Thursday, December 27, 2007

XPDC Tebuk Bermotor

PARIT BUNTAR (25 Dis.) : Dewan Pemuda PAS (DPP) kawasan Parit Buntar menganjurkan konvoi bermotor mengibarkan bendera PAS melalui jalan-jalan parit tali air. Konvoi ini telah disertai pemuda-pemuda PAS yang bersemangat mengibarkan bendera PAS di setiap motorsikal yang mereka bawa.

Program XPDC Tebuk ini bermula di Pusat Tarbiyyah PAS Parit Buntar, Titi Serong dan berakhir di Markas PAS Tanjung Piandang. Tuan Haji Harun bin Haji Hashim, Yang Dipertua PAS Kawasan telah sudi melepaskan konvoi ini malah beliau sendiri membawa motor untuk bersama-sama berkonvoi bagi menaikkan semangat pemuda PAS Parit Buntar.

Selain berkonvoi peserta XPDC Tebuk ini melibatkan akitiviti Pertandingan Pancing Puyu, edar risalah BERSIH dan motivasi pemuda. Pertandingan Pancing Puyu diadakan di Parit 50 tidak jauh dari tali air Parit Tok Ngah. Peserta yang sudah bersedia dengan pancing dan umpan tidak membuang masa melepaskan pancing bagi mendapatkan puyu terbanyak.

Sdr. Mohd Jamal bin Mokhtar, Ketua Pemuda Cawangan Parit Tanjung Piandang telah menjuarai pertandingan ini. Sdr. Mohd Saiful dari Cawangan Tebuk Haji Musa dan Sdr. Mazli bin Ahmad dari Cawangan Parit Abas masing-masing mendapat kedua dan ketiga. Pemenang pertandingan ini menerima hadiah semasa majlis ceramah pada sebelah malamnya.

Peserta Konvoi berhenti menunaikan solat Asar berjemaah di Masjid Parit Tok Ngah Darat dan kemudiannya menikmati sedikit jamuan di rumah Bendahari PAS Kawasan Tuan Haji Tyndareus bin Awang di Parit Haji Tahir.

Konvoi bermotor ini berjaya menarik perhatian penduduk kampung yang tinggal di sepanjang jalan talir air dengan kibaran megah bendera Bulan Purnama yang dipasang dibatang pancing masing-masing.

Ketua Pemuda Parit Buntar Sdr. Khairulzami bin Mohammad memberitahu DPP akan menganjurkan satu konvoi bermotor yang lebih besar penyertaannya apabila diumukan pilihanraya nanti.

"Kita akan kumpulkan seluruh anak muda di Parit Buntar sebagaimana yang telah kita buat semasa pilihanraya umum 2004. Pada masa itu, kita telah berjaya mengumpulkan lebih seribu pemuda untuk bersama-sama membaca Ikrar Pemuda Parit Buntar". Jelas Sdr. Khairulzami.

Program XPDC Tebuk ini diakhiri dengan motivasi anak muda yang disampaikan oleh Drs. Khalil Idham Lim bin Abdullah Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan. Dalam motivasi tersebut beliau menerangkan secara ringkas sejarah tokoh-tokoh ulama di Parit Buntar. Bagaimana susah payah perjuangan mereka mengembangkan pengaruh PAS yang perlu disambung oleh generasi muda masa kini.

No comments: