Tuesday, March 2, 2010

Reaksi pemimpin PR Perak mengenai tindakan Mohd Fairus

IPOH ,2 Mac : Tindakan bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohd Fairus Khairuddin yang keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menyertai UMNO kelmarin kerana dikatakan hilang kepercayaan ke atas pucuk pimpinan dan ia semakin memuncak berikutan isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam, menimbulkan reaksi yang berbeza dalam kalangan pemimpin-pemimpin dari negeri ini.

Itu adalah hak beliau untuk pergi ke parti berkenaan. Kenyataannya yang menyatakan pucuk pimpinan tidak konsisten adalah satu tanggapan beliau sahaja.

Kami di PKR tetap utuh dan teruskan perjuangan meskipun menghadapi tekanan hebat daripada ahli-ahli yang lompat parti, kami tetap bersabar dan teruskan dengan apa jua cabaran mendatang.

Memang tindakan Fairuz memberi kesan, tetapi itu adalah sikap mereka yang tidak sabar, kerana membuat keputusan mereka sendiri.”– Pengerusi PKR Perak, Mustafa Kamil Ayub

Bagi pendapat saya, tujuan ahli yang melompat parti ini, bukanlah kerana hilang kepercayaan, tetapi lebih kepada hilang kepentingan. Jika mereka ini faham dan tahu apa erti perjuangan yang sebenarnya, mereka pasti tidak akan berbuat demikian.

Lagipun, jika ingin melompat parti, seharusnya dipastikan bahawa ianya adalah penghijrahan kepada yang lebih baik ataupun kepada parti yang lebih benar perjuangannya. Jelas, penghijrahannya (Fairus), adalah bersifat duniawi dan bukannya atas dasar perjuangan sebenar.

Saya juga yakin bahawa perkara sedemikian tidak mungkin berlaku dalam parti Pas, kerana semua ahlinya memahami bahawa mereka telah memilih perjuangan yang sebenar iaitu memperjuangkan dakwah Islam.” - Pesuruhjaya PAS Perak, Abu Bakar Hussein

Saya berpendapat, sebab utama yang dikatakan oleh Mohd Fairuz kerana mahu keluar dari PKR disebabkan hilang kepercayaan ke atas pucuk pimpinan parti yang dikatakan tidak konsisten dalam mempertahankan Islam berhubung isu kalimah Allah, beliau perlu mengkaji semula perkara itu.

Kita harus mensucikan akidah kita dengan tidak menafikan wujud Tuhan lain kecuali Allah. Kalau sebagai umat Islam kita mengatakan bahawa hanya orang Islam sahaja boleh menyebut Allah, secara tidak langsung kita mengakui bahawa wujudnya Tuhan lain.

Ini yang dibimbangkan dengan kenyataan Mohd Fairuz dan kenyataan yang dibuat oleh PAS itu telah dipersetujui oleh PKR. Sebabnya di dalam Al-Quran sendiri tidak ada nas yang menyatakan bahawa orang bukan Islam tidak dibenarkan menyebut kalimah Allah. Itulah kedudukan yang paling sahih.

Sehubungan dengan itu, saya merayu kepada beliau supaya mengamati semula apa yang dikatakan beliau itu supaya ia tidak menyimpang daripada akidah sebenar sebagai seorang Islam,”
- Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin.SH

No comments: