Friday, March 26, 2010

Kerajaan Kelantan pegang perlembagaan


KOTA BHARU , 26 Mac : Kerajaan Negeri menyifatkan pelantikan Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra sebagai Pemangku Raja adalah sah dan ia mengikut Perlembagaan Tubuh Undang-undang Negeri.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub berkata, dalam hal tersebut pendirian Kerajaan Negeri adalah mengikut Perlembagaan negeri.

“Kita tetap dengan undang-undang di dalam Perlembagaan. Apa pun yang berlaku kita merujuk kepada Perlembagaan Negeri iaitu Tengku Muhammad Faris Petra kekal sebagai Pemangku Raja. Pemangku Raja masih lagi pemangku yang sah walaupun ada pihak lain isytihar pemangku telah digugurkan.

“Pelantikan ini dirujuk kepada Perkara 22A 1 (b) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan Bahagian yang kedua,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas laporan bahawa Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra Yahya Petra didakwa telah melucutkan jawatan anakandanya, Tengku Mahkota, Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Pemangku Raja berkuat kuasa serta-merta.

Titah tersebut disampaikan Tuanku Ismail Petra kepada Tengku Abdul Aziz dan dibacakan oleh Setiausaha Sulit Sultan Kelantan, Datuk Wan Hashim Wan Daud di Istana Mahkota, di sini, semalam.

Sehubungan itu juga, kata Wan Hashim, baginda didakwa telah menitahkan jawatan itu diserahkan kepada Tengku Abdul Aziz, abang kepada Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Wan Hashim berkata, keadaan Sultan Kelantan kini sudah mampu, bertitah, bercakap dan mempunyai ingatan yang bagus.

“Dia boleh bertitah, bercakap dan memori dia bagus,” katanya.

Katanya, Tengku Aziz berpendapat bahawa tidak perlu dipanggil Ahli Majlis MPN untuk diadakan mesyuarat MPN bagi memutuskan keputusan pemecatan Tengku Muhammad Faris kerana Sultan Kelantan sudah boleh bertitah dan sihat serta tindakan itu tidak salah.

Beliau berkata, pihaknya akan memaklumkan kepada Tengku Muhammad Faris dan Kerajaan Negeri berhubung pengumuman itu.

Dua hari lalu, Tengku Muhammad Faris bertitah ayahandanya, Sultan Kelantan masih gering dan beliau kekal sebagai Pemangku Raja Kelantan untuk menjalankan tugas hal ehwal negeri sejak beliau dilantik pada 29 Mei tahun lalu berikutan Sultan Kelantan gering dan terpaksa dirawat di Hospital Mount Elizabeth, Singapura.

Baginda bertitah kesemua laporan mengenai kesihatan Ayahandanya selain daripada pakar doktor-doktor yang dilantik adalah tidak tepat.SH

No comments: