlimen. Jadi bertindak secara profesionallah...jangan jadi kuda tunggangan umno apco.

* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)

Read more ...

"Najib terlibat, Kalau tak bagaimana mereka (Datuk T) dibebaskan" - Anwar

Anwar : Lawan Tetap Lawan


SIBU 5 APRIL : Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak akan tersasar daripada misi menamatkan pemerintahan rasuah Barisan Nasional di Sarawak dan "tidak peduli" dengan tindakan memuatkan video lucah fitnah ke laman Youtube untuk mengaibkan beliau.

"Sekarang, video itu telah diedarkan. Dan samada lelaki (dalam video) itu mirip saya atau tidak, saya tidak peduli. Ia bukan saya," kata beliau di Kampung Nangka, Sibu malam tadi.

Klip video hampir dua minit disensasikan oleh laman- laman blog pro- UMNO. Malah akhbar kawalan parti itu seperti Utusan Malaysia, dan New Straits Times menyiarkan gambar daripada klip berkenaan.

Klip itu disunting daripada rakaman asal lebih 20 minit sebelum dimuatkan di Youtube.

Beberapa wakil rakyat dan ahli keluarga Anwar sendiri yang menyaksikan klip itu dan rakaman asal menegaskan sosok tubuh pelaku dalam rakaman itu jauh berbeza dengan Anwar.

Video itu disunting daripada sudut kamera tertentu untuk mengelirukan orang ramai bahawa Anwarlah individu dalam rakaman itu.

Anwar sekali lagi menegaskan video lucah itu tidak lebih daripada taktik jijik UMNO untuk menjatuhkan beliau dan melemahkan Pakatan Rakyat khususnya menjelang pilihanraya negeri Sarawak.

Beliau berkata sikap talam dua muka kerajaan dan pihak polis amat jelas apabila menangani kes- kes yang melibatkan pemimpin UMNO.

"Dimana Suruhanjaya Diraja masa Altantuya dibunuh ? Bagaimana kes rogol di Melaka ? Apa jadi dengan penyiasatan ?," soal Anwar.

Tiga "Datuk T" yang mendalangi video lucah berkenaan ialah bekas Ketua Menteri Melaka Rahim Thamby Chik, bersama ahli perniagaan Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari PERKASA, Shuib Lazim.

Rahim adalah musuh ketat Anwar selepas meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka pada tahun 1994 bersabit tuduhan merogol gadis bawah umur dan dakwaan rasuah.

"Sekarang mereka mengedar video. Dan mereka yang menunjukkan video itu juga mempunyai moral yang hina," kata beliau.

Anwar menegaskan video lucah fitnah jelas mempunyai penglibatan Perdana Menteri Najib tun Razak yang juga Presiden UMNO.

Anwar dan PKR sering dirujuk sebagai musuh paling utama UMNO, setelah parti pemerintah itu kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen pada pilihanraya umum 2008.

"Najib terlibat. Kalau tak bagaimana mereka (Datuk T) dibebaskan. Penjenayah dengan terang melepaskan diri dengan ini.

"Mereka tak pedulikan kebenaran.....tetapi hanya mahu membuat fitnah," kata Anwar.

Read more ...

"Ia bukan Anwar "- DS Wan Azizah

Keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menafikan dakwaan bahawa beliau adalah lelaki dalam video seks yang sebahagian daripadanya telah disiarkan di internet semalam.

Isteri Anwar yang juga presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kata video itu merupakan "bukti paling jelas" bahawa suaminya bukanlah lelaki yang mengadakan hubungan seks dengan seorang pelacur itu.

Beliau berkata, keluarganya telah memutuskan untuk menonton video yang disiarkan di Internet itu dan mendapati jelas bahawa susuk badan lelaki berkenaan terlalu berbeza dengan susuk badan Anwar.

Wan Azizah memberitahu demikian dalam satu sidang akhbar di ibunegara hari ini.

Turut hadir di sidang akhbar tersebut ialah pengerusi DAP Karpal Singh, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan anak perempuan Anwar, Nurul Izzah.

Read more ...

PAS berjaya tubuh dua cawangan serentak Pengisytiharan Calon PAS DUN Muara Tuang

Majlis Pengisytiharan calon N 15 Muara Tuang berjalan dengan lancar dan meriah, ramai penduduk tempatan di sekitar Kg. Tanjung Bundong dan kawasan perumahan berhampiran yang menghadirinya.

Majlis pengisytiharan calon PAS diumumkan oleh Datuk Hj Mustapa Ali (Cikgu Pa) yang juga Setiausaha Agung PAS Pusat. Turut menyampaikan ucapan malam tadi ialah Pak Husain bekas calon Parlimen dari Parti Keadilan Rakyat.

Dalam ucapan Cikgu Pa, beliau menaruh harapan yang tinggi dan penuh yakin PAS mampu membuat kejutan di Muara Tuang dan juga empat DUN lain yang ditandingi oleh PAS. Calon PAS yang diumumkan bertanding di Muara Tuang ialah Puan Noraini bt. Hamzah, 48 tahun atau lebih mesra dipanggil Kak Ani. Beliau anak kelahiran bumi Serambi Mekah Kelantan iaitu di Kg. Berangan, Bachok.

Beliau mendirikan rumah tangga dengan Morshidi bin Ali yang berasal dari Sarawak dan dikurniakan dua cahaya mata. Kak Ani telahpun menjadi warga Sarawak dan kini telahpun menetap selama 30 tahun di Kg. Tanjung Bundong. Beliau juga ada hubungan kekeluargaan yang rapat dengan Senator Mumtaz Nawi yang juga Naib Ketua Muslimat PAS Pusat.

Latar belakang keluarga di Kelantan yang telah bergelumang dengan politik mempengaruhi dan mendorong beliau terlibat dengan politik kepartian bagi memperjuangkan nasib rakyat di Sarawak. PAS menjadi pilihannya bagi merealisasikan cita-cita perjuangan.

Beliau sepenuh masa terlibat dengan perniagaan, melalui aktiviti perniagaanlah beliau berpeluang berinteraksi dengan rakyat di DUN Muara Tuang ini. Dunia perniagaan yang diceburi menghampirkan dirinya setiap hari dengan masyarakat. Rata-rata masyarakat di sini mengenali beliau sebagai Kak Ani. Beliau juga turut merasai kesusahan, penderitaan, kesengsaraan rakyat di bumi Kenyalang ini. Rintihan-rintihan rakyat yang miskin sering didengari setiap hari, ia perlukan pembelaan demi masa depan mereka.

Beliau sememangnya seorang muslimat yang gigih dan sabar. Di atas kegigihan, kesungguhan dan komitednya beliau dengan cita-cita perjuangan, PAS telah memberi amanah dan mandat kepada Puan Noraini binti Hamzah sebagai Calon PAS di N15 Muara Tuang.

Serentak malam itu juga beberapa DUN yang ditandingi oleh PAS turut mengisytiharkan calon masing-masing.

Majlis bertambah meriah dan penuh berarti apabila pengerusi memaklumkan dan mengisytiharkan dua buah cawangan PAS bakal ditubuhkan di Kg. Tanjung Bundong dan Taman Desa Ilmu.

Cikgu Pa menerima perlantikan Jawatankuasa Penaja PAS Cawangan Kg. Tanjung Bundong dari sdr Morshidi bin Ali dan sdr. Zulkipli Ramzi dari Taman Desa Ilmu.

Cikgu Pa melahirkan rasa bangga dan bersyukur kerana melalui PRU Sarawak, PAS dapat dikembangkan di Muara Tuang yang sebelum ini tidak ada satu cawangan PAS wujud di situ.Misabah


Bersama Cikgu Pa, suami calon (Morshidi) dan Ketua Muslimat Perak


Morshidi menyerahkan permohonan penubuhan Cawangan PAS Kg. Tanjung Bundong


Zulkipli Ramzi menyerahkan permohonan penubuhan Cawangan PAS Taman Desa Ilmu


Cikgu Pa bersama suami calon, bekas calon Parlimen PKR dan pesara pegawai polis

Read more ...