Sunday, September 26, 2010

10,000 meriah Cakna Rakyat DUN


TANAH MERAH, 27 Sept. : Hampir 10,000 masyarakat sekitar jajahan Tanah Merah dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Panau memeriahkan sambutan Program Cakna Rakyat DUN Bukit Panau di bawah anjuran Kerajaan Negeri yang dikendalikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Panau yang juga Exco Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO, Abdul Fattah Mahmood.

Program yang diadakan di Padang Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) itu turut dimeriahkan dengan pelbagai pameran termasuk daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jheaik) Jajahan Tanah Merah, Pejabat Tanah dan Jajahan Tanah Merah, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di samping pameran 13 Unit Peti Undi (UPU) Mukim Bukit Panau.


Abdul Fattah Mahmood berkata, sambutan menggalakkan menunjukkan masyarakat memberi kerjasama dalam penganjuran program seumpama itu.

“Saya berterima kasih kepada UPU yang memberi komitmen yang tinggi dalam menjayakan program itu dan berbangga di atas tugas yang dilaksanakan dengan baik bagi menjayakan program.

“Ternyata ia berjaya menghimpunkan masyarakat setempat dalam satu program gilang-gemilang dan julung kali diadakan di DUN Bukit Panau,” katanya.

Katanya, majlis tiga dalam satu yang diadakan itu merangkumi Majlis Cakna Rakyat, Majlis Mesra Aidilfitri dan Malam Seni Kesenian Islam.

Selain dapat merapatkan ukhuwah antara masyarakat, orang ramai juga berpeluang meluangkan masa bersama keluarga dalam suasana santai.

“Kejayaan penganjuran program dicapai hasil kerjasama semua pihak dan diharap ia dapat dilaksana pada masa akan datang dengan sambutan lebih meriah.

“Inilah yang dinamakan kesepakatan. Apa jua program yang dijalankan, ia bukan bergantung kepada individu itu, tetapi pelaksanaan program yang dijalankan dan pengisian yang ditonjolkan bagi menarik minat masyarakat menyertai aktiviti berkenaan,” katanya.

Terdahulu, program dirasmikan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan turut dihadiri Ahli Parlimen Tanah Merah, Amran Ab Ghani.SH

No comments: