Tuesday, July 27, 2010

BN terdesak : Bersih sungai dituduh korek pasir


ALOR SETAR , 27 Julai : Aktiviti mengorek pasir di Sungai Ular dekat Kulim bukan kes curi pasir atau kegiatan tidak terkawal sebaliknya dibuat untuk membersihkan dan meluruskan sungai berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, kegiatan itu tidak menimbulkan sebarang masalah kerana sungai berkenaan merentasi ladang milik Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan tidak menyalahi undang-undang.


“Saya tidak faham kenapa isu ini ditimbulkan. Tiada masalah pun dalam aktiviti mahupun permit kerana permit pengeluaran pasir itu dikeluarkan oleh Pengarah Tanah dan Galian (PTG) negeri untuk kerja-kerja membersihkan sungai,” katanya.

Azizan mengulas kenyataan sebuah akhbar kelmarin, mendakwa berlaku kegiatan mengorek pasir sungai tidak terkawal di sepanjang jalan menghubungkan bandar Kulim ke Pekan Serdang sejak lebih setahun lalu.

Dalam kenyataan itu, Naib Pengerusi Barisan Nasional (BN) Bahagian Kulim/Bandar Baharu, Chua Teng Ghee berkata, aktiviti yang dijalankan secara berleluasa itu boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya apabila tebing sungai runtuh akibat hakisan.

Teng Ghee turut mendesak Kerajaan Negeri mengkaji semula pengeluaran permit tersebut dan membuat pemantauan rapi terhadap aktiviti pengeluaran pasir di kawasan berkenaan.

Azizan berkata, kenyataan yang dibuat Teng Ghee itu adalah sekadar aduan terhadap ancaman hakisan dan sepatutnya disalurkan kepada saluran yang betul untuk diambil tindakan dan bukannya mengada-adakan cerita tidak tepat berkenaan isu berkenaan.

“Apabila sungai itu mahu dibersihkan, sudah tentu pasir sungai dikorek dan pasir diletakkan di tebing buat sementara waktu. Ianya bukan aktiviti tidak terkawal seperti didakwa kerana kita memang maklum berhubung perkara itu,” katanya.

Menurutnya, penduduk sekitar hendaklah membuat aduan kerosakan atau hakisan kepada Pegawai Tanah Daerah (PTD) Kulim mengenai hakisan yang dikatakan berlaku di Kilometer 7, Jalan Kulim-Serdang berdekatan sebuah kuil Hindu supaya tindakan dapat dibuat.

“Soal aduan dan tuduhan adalah dua perkara berbeza. Jika ada aduan laporlah kepada pihak berkenaan,” katanya.

Kelmarin, Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kulim/Bandar Baharu, Mohd Khuzai Khussani berkata, pItalic
ermit pengeluaran pasir itu dikeluarkan oleh Pejabat PTG Negeri Kedah dan aktiviti itu sudah berjalan sejak beberapa bulan lalu.

Menurutnya, pihaknya berada dalam dilema kerana pemilik tanah sekitar iaitu PKNK melalui anak syarikatnya, Kulim Hi-Tech Park Corporation (KTPC) memohon mengeluarkan pasir dari kawasan sungai di situ untuk kegunaan projek pembangunan di Taman Teknologi Tinggi Kulim.

Mohd Khuzai berkata, walaupun JPS cuba menghalang dengan alasan kegiatan itu kelak akan merosakkan ekosistem persekitaran dan menyebabkan tanah runtuh di tebing jalan raya, namun pihaknya terpaksa mengalah memandangkan kawasan tersebut adalah milik PKNK.SH

No comments: