Thursday, March 11, 2010

DAP kini sahabat setia PAS


SEREMBAN , 11 Mac : Pakatan Rakyat (PR) terus mempertahankan bahawa hubungan antara ketiga-tiga parti, Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP tetap kukuh biarpun diselubungi pelbagai isu dan pergolakan sejak kebelakangan ini.

Justeru, slogan ‘Semboyan Halilintar ke Putrajaya’ yang dicetuskan PR Negeri Sembilan menjadi titik permulaan kepada mesej jelas bahawa segala konflik sebelum ini tidak menjejaskan hubungan antara ketiga-tiga parti itu.

Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, konflik dalam PR sebenarnya menguatkan hubungan.

:Menurutnya, ini disebabkan PAS dan DAP tidak pernah meletakkan kepentingan sendiri sebagai agenda, sebaliknya masing-masing sentiasa berfikiran ke arah bersama-sama memantapkan PR.

“Saya bersyukur ke hadrat Allah. Saya tengok, bila kita dipukul (dengan pelbagai isu) macam ni, saya tengok perpaduan kita, PAS, DAP dan PKR lebih kuat.

“Malah, apabila saya tengok jumlah kita (PKR) kurang (dalam Parlimen), saya nak bagi laluan kepada Lim Kit Siang. Belum sempat mesej di terima, Kit Siang jawab tegas iaitu DAP tetap pertahankan kedudukan saya sebagai Ketua Pembangkang.

“Begitu juga Datuk Seri Abdul Hadi Awang, beliau minta semua ahli Pas tandatangan beri kerjasama beri sokongan terhadap saya. Mana nak cari sahabat macam ni?” katanya ketika berucap pada program Ceramah Perdana ‘Semboyan Halilintar ke Putrajaya’ di Pusat Komersial Oakland, dekat sini malam kelmarin.

Turut memberi ucapan, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali.

Anwar berkata, beliau penuh yakin PR akan terus menjalinkan kesepakatan dengan misi menubuhkan kerajaan menjelang pilihan raya umum akan datang.

“Bila saya mempengerusikan mesyuarat dengan PR, saya pening kepala. Ini realiti, kerana orang yang duduk mewakili tiga parti ini ada prinsip. Mereka tak peduli ada projek atau nak minta tanah.

“Tetapi pemimpin PAS, PKR dan DAP duduk di situ, kita bincang. Tiap perkara yang kita putuskan, kita kena muafakat. Ini baru boleh selamatkan Malaysia,” katanya.

Terdahulu, program ceramah itu turut diselitkan dengan penyerahan dokumen perjanjian persefahaman (MoU) antara tiga pemimpin tertinggi parti dalam PR di Negeri Sembilan yang membuktikan mereka bersatu.SH

No comments: