Tuesday, March 9, 2010

368 ketua kampung di Selangor terima surat kuasa

SHAH ALAM , 9 Mac : Seramai 368 ketua kampung seluruh Selangor menerima surat kuasa (watikah) pelantikan sebagai ketua kampung semasa Majlis Penyampaian Watikah Ketua Kampung Negeri Selangor yang diadakan di Stadium Malawati, di sini semalam.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pelantikan itu dibuat selepas mereka (ketua-ketua kampung) telah berjaya melepasi tempoh percubaan lantikan sebagai ketua kampung selama enam bulan.

“Kerajaan Negeri melantik ketua-ketua kampung kerana kita sedar jawatan ini sangat penting bagi memastikan segala rancangan Kerajaan Negeri dapat dilaksanakan sehingga ke seluruh mukim dan kampung.

“Mereka juga berperanan sebagai agen Kerajaan Negeri untuk menyampaikan maklumat dan membantu melaksanakan program dan projek-projek pembangunan di peringkat akar umbi,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Menurut Abdul Khalid, pengurusan negeri yang maju bermula daripada kecekapan pentadbiran di peringkat akar umbi terutamanya di peringkat kampung, kemudian di peringkat daerah.

“Oleh itu jika dilihat pada sudut peranan dan tanggungjawab, maka peranan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) amat besar iaitu sebagai perantara kerajaan dan masyarakat.

“JKKK mewakili Kerajaan Negeri bagi menyampaikan segala maklumat dan perancangan yang hendak dilaksanakan dan pada masa sama JKKK merupakan wakil masyarakat kepada kerajaan.

“Dalam hal ini, jika tidak ada kerjasama yang erat antara semua pihak, maka jentera pentadbiran negeri Selangor tidak dapat digerakkan dengan lancar dan berkesan,” katanya.

Turut hadir pada majlis berkenaan termasuk Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakop Sapari, Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Asas Negeri, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liew Tian Khiew dan Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ramli Mahmud.SH

No comments: