Sunday, September 19, 2010

Jika benar Zambry dapat sokongan, bubar dewan

IPOH, 19 Sept. : Jika benar, bubar Dewan dan adakan pilihanraya - itu cabaran Datuk Seri Nizar Jamaluddin kepada Menteri Besar Zambry Kadir yang mendakwa sokongan untuk Umno-Bn di Perak semakin mantap.

"Saya ulangi cabaran saya. Ini bukan pertama kali...banyak kali dia sebut bahawa Umno disayangi semula (dan) BN diberikan sokongan padu...jadi kalau betul, beliau harus pulihkan demokrasi di Perak dan adakan semula pilihanraya,' kata beliau kepada Tv Selangor.


Bernama hari ini memetik Zambry sebagai mendakwa sokongan rakyat di Perak terhadap BN semakin memuncak kerana ramai yang menerima baik gagasan 1 Malaysia ciptaan Perdana Menteri, Najib Razak.


Nizar yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang, beberapa kali mencabar Zambry untuk mengadakan pilihan raya negeri untuk mendapatkan mandat daripada rakyat yang menyokong Pakatan rakyat pada pilihanraya umum 2008.

Selepas kejayaan pembangkang itu, Nizar menjadi Menteri Besar tetapi digulingkan apabila Umno memancing tiga ADUN pembangkang untuk menyokong Barisan Nasional.

Dua daripada mereka menghadapi tuduhan rasuah ketika itu tetapi dibebaskan setelah menyokong BN untuk membentuk kerajaan negeri yang baru.

Sehingga ini, Zambry tidak pernah menyahut cabaran Nizar walaupun sering mendakwa Umno semakin diterima rakyat.

"Tetapi apabila mereka tidak menyahut keyakinan itu bermakna itu hanyalah kenyataan-kenyataan sonsang untuk menyedapkan diri mereka" tegas Nizar lagi.

Menurut Nizar lagi, Zambry dalam keadaan begitu terdesak sehingga terpaksa merujuk kepada dakwaan beberapa pemimpin Angkatan Muda Keadilan Perak dan 72 anggota Wanita cabang Ipoh Barat bertindak keluar parti sebagai bukti sokongan Umno makin kuat.

Hakikat ialah mereka yang keluar itu menghadapi masalah displin, malah ada antara mereka bukan ahli PKR sama sekali.

Nizar berkata kenyataannya ialah Zambry semakin ditolak oleh rakyat Perak.

"Orang di tempat dia sendiri di Pangkor, telah menolak dia. Itulah sebabnya dia mengeluarkan kenyataan itu untuk meyakinkan diri dia dan BN bahawa mereka masih kuat sedangkan hakikatnya orang di sana sudah tidak berkenan pada dia," kata Nizar. -TVS

No comments: