Friday, April 30, 2010

Bekas vokalis Wings, Mel beraksi di Malam Kesenian Rakyat

PARIT BUNTAR, 30 April : Bekas vokalis Kumpulan Rock terkenal tanahair Wings, Ismail Zainuddin atau lebih dikenali dengan 'Mel' akan beraksi dalam Malam Kesenian Rakyat di Dataran Pakatan Rakyat, Tanjung Piandang pada 1 Mei ini jam 9.15 malam.

Beliau yang mengambil alih tempat Awie suatu ketika dulu terkenal dengan lagu 'Lena diulit mimpi' dan 'Semalam yang hangat' kini bergerak solo setelah keluar dari Kumpulan Sautul Alam yang mendendangkan lagu-lagu versi dakwah dan ketuhanan.

Program sempena Karnival Penerangan Pakatan Rakyat ini dianjurkan oleh Sekretriat Pakatan Rakyat Parit Buntar diadakan secara percuma.

Pengarah program yang juga Ketua Penerangan PAS Parit Buntar Fakhrurrazi Haji Khalid berkata tujuan utama menjemput Mel ialah untuk memberikan kesedaran bahawa hiburan yang baik boleh dihayati kerana senikatanya menyentuh kebajikan, rohani, masyarakat, ketuhanan dan alam semesta

Cara ini kata beliau, merupakan dakwah yang tidak sedar boleh menarik hati remaja Islam yang kini telah tersasar jauh daripada landasan Islam sebenar melekoran terdedahnya hiburan yang tidak harmoni di mana-mana.

"Untuk menyelamatkan kemelut yang melanda remaja masa kini, kami menjemput Mel untuk bersama-sama membantu meningkatkan kesedaran kembali.

“ Mudah-mudahan melalui hiburan ada yang terbuka hati kembali ke pangkal jalan, " terangnya

Menurut Fakhrurrazi , alternatif hiburan kepada anak muda wajar di cari bagi mencernakan pemikiran remaja negara agar menerima konsep hiburan Pakatan Rakyat

“ Pakatan akan melaksanakan berbagai program mendekati rakyat termasuk hiburan yang dibenarkan dalam Islam kerana pemuda-pemudi masa kini tidak terlepas dengan tautan yang berkaitan hiburan.

Tambahnya, selain persembahan Mel pengunjung juga akan menyaksikan persembahan Kumpulan Nusantara yang baru meningkat naik.

“ Pengunjung juga akan disajikan dengan persembahan rebana, puisi dan nasyid oleh anak muda tempatan.

"Justeru itu, marilah beramai-ramai menyaksikan malam kesenian rakyat sebagai hiburan yang harmoni dan segar mata memandang " katanya

No comments: