Saturday, July 10, 2010

Najib pinda jawapan judi
















KUALA LUMPUR 10 Julai : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan gagal menterjemahkan dasar kementerian berhubung isu kelulusan lesen judi sukan sehingga pegawai kementerian tersebut terpaksa meminda jawapan lisan sebanyak tiga kali.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata ini menunjukkan kelemahan pengurusan Kementerian Kewangan dalam menberikan kedudukan sebenar dan kegagalan menterinya untuk menjelaskan pendirian kementerian kepada pegawai sehingga tercetus kekeliruan.

"Saya tidak bersetuju jika menteri ingin menyalahkan pegawai kerana ini merupakan kelemahan menteri itu sendiri yang saya fikir Menteri Kewangan sudah hilang kelayakan untuk mengurus kementerian tersebut dan urusan ekonomi negara ini.

"Sewajarnya Menteri Kewangan melepaskan jawatannya kepada orang lain yang mempunyai keupayaan untuk menguruskannya supaya jawapan yang disediakan nanti adalah jawapan yang muktamad dan konsisten" kata Mahfuz di parlimen Khamis lalu.

Mahfuz menyindir Kementerian Kewangan kerana meminda jawapan sebanyak tiga kali dalam keadaan kementerian itu mempunyai dua orang menteri dan dua orang timbalan.

Insiden ini dianggap sebagai memalukan dan tidak pernah berlaku dalam sejarah negara kata beliau.

Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi pula menyifatkan kekeliruan yang terjadi cerminan sikap Najib yang terkenal dengan dasar 'flip-flop' dilihat daripada soalan lisan yang dijawab secara bertulis itu 'flip-flop' tiga kali.

Apa yang anehnya kata Jeff Ooi, jawapan secara bertulis kali ketiga yang dianggap sebagai muktamad itu telah disediakan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Donald Lim.

"Di sini saya ingin memperingatkan timbalan menteri itu, barangkali beliau juga tersasul kerana tidak mengikuti perkembangan cerita sebenar.

"Saya minta Donald membawa perkara ini ke Jemaah Menteri supaya diberi perhatian kepada sidang media yang diadakan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek di mana beliau berkata kerajaan Umno-Barisan Nasional tidak sesuai mengumumkan keputusan itu di dalam mesyuarat tertinggi Umno dan hendaklah diputuskan dalam mesyuarat Kabinet.

"Saya harap Donald jangan jadi bidan terjun atau pak turut dengan meminda jawapan lisan itu beberapa kali kepada saya dan Ahli Parlimen Pokok Sena," tegas beliau.

Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke membidas Najib yang mengubah dasar dan keputusan kerajaan dalam mesyuarat tertinggi Umno menyebabkan timbalannya tidak mengetahui perkara sebenar.

Ini menyebabkan beliau membuat kesilapan dalam menyediakan jawapan kepada soalan yang diajukan ahli parlimen di Dewan Rakyat.

"Ini sepatutnya menjadi pengajaran kepada Najib kerana sebarang keputusan seharusnya dibuat dalam mesyuarat Kabinet supaya timbalan menteri dan pegawai-pegawainya tahu keputusan kerajaan yang diputuskan Perdana Menteri," ujarnya.

No comments: