Wednesday, August 18, 2010

Satu keluarga seorang hafiz

KOTA BHARU, 19 Ogos: Kerajaan Kelantan berharap semoga dalam satu keluarga akan lahir seorang hafiz al-Quran dan dalam masa yang sama tokoh dalam bidang pentafsiran al-Quran juga dapat dilahirkan dalam masyarakat negeri ini.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaacob berkata, sehubungan itu kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM70 juta setahun bagi membiayai pengurusan pendidikan dan pembelajaran sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan (Yik).

(Gambar: Ahmad, Takiyuddin bersama pemenanga tilawah.)

Beliau mengharapkan generasi kini yang masih berada di sekolah Yik termasuk di Maahad Tahfiz Sains akan lahir sebagai golongan generasi yang hafiz Al-Quran.

Katanya, dengan anak-anak yang kini sedang belajar di sekolah YIK diharap akan mampu lahir sebagai generasi berilmu terutama dalam bidang hafazan al-Quran dan pentafsirannya.

“Sekurang-kurangnya seorang hafiz al-Quran bagi satu keluarga akan dapat dilahirkan di samping melahirkan tokoh dalam bidang pentafsiran Al-Quran termasuk mengenai keilmuan berkaitan ‘mineral’ yang digali dari Al-Quran.

“Apatah lagi pengalaman dan keilmuan yang ada pada anak-anak kita yang menduduki Maahad Tahfiz Sains,” katanya pada Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Kelantan di Qaryah Ramadhan, Dataran Stadium Sultan Mohd Ke-IV di sini, kelmarin.

Program anjuran Kerajaan Negeri Kelantan yang dikendalikan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) bermula 14 hingga 17 Ogos itu sempena Ihya’ Ramadhan Di Serambi Mekah 1431 Hijriah.

Menurutnya, adalah menjadi cita-cita kerajaan negeri agar rakyat di negeri ini dapat merasai kehidupan bukan seperti rakyat di negeri lain.

“Sebahagian masyarakat di negara ini tidak memahami ajaran al-Quran serta tidak mengamalkannya. Ini menyebabkan mereka berani melakukan perbuatan maksiat, bahkan sewenang-wenangnya melanggar perintah Allah SWT tanpa merasakan apa-apa kesalahan.

“Kita merasa sangat bertuah apabila memerintah Kelantan dengan menggubal dasar termasuk mengenai pendidikan Islam bagi membolehkan generasi kini melanjutkan pelajaran menerusi sekolah di bawah Yik terutama apabila wajudnya Maahad Tahfiz Sains, justeru lebih banyak lagi ‘khazanah Allah’ dalam al-Quran dapat dikuasai para pelajar,” katanya.

Mengulas Tilawah Al-Quran Peringkat PBT Negeri Kelantan, beliau mengharapkan akan datang program itu diperluaskan penyertaannya bagi membolehkan penyertaan kalangan kakitangan jabatan negeri dan persekutuan, agensi negeri dan badan berkanun di samping kakitangan bank dan swasta.hrkh

No comments: