Tuesday, April 13, 2010

Umno main tuduh saja, tak siasat dulu

ALOR SETAR, 13 April : Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Perpaduan dan Pengurusan Sumber Manusia negeri, Lim Soo Nee mendakwa, isu penoreh getah di ladang Durian Burung sengaja dipolitikkan pihak tertentu untuk memburuk-burukkan Kerajaan Negeri.

Menurutnya, berdasarkan laporan daripada majikan mereka, pengurusan ladang Kumpulan Ladang-Ladang Kedah Sdn Bhd, hanya terdapat sekitar lapan hingga 10 penoreh sahaja yang terlibat berbanding 150 orang yang membuat bantahan pada 5 April lalu.

“Keluasan ladang itu adalah 313 hektar di bawah seliaan tiga kontraktor dengan jumlah pekerja seramai 79 orang. Hanya lapan hingga 10 penoreh yang bekerja di kawasan itu terbabit dalam sesi bantahan tempoh hari minta dinaikkan gaji,” katanya.

Soo Nee berkata, apakah motif sebenar isu ini dibangkitkan kerana pihaknya telahpun membuat siasatan berhubung perkara itu, dan mendapati apa yang disuarakan sebelum ini bukannya mewakili majoriti penoreh, sebaliknya hanya segelintir yang bermasalah.

“Saya hairan macam mana jumlah pekerja tiba-tiba meningkat kepada 150 orang. Apabila disiasat, rupa-rupanya mereka adalah penduduk kampung berdekatan. Saya tidak tahu apa motif dibuat bantahan itu kerana maklum balas daripada penoreh mengatakan mereka berpuas hati dengan bayaran,” katanya.

Menurutnya, segelintir penoreh sengaja mencetuskan masalah ini dengan mengemukakan aduan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim, yang seterusnya membuat bantahan itu dengan menuntut beberapa perkara dipenuhi majikan terbabit, tanpa mengetahui situasi sebenar.

“Saya tidak pasti sama ada UMNO mengambil peluang mensensasikan isu ini atau mereka benar-benar tidak tahu situasi sebenar. Ingin saya jelaskan bahawa pihak pengurusan ladang membayar upah penoreh berdasarkan usia pokok getah dan hasil pungutan susu getah,” katanya.

Soo Nee berkata, mengikut rekod Disember 2009, sebanyak 170 kilogram susu getah dihasilkan oleh 79 penoreh terbabit, dan purata pendapatan seorang mencecah RM1,500.

“Pendapatan tertinggi penoreh mencecah RM3,680 dan paling rendah, RM400, bergantung kepada jumlah hari bekerja dan jumlah kutipan susu getah. Difahamkan, penoreh berpuas hati dengan kadar upah itu dan mereka yang memprotes memperoleh bayaran rendah kerana hanya bekerja sekitar 14 hari sahaja,” katanya.

Menurutnya, harga upah berbeza mengikut usia pokok kerana pokok getah yang berusia 20 tahun ke atas dibayar lebih tinggi, manakala kebanyakan pokok di kawasan itu berusia sekitar 16 tahun.

“Saya harap YB Syed Sobri buatlah kajian dahulu sebelum keluarkan kenyataan, siasat sama ada dakwaan penoreh benar atau sebaliknya. Tindakannya itu menunjukkan beliau tidak profesional. Saya harap UMNO bukan sengaja menangguk di air keruh,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini, melaporkan 150 penoreh meminta majikan mereka, Kumpulan Ladang-Ladang Kedah Sdn Bhd menaikkan gaji bersesuaian dengan harga komoditi itu yang kini mencecah RM4.70 sehingga RM5.00 sekilogram, manakala harga upah mereka hanya 70 sen untuk satu kilogram.

Masalah itu mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim yang berhasrat menghantar memorandum kepada Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, meminta masalah ini diselesaikan segera.SH

No comments: