Tuesday, August 24, 2010

Masjid main peranan cegah gejala sosial


SIMPANG EMPAT , 25 Ogos : Semua institusi masjid dan surau khusus dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kundor diminta memainkan peranan mencegah gejala sosial yang semakin meruncing sekarang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor, Datuk Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata, dalam keriuhan mengenai gejala sosial yang melanda negara kini, institusi masjid dan surau seharusnya memainkan peranan masing-masing dalam mengimarahkan masjid.


“Masjid dan surau juga adalah satu-satunya saluran penting dalam pelbagai sudut sama ada ilmu, sunnah dan sebagainya.

“Sudah menjadi satu kewajipan institusi masjid ini untuk menarik lebih ramai umat Islam datang ke masjid dan berjemaah bersama-sama selain mengikuti pelbagai aktiviti diadakan di masjid,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Ir Phahrolrazi berkata, masjid juga bertanggungjawab untuk mengadakan kuliah ilmu kerana kuliah di sekolah sahaja tidak mencukupi.

Menurutnya, kuliah ilmu itu perlu ada untuk menarik lebih ramai penyertaan umat Islam ke masjid dalam masa sama, dapat membantu membendung gejala sosial sekarang yang semakin teruk.

Beliau berkata, untuk menjaga akidah umat Islam bukan sesuatu yang mudah kerana terdapat turun naik tahap keimanan seseorang itu, malah ia perlu dipupuk dari masa ke masa melalui peranan institusi masjid.

Ir Phahrolrazi berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan wang sebanyak RM300 kepada 19 masjid dan RM200 untuk 38 surau dalam DUN Pengkalan Kundor untuk tujuan mengimarahkan masjid masing-masing sepanjang Ramadan. SH

No comments: