Monday, July 19, 2010

Tahu siapa pemimpin PAS berjumpa Harussani


IPOH , 19 Julai : Setiausaha Sekretariat Pakatan Rakyat (PR), Drs Khalil Idham Lim Abdullah berkata, beliau tahu siapa pemimpin PAS yang didakwa bertemu dengan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Katanya, beliau mengetahui dengan lengkap pertemuan itu tetapi menolak dakwaan bahawa ianya berkaitan dengan usaha untuk menyatupadukan parti itu dengan UMNO.


Menurutnya, matlamat pertemuan itu bukan untuk membincangkan isu perpaduan antara PAS dengan UMNO seperti yang disiarkan akhbar semalam.


“Tetapi saya masih tidak berhasrat untuk mendedahkan dengan lebih jelas maklumat yang saya peroleh,” katanya, semalam.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kesediaan Harussani untuk menjadi orang tengah pertemuan UMNO PAS bagi membincang perpaduan orang Melayu dan umat Islam.


Harussani turut mendakwa terdapat beberapa pemimpin kedua-dua parti itu yangh datang berjumpa beliau bagi berbincang dan meminta pandangan berhubung kerjasama kedua-dua parti tersebut.


Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Perak, Abu Bakar Hussain berkata, perpecahan kini melanda UMNO bukannya PAS.


Menurutnya, Harussani perlu menyatukan UMNO dan Melayu terlebih dahulu sebelum cuba menjadi perantara perpaduan UMNO- PAS.


“Perpaduan dapat direalisasikan UMNO jika kembali kepada ajaran asas iaitu berpandukan kepada al-Quran dan hadis, jadi selagi UMNO tidak berpaksikan kepada Islam, penyatuan itu tidak akan berlaku.


“Melayu dan Islam adalah perkara berbeza dan jika UMNO kembali kepada ajaran Islam, penyatuan ini boleh dilaksanakan,” katanya.
SH

No comments: