Tuesday, May 11, 2010

1,700 keluar PKR - Penipuan besar


LUNAS , 11 Mei : Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Keadilan Rakyat, Datuk Johari Abdul menyifatkan program penyerahan borang keahlian baru yang didakwa melibatkan 1,700 ahli parti itu melompat kepada MIC di Paya Besar, semalam adalah penipuan besar Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, daripada 480 yang hadir, hanya kira-kira 50 orang penduduk tempatan,

Beliau mendakwa, MIC yang ketandusan penyokong sanggup melakukan apa sahaja untuk melonjakkan nama parti itu.

“BN jangan buat lawak. Majlis yang diadakan di Paya Besar adalah majlis Malam Kebudayaan Bersama Rakyat. MIC menggunakan peluang itu mengumumkan kemasukan ahli baru yang didakwa bekas ahli PKR. Semua ini politik lapuk dan tidak boleh digunakan lagi, dikatakan 480 orang hadir pada malam itu tetapi penaja menyerahkan borang kemasukan ahli baru MIC seramai 1,700.

“Rakyat dah tahu segala pembohongan ini. MIC memerlukan lebih ramai penyokong untuk berhadapan dengan pilihan raya akan datang kerana mereka adalah antara parti komponen BN yang tercorot di Kedah.

“Mereka bukan saja berbohong kepada tetamu yang hadir, malah berbohong kepada diri mereka sendiri,” katanya.

Menurutnya, BN terpaksa menganjurkan lebih banyak program untuk meyakinkan rakyat dan dalam masa sama, mendakwa ada ahli PKR keluar untuk menyertai BN.

Beliau mendakwa apa yang menjadi masalah sekarang ini adalah parti komponen BN sering mengumumkan ahli keluar PKR dengan jumlah yang tidak munasabah.

Selain itu, beliau mendakwa, pemimpin parti komponen BN di Padang Serai menyatakan Pakatan Rakyat (PR) tidak turun padang dan membantu rakyat.

Beliau menegaskan sepanjang dua tahun, rakyat Padang Serai tahu PR adalah parti yang paling hampir dengan rakyat.

“Daripada 1,700 borang keahlian baru yang diterima MIC, saya yakin kurang daripada 50 ahli PKR yang menyertai mereka.

“Pilihan raya semakin hampir dan pemimpin parti komponen BN sedang giat menjalankan aktiviti dan program. Semua ini dilakukan bukan untuk membantu rakyat tetapi untuk menaikkan nama dan diri mereka sendiri.

“Mereka menuduh PKR tidak menjalankan kewajipan terhadap rakyat Padang Serai tetapi rakyat tahu semua ini adalah satu pembohongan. Saya percaya, penaja serta semua pemimpin yang hadir pada malam itu kecewa dengan sambutan diberi.

“Saya menasihatkan komponen BN harus kerja keras untuk menarik hati rakyat dan jangan terlalu memainkan isu politik sehingga melupakan agenda rakyat yang dilaungkan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi BN Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah, yang turut hadir pada majlis itu berkata, penyertaan ahli baru MIC menunjukkan rakyat mula menolak kepimpinan PR di negeri Kedah.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada MIC Kedah yang berjaya mengembalikan kepercayaan rakyat untuk menyokong parti itu dan BN.

“Rakyat sudah mula tahu bagaimana PR memerintah dan tidak lama lagi, akan ada ahli Pas yang menyertai UMNO dan menyokong BN.

“Ini jelas menunjukkan kepimpinan yang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan slogan 1Malaysia dapat diterima seluruh rakyat,” katanya.SH

No comments: