Tuesday, September 28, 2010

'Mata sepet dan kaki botol' , bukti Umno tak mahu perpaduan



KUALA LUMPUR, 28 Sept . : Selepas dikritik MIC dan DAP ekoran kenyataan pegawai kanan Biro Tata Negara (BTN) semalam, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub menyifatkan gagasan 1 Malaysia pentadbiran Najib, yang menjadi platform perpaduan kaum, adalah imej sebenar Umno untuk memecah-belahkan semua kaum di negara ini.

“Ini adalah imej sebenar Umno yang sememangnya mahu memecahkan perpaduan kaum di negara ini.

“Malah kenyataan yang dibuat oleh seorang pegawai kanan Biro Tata Negara semalam telah menunjukkan imej sebenar Umno yang tidak mahukan perpaduan,” katanya.

Beliau berkata, konsep 1 Malaysia telah menjadi alat yang menyebabkan perpaduan kaum semakin terhakis.

“Kalau konsep 1 Malaysia ini diserapkan ke peringkat akar umbi saya yakin mereka akan faham.

“Tapi nampaknya apa yang jadi sekarang adalah sebaliknya dan bagi saya ini adalah wajah sebenar Umno yang rasis dan menolak perpaduan kaum,” katanya.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan yang dibuat Timbalan Pengarah BTN Wilayah Persekutan yang mengatakan hak orang Melayu adalah untuk menerajui negara dan boleh bersatu untuk menghadapi apa jua ancaman sebelum pilihan raya umum akan datang.

Baru-baru ini bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, orang Melayu akan hilang kuasa jika penguasaan Putrajaya diambil alih oleh Pakatan Rakyat.

“Hak orang Melayu adalah untuk memerintah negara ini. Ia jelas,” kata Hamim pada majlis dialog anjuran Puteri Umno di sini semalam.

“Orang Melayu mesti bersatu untuk menghadapi cabaran,” tambah beliau.

Hamim juga berkata orang Melayu tidak boleh memerintah negara ini tanpa bekerjasaam dengan masyarakat-masyarakat bukan Melayu memandangkan setiap rakyat hanya membawa satu undi.

“Sebab itu kita berkawan dengan MCA dan MIC,” katanya lagi.

Kata beliau Dr Mahathir dan penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi, dan juga masyarakat Cina, India dan Orang Asli hanya mempunyai hak kepada satu undi.

“Si mata sepet yang tidak pernah pergi ke masjid atau ke surau juga hanya mempunyai satu undi.

“Si botol yang hanya tahu naik dan turun Batu Caves juga hanya mempunyai satu undi,” kata beliau merujuk kepada masyarakat Cina dan India negara ini.

“Jadi, Puteri Umno mesti berkawan dengan golongan muda bukan Melayu,” kata beliau.
Kenyataan yang dibuat Hamim dikecam pemimpin-pemimpin MIC dan DAP sambil menyifatkan konsep 1 Malaysia yang dibawa Najib menjadi ‘mangsa’ tindak tanduk pihak di sekitarnya sendiri.

Penasihat DAP Lim Kit Siang juga berkata tindakan timbalan Najib, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyokong BTN secara terbuka sebelum ini juga memudaratkan idea 1 Malaysia digerakkan perdana menteri.

Dalam pada itu, Naib Presiden MIC Datuk Dr S Subramaniam juga mengecam kenyataan-kenyataan bersifat menghina masyarakat bukan Melayu itu hari ini.

Beliau yang juga Menteri Sumber Manusia menggesa agar kerajaan menjalankan siasatan mengenai perkembangan tersebut.

Subramaniam juga bimbang kenyataan-kenyataan itu akan dianggap sebagai menggambarkan pendirian pentadbiran Najib, yang sudah tentu akan merosakkan imej beliau selaku perdana menteri.

No comments: