Wednesday, April 28, 2010

Sidang DUN Kedah ikut peraturan












ALOR SETAR , 28 April : Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang berlangsung satu jam setengah kelmari dan dianggap sangat singkat sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati sesetengah pihak termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas, Mohammad Radzhi Salleh, adalah mengikut peraturan yang ditetapkan.

Speaker DUN Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail berkata, tempoh masa bersidang dibuat mengikut tempoh masa sesi soal jawab yang sepatutnya berlangsung selama satu jam setengah.

Menurutnya, peraturan yang dikeluarkan bukan peraturan baru tetapi sudah lama digunakan.

“Tidak timbul isu tempoh bersidang panjang atau pendek kerana tempoh persidangan itu berlangsung mengikut peraturan yang ditetapkan.

“Saya rasa timbul kekeliruan di sini kerana ADUN yang berkenaan (Mohammad Radzhi) mungkin tidak membaca buku peraturan yang telah disediakan,” katanya kepada Sinar Harian.

Dr Abdul Isa berkata, sekiranya terdapat ADUN yang tidak berpuas hati dengan tempoh persidangan DUN berlangsung, mereka boleh memberi notis dalam tempoh 14 hari sebelum persidangan.

Sementara itu, Dr Abdul Isa turut memuji sikap semua ADUN yang berhemah ketika sidang DUN berlangsung walaupun terdapat sedikit kekecohan apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mahdzir Khalid mencadangkan agar soalan ADUN Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa ditarik balik kerana dikatakan cuba mempersoalkan bidang kuasa Sultan Kedah sebagai Ketua Agama Negeri.

Dr Abdul Isa berkata, situasi tegang adalah perkara biasa sewaktu persidangan mana-mana dewan perwakilan sebagai salah satu budaya demokrasi yang menyaksikan kepelbagaian pendapat dalam kalangan ahli-ahlinya.

“Namun situasi ini dapat dikawal dengan baik. Situasi itu berlaku secara tidak sengaja dan terlepas daripada kawalan biasa tetapi ia bukanlah ketegangan yang serius.

“Namun sekiranya situasi tegang yang berlaku pada sidang DUN kelmarin berpanjangan, saya mempunyai kuasa untuk menghalau (ADUN yang terlibat) tetapi saya tidak menggunakan kuasa yang ada kerana perkara itu berlaku secara spontan dan tidak sengaja,” katanya.

Mengenai kenyataan Mohammad Radzhi yang mempersoalkan soalannya ditolak tanpa makluman sehingga hari persidangan, Dr Abdul Isa berkata, soalan yang tidak boleh diajukan pada persidangan DUN akan dimaklumkan terlebih dahulu kepada ADUN melalui surat sebelum persidangan.SH

No comments: