Tuesday, April 27, 2010

Pelantikan imam ikut prosedur


ALOR SETAR, 27 April : Pelantikan imam dan pegawai masjid di negeri ini tidak dipengaruhi mana-mana pihak, sebaliknya mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Kedah (Maik).

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelajaran dan Koperasi negeri, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul berkata, kesemua calon imam perlu melalui proses biasa, termasuk sesi temuduga dan tapisan sebelum dilantik kepada jawatan itu.

“Kerajaan Negeri tidak dipengaruhi pihak tertentu dalam membuat keputusan ini. Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) menjalankan prosedur biasa yang ditetapkan Maik, dan mendapat perkenan Tuanku Sultan,” katanya, ketika menjawab soalan bertulis Mohd Nasir Mustafa (PAS-Kubang Rotan).

Mohamed Taulan berkata, setiap lantikan dibuat mengikut syarat ditetapkan dan sebarang campur tangan daripada mana-mana pihak tidak akan mengubah keputusan yang telah dibuat.

Beliau turut menafikan wujudnya politik kepartian dalam urusan pentadbiran Kerajaan Negeri seperti didakwa sesetengah pihak, sebaliknya menegaskan hanya politik Islam yang dibenarkan.

“Tidak ada politik kepartian dalam pentadbiran. Jika ada, saya akan tubuhkan jawatankuasa siasatan untuk selesaikan isu ini. Apa juga cadangan akan dikemuka kepada Maik untuk pandangan sebelum dipersembahkan kepada Tuanku Sultan,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Mohd Nasir mengenai adakah isu pelantikan itu dipolitikkan pihak tertentu, Mohamed Taulan berkata, mengisi borang persaraan N4 adalah tertakluk di bawah perundangan negeri dan sama ada imam berkenaan berhasrat berbuat demikian adalah suatu alternatif.

“Imam yang uzur dan tidak mampu jalankan tugas, eloklah bersara. Ini pilihan kepada mereka sahaja. Kerajaan Negeri mahupun Persekutuan telah membuat perjumpaan dengan mereka bagi menjelaskan isu ini,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, terdapat segelintir imam yang uzur enggan bersara kerana bimbang dikatakan derhaka terhadap arahan Tuanku Sultan, yang memberi perkenan kepada pelantikan mereka sebelum ini.

“Ada imam yang takut bersara, bimbang dikatakan derhaka. Oleh itu, mengisi borang ini adalah alternatif untuk bersara atau sebaliknya. Ini bukan paksaan,” katanya, ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah (BN-Bakar Bata) yang ingin penjelasan berhubung bersara secara sukarela atau bermotif paksaan.SH

No comments: