Saturday, December 22, 2007

Turun ke bawah tawarkan khidmat

Kuala Kurau : PAS kawasan Parit Buntar bukan sahaja menawarkan khidmat kesihatan dengan mengadakan program setempat. Terbaru dengan sokongan khidmat doktor-doktor sukarela, PAS Kawasan turun sendiri ke rumah orang yang terlantar sakit.

Doktor-doktor sukarela ini akan melaksanakan rawatan dan memberi kaunseling menjaga kesihatan kepada pesakit di rumah pesakit sendiri. Program yang telah berjalan sejak dua bulan lepas ini mendapat pujian masyarakat setempat. Baru-baru ini pasukan doktor sukarela dan pimpinan PAS Kawasan telah menziarahi enam pesakit dalam DUN Kuala Kurau dan lima pesakit dalam DUN Titi Serong.

“ Apabila kita turun melakukan lawatan tidak bermakna penyakit pesakit ini akan sembuh, tetapi sekurang-kurangnya lawatan ini memberi motivasi kepada pesakit untuk menghadapi penyakit yang dialami.” Kata Sdr. Bahrain bin Desa aktivis PAS di Kuala Kurau yang bersama-sama doktor sukarela melawat pesakit.

Beliau yang juga Pengarah MTD Kuala Kurau memberitahu, aktiviti berbentuk kebajikan dalam DUN Kuala Kurau ini telah memberi persepsi yang cukup baik masyarakat di sini kepada PAS. Sudah sekian lama PAS sentiasa bersama dengan masyarakat dalam DUN Kuala Kurau. Hakikat inilah yang mengerunkan UMNO untuk berhadapan dengan PAS dalam pilihanraya akan datang.

Menurut penyelaras program Dr. Mahyudin Abd Rahman, program ini akan terus berjalan secara berkala mengikut kelapangan doktor-doktor sukarela ini.

“Lawatan kesihatan ini akan pergi ke rumah pesakit tidak kira orang UMNO atau PAS , malah ke rumah pesakit bukan Melayu juga kita akan pergi.” Jelas Dr. Mahyuddin.

Sementara itu, bantuan kesihatan PAS Kawasan Parit Buntar tidak hanya terhad kepada khidmat kesihatan sahaja. Baru-baru ini PAS Kawasan Parit Buntar telah menyampai sumbangan kerusi roda kepada pesakit yang kurang upaya di Kg. Kedah dan Parit Kasa serta sumbangan tongkat kepada pesakit di Parit Lebai Akir. Sumbangan ini disampaikan oleh Drs. Khalil Idham Lim bin Abdullah Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan di rumah pesakit-pesakit ini.

“ Jika kita ada maklumat pesakit yang memerlukan alatan kurang upaya seperti kerusi roda dan tongkat, kita akan sedaya upaya memberikan bantuan. Kita sudah lama memberi sumbangan sebegini.” Kata Dr. Mahyuddin yang baru dilantik sebagai Setiausaha Lujnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Kawasan Parit Buntar.

No comments: