Thursday, July 1, 2010

Pesta Wau Jemputan Antarabangsa di Kelantan


KOTA BHARU , 1 Julai : Pesta Wau Jemputan Antarabangsa Kelantan 2010 yang akan berlangsung selama empat hari bermula 15 hingga 18 Julai ini bertempat di Pantai Irama, Bachok dijangka menarik ribuan pengunjung dari seluruh pelusuk negeri Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pertandingan yang memasuki edisi ke-27 itu dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan dengan kerjasama pelayang Negeri Kelantan dan Majlis Pelayang Malaysia.

“Sebanyak 21 kategori dipertandingkan membabitkan penyertaan hampir 200 peserta daripada 13 buah negeri dan negara jiran Thailand merupakan satu-satunya pasukan luar yang dijemput menyertai pertandingan ini.

”Antara kategori yang dipertandingkan ialah kategori wau bulan tradisi, wau puyuh tradisi, wau jalabudi tradisi, wau barat, wau bulan satu pancang dan banyak lagi.

“Selain daripada itu, pertandingan itu turut dibuka untuk kategori Universiti Malaysia Kelantan (UMK), dan juga peringkat sekolah menengah,” katanya.

Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (Bahagian Pengurusan), Shafie Ismail, Yang Di Pertua Majlis Daerah Bachok, YM Tuan Zainal Abidin Tuan Yusof dan Pengerusi Pelayang Negeri Kelantan, Nik Arif Nik Hassan.

Takiyuddin berkata, Majlis Daerah Bachok dipilih sebagai hos pertandingan ini manakala AQ Events akan bertindak sebagai pengurus acara pertandingan.

“Daerah Bachok dipilih menjadi tuan rumah pada pertandingan kali ini bersesuaian untuk mempromosikan daerah itu sebagai Bandar Pelancongan Islam di negeri Kelantan.

“Kehebatan Kelantan selaku tuan rumah dan juga juara sebanyak 10 tahun berturut-turut di peringkat kebangsaan selain terbaru, muncul sebagai johan persembahan terbaik kebangsaan dan meraih tempat ketiga Open Rokkaku Challenge di Pasir Gudang pada 27 Jun lalu pastinya menjanjikan kemeriahan pertandingan,” katanya.

Pesta Wau Antarabangsa Jemputan Kelantan 2010 kali ini menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM30,000.

Majlis perasmian penutup pertandingan tersebut dijangka disempurnakan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat 18 Julai nanti.SH

No comments: