Tuesday, August 24, 2010

Mufti 'double standard’








PARIT BUNTAR , 25 Ogos :
Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria diminta supaya jangan bersikap ‘double standard’ berkaitan masalah agama yang timbul di dalam negara ini.

Ketua Penerangan PAS Parit Buntar, Fakhrurrazi Khalid berkata, mufti tersebut diminta tidak berat sebelah dalam mengutarakan pandangan peribadinya. Apa yang jelas, beliau seolah-olah menjadi jurucakap UMNO/BN dalam setiap isu.


“ Apa sahaja ada kekeliruan isu agama yang membabitkan Pakatan Rakyat, beliaulah orang yang terawal memberikan komen negatif, sebaliknya jika membabitkan UMNO/BN, tiada suara dari beliau.


“ Ini terbukti apabila isu doa dalam khutbah jumaat, beliau terus membuat komen tanpa merujuk majlis fatwa. Ini berbeza dengan Mufti Kedah yang menyerahkan isu ini kepada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan untuk membuat keputusan” katanya


Fakhrurrazi berkata, Harussani mendiamkan diri apabila UMNO secara terbuka mengadakan majlis bacaan Yaasin mendoakan calon BN bukan Islam P Kamalanathan semasa pilihanraya kecil Hulu Selangor.


“ Mufti Perak ini juga sering diam seribu bahasa apabila UMNO/BN terbabit dalam isu akidah seperti menjadikan politik dan agama diasingkan dan isu aurat isteri-isteri Menteri UMNO.


“ Beliau juga tidak banyak komen tentang isu keruntuhan moral atau gejala sosial yang semakin meruncing kini” katanya


Menurut Fakhrurrazi, setakat hari ini mufti berkenaan tidak membuat laporan polis berkaitan ‘perlembagaan baru’ yang diheboh-heboh oleh beliau.


“ Selama mana beliau boleh berhujah bahawa beliau mufti maka tidak berbohong. Lama kelamaan umat Islam akan mengetahui juga tembelang beliau.


“ Adalah lebih baik beliau membuat arahan kepada kerajaan negeri supaya di dalam bulan Ramadhan yang mulia ini kedai-kedai makan ataupun restoran beragama Islam dibuka selepas jam 3.oo petang sahaja bagi mengelakkan gejala masyarakat Islam yang tidak berpuasa.


Tambahnya, sekiranya Harussani benar-benar ingin menjadi jurucakap UMNO, beliau disyorkan meletakkan jawatan dengan menyertai UMNO serta menjadi calon Pilihanraya Umum ke 13 yang akan datang di tempat asalnya, Parit Buntar.

No comments: