Tuesday, July 13, 2010

Lantikan wakil DHPP ahli PBT kerana setia










KUALA LUMPUR, 13 Julai :
Pelantikan empat wakil Dewan Himpunan Penyokong PAS sebagai ahli majlis pihak berkuasa tempatan minggu lalu adalah berasaskan keanggotaan dalam sayap itu dan mewakili kaum, bukannya agama, kata PAS Selangor hari.

Ketua Penerangan PAS Selangor Roslan Mohd Shahir mengakui salah seorang daripada empat wakil dewan itu, yang dilantik adalah beragama Islam.

“Kami sedar salah seorang beragama Islam, tetapi dia (S. Arun) dilantik kerana kesetiaan dalam Dewan Himpunan Penyokong PAS. Dia menganut Islam kemudian, baru-baru.

“Jadi PAS Selangor memilih beliau kerana sudah lama bersama PAS dan yakin boleh berkhidmat sebagai ahli majlis, Pesuruhjaya PAS sudah membuat keputusan dan diterima,” kata beliau lagi.

Arun ketika dihubungi enggan mengulas statusnya yang dipersoalkan dalam laporan sebuah akhbar hari ini.

Akhbar itu memetik Timbalan Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS N. Balasubramaniam berkata PAS perlu memberikan penjelasan berhubung pelantikan Arun sebagai ahli majlis Daerah Hulu Selangor.

Kata Balasubramaniam, PAS sebelum ini memperuntukkan empat kerusi ahli majlis di Selangor kepada dewan itu sebagai tanda sokongan.

Bagaimanapun menurutnya, akhir-akhir ini banyak pihak menimbulkan persoalan berhubung status Arun kerana kini beragama Islam.

Pada Jumaat lalu, susulan pelancaran Dewan Himpunan Penyokong PAS akhir Mei lalu, PAS Selangor mengambil pendekatan berbeza dengan melantik empat ahli kalangan bukan Islam.
Daripada empat nama itu, tiga orang India dan seorang Cina.

Mereka terdiri daripada K. Deepakaran yang dilantik sebagai ahli Majlis Perbandaran Klang, Arun (Hulu Selangor), S. Lakshmanan (Kuala Selangor) dan Low Hock Khieng (Selayang).

Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali mengakui, “saya percaya ini kali pertama PAS” melantik kalangan bukan Islam sebagai ahli majlis.

Yang pasti, ia memang satu rekod lebih-lebih lagi selepas pelancaran Dewan Himpunan Penyokong PAS, hasil dinaik taraf daripada Kelab Penyokong PAS berusia enam tahun.
Roslan memberitahu terdapat juga orang Melayu yang tidak menjadi ahli PAS tetapi menganggotai Dewan Himpunan Penyokong PAS.

“Oleh itu isu agam tidak harus menjadi masalah,” katanya.

Mengenai ikrar aku janji dan bai'ah, kata beliau, Arun boleh mengambil mana-mana cara.
“Kalau beliau hendak menggunakan kedua-dua cara pun boleh, tetapi memadai sekurang-kurangnya salah satu cara angkat sumpah ini,” katanya.

Dalam pada itu Deepakaran yang juga Setiausaha Dewan Himpunan Penyokong PAS berkata, pihaknya tidak melihat ia sebagai satu isu.

“Apa yang penting, dia seorang ahli Dewan Himpunan,” katanya.

No comments: