Tuesday, April 20, 2010

Mendapatkan keadilan untuk Altantuya



KUALA LUMPUR 20 April :
Tindakan Suaram memohon bantuan tiga peguam kanan Perancis bagi menyiasat dakwaan rasuah dalam urusan jualbelia kapal selam Scorpene adalah berdasarkan kepada prinsip membela hak asasi rakyat Malaysia dan juga Perancis berhubung skandal membabitkan berbilion rinbggit ini.

Pengarah badan pembelaan hak asasi di Malaysia itu, Dr Kua Kia Soong berkata tindakan itu diambil bagi menuntut keadilan bagi Altantuya Shariibuu, rakyat Malaysia dan Perancis di mahkamah Perancis memandangkan mahkamah Malaysia gagal menjelaskan pembunuhan kejam Altantuya dan mengapa beliau dibunuh.

"Walaupun dua pengawal peribadi Perdana Menteri telah didakwa, motif pembunuhan tersebut tidak dibuktikan di mahkamah Malaysia.

"Kami percaya bahawa ada banyak lagi perkara mengenai pembunuhan Altantuya dan apa yang menjadi persoalan terhadap jumlah besar komisen berjumlah RM4.7 bilion berkaitan dengan pembelian kapal selam Scorpene. Ini menimbulkan persoalan serius kepada rakyat Malaysia dan juga Perancis," kata Dr Kua dalam satu kenyataan media semalam.

Beliau menegaskan skandal rasuah Scorpene juga menjadi perhatian pembayar cukai Perancis kerana melibatkan konglomerat pertahanan terbesar Perancis, DCN, serta anak syarikat DCN, Armaris yang menghasilkan kapal selam Scorpene yang telah kesemerata dunia termasuk Malaysia.

Isu pembayaran komisyen berjumlah €114 juta (RM540 juta) kepada syarikat Perimekar Sdn Bhd sebagai bayaran "koordinasi dan sokongan perkhidmatan" untuk transaksi kapal selam telahpun di bawa ke Parlimen.

Perimekar adalah anak syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh syarikat KS Ombak Laut Sdn Bhd, yang dikuasai oleh Abdul Razak Baginda, penasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Isteri Baginda pula, Mazalinda merupakan pemegang saham utama dalam syarikat ini. Perimekar ditubuhkan pada 2001, iaitu beberapa bulan sebelum penandatanganan kontrak untuk pembelian kapal selam berkenaan.

Perjanjian kapal selam yang dikaitkan dengan pembunuhan berkenaan tidak pernah dibawa ke mahkamah selama perbicaraan pembunuhan dijalankan yang menyaksikan pendakwa, peguambela dan hakim bagi memastikan nama Najib tidak disebut dalam perbicaraan yang dijalankan.

"Suaram berharap sistem kehakiman Perancis akan mengungkap lebih dari apa yang gagal untuk disampaikan setakat ini oleh sistem kehakiman Malaysia dan akan membawa keadilan kepada keluarga Altantuya serta memaksa Kerajaan Perancis dan Malaysia bertanggung jawab terhadap rakyat mereka mengenai isu skandal kontrak kapal selam berkenaan," kata Dr Kua lagi.

No comments: