Monday, August 16, 2010

Kerajaan BN luluskan lesen balak Rimba Teloi


ALOR SETAR, 17 Ogos : Kerajaan Negeri tidak pernah meluluskan lesen pembalakan di Hutan Simpan Rimba Teloi sepanjang dua tahun memegang tampuk pemerintahan.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kawasan pembalakan yang diluluskan melalui tender terbuka adalah di Bukit Kachi, Tiang Layar, Ulu Muda dan Gunung Inas sahaja.


“Tidak ada di Rimba Teloi. Kelulusan itu dibuat ketika Barisan Nasional memerintah sebelum ini, iaitu pada 28 Ogos dan 9 November 2005,” katanya.

Menurutnya, setiap kawasan pembalakan melalui proses kelulusan yang ketat, di bawah seliaan Jabatan Perhutanan. Mana-mana kawasan yang diluluskan dalam Jawatankuasa Hasil Bumi mengambil masa satu hingga tiga tahun untuk proses ‘tagging’ (tanda pokok yang boleh ditebang), persempadanan, dan memproses lesen menebang.

“Itu prosedur biasa. Oleh kerana Kerajaan Negeri tidak keluarkan lesen di kawasan itu. Oleh itu jika ada pembalakan seperti didakwa, ia adalah kawasan yang diluluskan oleh Kerajaan BN,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, kelulusan yang diberi tidak boleh ditarik balik walaupun pemerintah bertukar.

“Jika Kerajaan Negeri cuba batalkan mana-mana kawasan yang telah lulus sebelum itu, kelak boleh disaman atau didenda. Ada kes di Kelantan, kerajaan kena bayar beratus-ratus juta walaupun kes kelulusan pembalakan itu berlaku di zaman BN,” katanya.

Menurutnya, mana-mana kawasan yang diluluskan telah melalui proses standard yang termaktub dalam undang-undang (Akta Parlimen) yang telah diluluskan.

“Kelulusan pembalakan pada zaman 2006-2009 sangat ‘memilukan’, hanya sekitar RM6 juta hingga RM10.8 juta hasil pembalakan negeri. Kuota tebangan ditetapkan ialah 2,340 hektar, tidak termasuk tanah kerajaan dan kuota tahun sebelumnya yang tidak dihabiskan,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan Negeri kini memperolehi antara RM35 juta hingga RM38 juta premium tidak termasuk cukai kayu per/tan pada 2008 hingga 2009.

“Saya kesal ada wakil rakyat UMNO cuba keruhkan keadaan. Buat masa ini, Kerajaan Negeri melalui Pejabat Daerah dan JKM sedang bertungkus lumus membantu mangsa banjir di kawasan terbabit,” katanya.SH

No comments: