Tuesday, April 27, 2010

SPRM kena siasat Najib


ALOR SETAR , 27 April : Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kempen pilihan raya Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Hulu Selangor kerana didakwa bercanggah dengan peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Katanya, terlalu banyak aspek berkempen parti itu didapati bercanggah dengan amalan demokrasi termasuk pendekatan yang digunakan.

“BN menggunakan pendekatan tidak sesuai, serangan peribadi yang melampau terhadap calon Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim termasuk lambakan projek yang dijanjikan jika BN menang dalam pilihan raya itu,” katanya pada sidang media selepas penangguhan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.

Azizan yang juga Pesuruhjaya Pas Negeri berkata, kempen pilihan raya BN agak keterlaluan kerana mereka seolah menabur janji-janji manis, yang dianggap lebih kepada usaha untuk memancing undi.

“Saya boleh beri cadangan supaya SPRM siasat pemimpin UMNO termasuk Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi mahukah SPRM buat? Saya sendiri terkejut lihat kempen BN di sana ketika turun padang, tetapi saya dapat terima keputusan mereka menang. Bukan sebab kalah, saya suruh siasat,” katanya.

Menurutnya, walaupun Pakatan Rakyat (PR) tewas di tangan BN dalam pilihan raya itu, namun pencapaian yang diraih Parti Keadilan Rakyat (PKR) harus dibanggakan.

“Selepas ini BN mesti susah hati sebab perbezaan undi tak banyak. Kawasan Felda yang majoriti penyokong Kerajaan Persekutuan pun kita mampu tawan. Walaupun tidak menang, tetapi jumlah undi PKR meningkat,” katanya.

Ketika ditanya sama ada PR tewas kerana meletakkan Zaid sebagai calon, Azizan berkata banyak faktor yang menyumbang kepada kekalahan itu termasuk serangan peribadi terhadap Zaid yang didakwa keterlaluan.

“Saya lihat PKR aktif berkempen, UMNO pula bina khemah besar sahaja, cuma kempen serangan peribadi yang menjadi. Saya ucap tahniah kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim kerana walaupun tewas tetapi PR dapat meningkatkan jumlah pengundi di Hulu Selangor ,” katanya.

Azizan berkata berdasarkan kepada perubahan peratusan undi ini, beliau yakin PR akan mencipta kemenangan pada PRK Sibu akan datang.

“Saya nampak PR ada peluang cerah di Sibu, malah mempunyai potensi untuk mencipta kemenangan di kawasan lain pula pada pilihan raya umum akan datang,” katanya.SH

No comments: