Tuesday, June 1, 2010

Dasar BN merosak akhlak


KOTA BHARU, 1 Jun : Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyalahkan dasar yang dibawa oleh Barisan Nasional (BN) tidak selaras dengan prinsip Islam menyebabkan gejala sosial yang melanda negara kini meningkat.

Dalam masa yang sama, Mursyidul Am PAS itu berkata, sikap sesetengah pemimpin UMNO yang sentiasa mengeluarkan kenyataan yang tidak membawa imej baik kepada Islam sekali gus menyebabkan golongan remaja tidak berminat mendekati agama.

“Semua ini berlaku kerana pemimpin UMNO kata Islam itu pecah belah, Islam itu mundur dan membawa kekacauan, ini menyebabkan anak-anak muda lari, ini kecelakaan yang menimpa Malaysia hasil pemimpin yang tidak beragama dan tidak bermanah,” katanya ketika berucap di Majlis Merasmikan Kursus Bahasa Arab kepada pelajar Kolej Universiti Insaniah di sini, semalam.

Sebelum ini, isu mengenai gejala sosial menjadi perhatian umum apabila sering kali kes pembuangan bayi serta peningkatan kadar jenayah dilaporkan oleh media tempatan.

Sementara itu dalam ucapan itu, Nik Aziz turut menyentuh mengenai hubungan PAS dan rakan Pakatan Rakyat (PR) DAP, yang sebelum ditentang hebat oleh BN.

Menurutnya, kerjasama dengan DAP membuahkan hasil yang baik apabila pemimpin DAP kini dilihat mula memahami perjuangan Islam setelah beberapa tahun bersama dengan Pas.

“Kita juga pernah bekerjasama dengan BN, tetapi amat malang, ibarat melepaskan anjing tersepit. Bila BN kurus dia jemput PAS, tetapi bila dan gemuk dia tendang kita, ini pengajaran berguna.

“DAP bukan Islam, MCA pun bukan Islam kenapa dia tentang sangat kita berkawan dengan DAP, kita berkawan kerana nak ajar Islam tetapi BN macam mana nak ajar MCA kerana parti itu sendiri tolak Islam,” katanya.SH

No comments: