Saturday, May 8, 2010

Laporan polis kerana Azhar menghasut



GEORGETOWN, 8 Mei : Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat (PR) semalam membuat laporan polis berhubung kenyataan berbaur hasutan oleh Ketua Pembangkang Pulau Pinang, Datuk Azhar Ibrahim persidangan DUN ke-12.

Koordinator program sekretariat itu, Syed Mikael Rizal Aidid berkata, laporan itu dibuat bagi membolehkan polis membuka kertas siasatan terhadap Azhar.

“Walaupun Azhar telah dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri, kami masih mahu polis menyiasat perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu di Balai Polis Lebuh Pantai, di sini.

Beliau berkata tindakan patut diambil terhadap Azhar kerana ia merupakan perkara serius yang boleh menganggu-gugat keharmonian antara kaum di negara ini.

Turut mengiringi Syed Mikael untuk membuat laporan itu ialah Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pemuda Pas Pulau Pinang, Mohd Faruk Abdul Rahman dan wakil rakyat DAP, Teh Yee Cheu dan Koid Teng Guan.

Sementara itu, Azhar ketika dihubungi berkata, jika PR boleh buat laporan polis kononnya beliau mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dalam sidang DUN, UMNO juga akan berbuat demikian kerana wakil rakyat PR turut membangkitkan perkara serupa.

“Ramai wakil rakyat PR yang sejak dari awal lagi, terutama ADUN Seri Delima, RSN Rayer sejak persidangan DUN pada 2008 mengeluarkan kenyataan berbentuk fitnah dan perkauman.

“Cuba ingat balik, siapa yang banyak membangkitkan perkara mengenai perkauman, hasutan atau tuduhan melulu. UMNO atau PR. Jangan cuba berselindung kerana semua orang tahu keadaan sebenar,” katanya, semalam.SH

No comments: