Tuesday, September 21, 2010

Fobia kartun


KUALA LUMPUR, 21 Sept: Setelah menempuh pelbagai halangan dalam penerbitan dua buku kompilasi karya kartun sebelum ini, Zulkiflee SM Anwar Ulhaque atau Zunar menerbitkan buku ketiga beliau, Cartoon O-Phobia yang akan dilancarkan pada 24 September ini.

Zunar berkata, kebanyakan karya-karya kartun dalam C adalah koleksi pilihan kartun-kartun beliau yang tersiar dalam laman web Malaysiakini dari Disember 2009 hingga September tahun ini.


"Selain itu, ada juga karya-karya yang disiarkan dalam laman web saya, cartoonkafe.com dan ada juga yang tidak pernah disiar di mana-mana penerbitan," kata Zunar ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Cartoon-O-Phobia mengandungi 100 muka surat dan semua lukisan di dalamnya adalah berwarna penuh.

Buku ini dijual dengan harga pasaran RM25 dan juga boleh dibeli secara online di web tersebut.

Menurutnya, idea untuk menghasilkan Cartoon-O-Phobia diilhamkan apabila Kementerian Dalam Negeri mengharamkan buku-buku kartunnya iaitu 1 Funny Malaysia, Perak Darul Kartun dan Isu Dalam Kartun.

"Ketika diharamkan pada Jun lalu, alasan yang diberi kerajaan ialah kerana buku-buku dan majalah saya itu dianggap ‘mengancam ketenteraman awam’ dan ‘boleh mempengaruhi orang ramai supaya merusuh terhadap kerajaan’.

"Kerana itu, nama Cartoon-O-Phobia dipilih bagi menggambarkan ketakutan sesetengah pihak kepada karya-karya kartun,” ujarnya.

Secara peribadi jelasnya, buku ini adalah lebih pedas, tajam dan padat berbanding dengan buku-buku beliau sebelum ini.

"Saya menyentuh semua isu-isu yang menjadi perbualan awam seperti isu Altantuya, konspirasi terhadap Anwar, isteri PM, kehilangan jet enjin, Scorpene yang tak boleh menyelam, Sarawak, perkauman, korupsi dan lain-lain," jelasnya.

Pelancaran yang akan diadakan di Dewan Perhimpunan Cina-Selangor (KLSCAH) itu akan dirasmikan oleh bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Ditanya sebab Nizar dipilih sebagai perasmi, beliau berkata, ianya sebagai tanda penghormatan kepada Nizar yang masih dianggap menteri besar yang sah oleh majoriti rakyat Perak khususnya dan rakyat Malaysia amnya.

"Kita masih menganggap beliau sebagai menteri besar yang sah. Bagi pandangan rakyat macam saya, beliau adalah menteri besar yang sah walaupun keputusan mahkamah telah dikeluarkan.

“Ini sebagai sebagai satu penghormatan kepada beliau dan beliau juga seorang tokoh yang popular dan mewakili dan diterima semua kaum di Malaysia selain ada karisma yang tersendiri," katanya.

Sehubungan itu, beliau menjemput semua peminat dan pembaca karya-karya beliau untuk hadir ke majlis pelancaran pada jam 8 malam.

No comments: