Wednesday, March 31, 2010

Kehadiran polis ganggu sidang dewan



IPOH, 31 Mac : Pakatan Rakyat (PR) kesal dengan kehadiran anggota polis yang mengganggu keharmonian dan kelancaran mesyuarat pertama penggal ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang diadakan di Bangunan Darul Ridzuan, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, beliau termasuk 27 ADUN PR yang lain memprotes tindakan segelintir anggota polis yang menghalang mereka memasuki pintu berhampiran DUN.

Menurutnya, mereka menerima arahan daripada Speaker DUN, Datuk R Ganesan untuk memasuki pintu berasingan dengan ADUN Barisan Nasional (BN).

“Kami bukan sahaja dihalang selama 15 minit sebelum masuk ke dewan oleh anggota polis malahan diarahkan untuk masuk ke pintu lain,” katanya pada sidang media di Wisma DAP Perak di sini, semalam.

Mohammad Nizar berkata, petugas media turut menjadi mangsa apabila dihalang pihak berkuasa daripada membuat liputan perjalanan Sidang DUN itu.

Beliau mendakwa terdapat puluhan anggota polis memenuhi galeri awam berlegar-legar di kawasan berkenaan.

“Perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana kebebasan media adalah salah satu asas demokrasi. Apa yang berlaku di dalam dewan harus diberitahu kepada rakyat tidak kira sama ada mereka (media) menyokong PR ataupun BN,” katanya.

Sementara itu, ADUN Sitiawan, Ngeh Koo Ham mencabar Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Ketua Polis Perak dan Datuk Zulkifli Abdullah berjanji supaya anggota polis tidak menghadiri Sidang DUN, hari ini.

Menurutnya, pihak PR tidak teragak-agak bertindak membuat laporan kerana menghalang perjalanan demokrasi dan melanggar undang-undang di negeri ini.

“Tidak mustahil jika sewaktu perbahasaan ada anggota polis yang tidak suka kepada kami cuba bertindak di luar batasan.

“Justeru, kita meminta supaya jaminan diberikan kepada ADUN PR supaya keselamatan kami terjamin sepanjang Sidang DUN berlangsung,” katanya.

Di samping itu, Koo Ham meminta supaya masa untuk perbahasan cukup untuk mengemukakan isu berkaitan rakyat namun mereka difahamkan hari ini agenda itu tidak akan dijalankan.

“Sepatutnya kita ikut sistem yang dilaksanakan di Parlimen di mana kedua-dua pihak berdebat sebelum satu keputusan muktamad dicapai.

“Sehubungan itu, kami meminta supaya Setiausaha Dewan melakukan sesuatu terhadap kehadiran polis kerana negara kita mengamalkan Doktrin Pengasingan Kuasa dan mereka yang tidak berkaitan tidak boleh mengganggu Sidang DUN,” katanya.SH

No comments: