Friday, May 14, 2010

Kedudukan universiti awam merudum lagi

SIBU, 14 Mei : Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata Malaysia kini telah menjadi orang sakit Asia Tenggara atau "sick man of South East Asia" kerana kegagalan kerajaan Umno-Barisan Nasional mengangkat martabat negara dalam segala bidang sehingga dilihat sebagai sebagai negara semakin merudum prestasinya.

Bukti terkini kata Kit Siang terserlah daripada kejatuhan kedudukan universiti awam tempatan yang tersenarai dalam laporan terbaru QS Asian University Rankings 2010.

Menurut laporan itu Universiti Malaya jatuh dua tangga lagi tahun ini daripada 39 kepada 41 sementara Universiti Sains Malaysia yang mencapai status universiti apex pada 2008 hanya mampu bertahan pada tangga 69 sepertimana juga Universiti Teknologi Malaysia di tempat ke-82.

Universiti Kebangsaan Malaysia pula jatuh ke tangga 58 daripada 51 manakala universiti Putra Malaysia menokok daripada tangga 90 ke 77.

"Kejatuhan berterusan kedudukan universiti di Malaysia di kalangan universiti di Asia adalah sekelumit daripada masalah yang lebih besar menjangkiti negara ini yang kini menjadikannya sebagai 'sick man of South East Asia' yang seterusnya menjurus kepada pembekuan ekonomi dan penurunan prestasi negara sejak sedekad lalu.

"Sebab itu pakar ekonomi yang mendraf Model Ekonomi baru memberi amaran kita perlu bertindak segera sebelum kedudukan negara dalam semua segi merudum lebih dahsyat," kata Kit Siang yang membaca kenyataan beliau pada sidang media di Pusat Media Pakatan Rakyat pagi tadi.

Jelas beliau lagi, pada 2004 Malaysia ditempatkan pada tangga 89 dalam Times Higjher Education Supplement-QS Top 200 Universities Ranking.

Kedudukan Univerisiti Malaya yang ketika itu berada pada tangga 10 universiti paling berprestasi di Asia telah menurun dalam masa enam tahun oleh 30 universiti lain.

"Semasa zaman persekolahan saya, pelajar Malaysia tidak terfikir untuk pergi ke universiti luar negara kecuali keluarga mereka kaya. ini kerana Universiti Malaya yang telah berpisah daripada kampusnya di Singapura untuk menjadi entiti yang berasingan diiktiraf sebagai salah sebuag universiti bertarap antarabangsa yang disegani.

"Hari ini opsyen pertama pelajar Malaysia iala universiti di luar negara dan universiti tempatan menjadi pilihan terakhir kerana kejatuhan mutu dan standard.

"Inilah kemerosotan yang di bawa oleh Umno-Barisan Nasional kepada pendidikan negara selama 50 tahun pentadbiran mereka," tambah Kit Siang.

Nama jolokan yang serupa pernah diberikan oleh Tsar Nicholas I dari Rusia kepada Empayar Ottoman pada pertengahan kurun ke-19 yang pernah diberikan kepada Turki apabila ekonomi negara Islam itu dilihat semakin berada di bawah penguasaan Eropah serta kehilangan wilayahnya dalam beberapa siri peperangan.

Ahli Parlimen ipoh Timur itu menekan sudah tiba masanya rakyat Malaysia menukar kerajaan Umno-BN yang semakin gagal mengurus negara ini dengan baik bermula dengan pilihan raya kecil P212 Parlimen Bandar Sibu 16 Mei ini.

"Perdana Menteri dan parti dalam BN tidak berani berhadapan dan mejelaskan kepada rakyat mengenai krisis negara sekarang. Adakah Malaysia akan menjadi bankrap seperti Greece dan kalau ini berlaku adakah Sarawak akan selamat?," tanya Kit Siang.

No comments: