Friday, May 21, 2010

Panel siasatan khas siasat kerugian Sime Darby

KUALA LUMPUR, 21 Mei : Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mahu Pengerusi Sime Darby Bhd, Tun Musa Hitam, Presiden merangkap CEO Kumpulan, Dato’ Azhar bin Abdul Hamid dan Naib Presiden (Bahagian Tenaga dan Utiliti), Hisham Hamdan digantung kerja buat sementara bagi memudahkan siasatan berhubung kerugian RM1.63 bilion syarikat berkenaan.

Sime adalah antara syarikat GLC Kerajaan yang mempunyai pengaruh besar dalam ekonomi negara. Kerugian yang dialami juga terlalu besar buat negara dan pulangan pelaburan PNB dan KWSP yang memagam sebanyak 66 peratus saham dalam syarikat itu turut akan terkesan.

PAS melihat siasatan lebih sukar dilakukan selagi mereka masih berada dalam organisasi itu. Rakyat merasa sangsi dengan alasan bahawa lebihan kos daripada projek Qatar dan Empangan Bakun menjadi punca utama kepada masalah ini.

Bagaimana lebihan itu boleh berlaku tanpa dikawal diperingkat awal. Sebagai syarikat korporat yang berpengalaman luas, Sime sewajarnya mampu membuat persediaan dan mengukur tahap kemampuan pelaburannya ke dalam kedua-dua projek ini.

PAS yakin beberapa faktor lain termasuk kelemahan pengurusan kewangan dan penyeliaan turut menyumbang kepada kerugian ini. Dengan jumlah RM 1.63 bilion negara boleh mendirikan satu atau dua lagi stesen janakuasa elektrik.

PAS mencadangkan satu panel khas yang berkecuali dilantik oleh pihak kerajaan bagi menyiasat kerugian ini. Penyiasatan dalaman Sime hanya akan menyembunyikan lebih banyak maklumat. Pasukan penyiasat bebas ini harus bertanggungjawab menyiasat kerugian sebenar dan puncanya sebelum menghukum mereka yang terlibat.

PAS tidak mahu isu kerugian Sime ini melarat seperti apa yang berlaku kepada POS Malaysia Berhad yang akhirnya mengunakan alasan kerugian untuk menswastakan organisasi berkenaan. Sime memegang begitu banyak aset dan kepentingan ekonomi negara dipelbagai sektor dan kita tidak boleh membiarkan syarikat itu terus mengalami kerugian yang besar dan kemudiannya digadaikan.

Satu langkah transformasi dan penyusunan semula perlu dilakukan ke atas organisasi pengurusan Sime bagi memastikan syarikat ini dapat memfokuskan keuntungannya bagi setiap sektor yang disertai.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

No comments: