Thursday, May 13, 2010

Zambry terdesak ajak pemuda PAS sertai Umno



PARIT BUNTAR, 14 Mei : "Umno sudah tidak mendapat tempat dihati pemuda Melayu, sebab itu Dr Zambry mengajak Pemuda PAS menyertai Umno," demikian kenyataan Hairul Nizam Ishak, Ketua Penerangan Pemuda PAS Parit Buntar di atas kenyataan Dato' Seri Zambry Kader dalam Sinar Harian semalam.
Hairul Nizam berkata, Zambry tahu Pemuda PAS khususnya di negeri Perak begitu agresif mengumpulkan ahli dan penyokong dan ia semakin bertambah selepas Barisan Nasional merampas kuasa di Perak.

" Golongan muda semakin benci dengan Umno angkara peristiwa yang tidak bertanggungjawab itu. Pemuda PAS Perak kini semakin diperkasakan dan setiap program anjuran kami mendapat sambutan anak-anak muda.

" Kita lihat sahajalah Himpunan Pemuda PAS Perak yang begitu berjaya sehingga mengumpulkan 10,000 pemuda walaupun mendapat provokasi dari pelbagai pihak. Begitu juga dengan himpunan-himpunan lain yang menghimpunkan ribuan anak muda di negeri Perak ini" katanya
Beliau berkata, keberkesanan dan kekuatan Pemuda PAS ini yang menimbulkan keresahan di hati Dr Zambry sehinggakan menjemput Pemuda PAS secara terhormat menyertai Umno.

" Kenapa tidak diarahkan sahaja Saudara Maslin Sham Razman, Ketua Pemuda Umno Perak memperkasakan Pemuda Umno.

"Pemuda PAS yakin dengan kredibiliti serta karisma yang dimiliki oleh saf kepimpinan Pemuda PAS Perak mampu menyaingi dari pelbagai aspek berbanding Pemuda Umno" katanya
Tambahnya, pemuda PAS berjuang dengan istiqamah melalui tarbiyah yang diterapkan dalam Islam.

" Kami bekerja untuk Islam dengan tanpa ada apa-apa habuan harta benda serta wang ringgit. Saya menasihatkan Zambry dan Pemuda Umno Perak, janganlah didik anak bangsa kita dengan habuan harta benda wang ringgit untuk mendapatkan sokongan.

" Kelak bila kita sudah kehabisan harta wang ringgit, tiada siapa yang akan menyokong dan membela nasib agama dan bangsa kita. Kalau Dr Zambry dan Pemuda Umno benar-benar nak bela nasib agama dan bangsa, sertailah PAS" katanya

No comments: