Saturday, September 4, 2010

Kumpulan 8 belum sertai PAS


ALOR SETAR, 4 Sept. : Kumpulan lapan bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar yang meletak jawatan, masih belum membuat keputusan untuk menyertai PAS.

Jurucakap Kumpulan 8, Noor Baidurzaman Abu Bakar berkata, beliau dan rakan-rakannya buat masa ini masih setia bersama UMNO walaupun tidak lagi memegang jawatan AJK Pemuda UMNO Bahagian.


“Kami akan buat keputusan secara berkumpulan, melibatkan kesemua lapan ahli sebelum memutuskan sama ada mahu kekal bersama UMNO ataupun tidak. Buat masa ini, kami masih menyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Noor Baidurzaman berkata demikian ketika diminta mengulas pelawaan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kedah, Mohd Nasir Zakaria untuk

mereka menyertai parti itu setelah melepaskan jawatan AJK Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar.

Semalam, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Zubir Zabidi mengumumkan penerimaan peletakan jawatan kelapan-lapan bekas AJK itu.

Noor Baidurzaman berkata, walaupun sudah melepaskan jawatan, mereka akan bergerak di peringkat akar umbi dan cawangan untuk membantu UMNO.

Selain Noor Baidurzaman, tujuh AJK lain yang meletak jawatan ialah Mohamed Shajahan Mohd Abdul Kader, Mohamad Roshidi Marzuki, Wira Abdullah, Ahmad Faiz Abdul Halim, Mohd Zahir Abu Bakar, Mohd Shaharudin Manaf serta bekas Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar, Mohd Azreen Azizan.


Sementara itu, Sinar Harian difahamkan sudah ada pihak yang berminat untuk mengadakan pertemuan dengan kumpulan ini dan ia dijangka berlangsung dalam temnpoh terdekat.

Ditanya mengenai desas desus itu, Noor Baidurzaman enggan memberi sebarang komen sebaliknya hanya berkata setakat ini tiada apa-apa yang perlu dimaklumkan.

“Tunggu dan lihat jika ada apa-apa perkembangan selepas ini,” katanya.

Sementara itu, Zubir berkata, mesyuarat Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar 30 Ogos lalu memutuskan untuk

menerima perletakan jawatan lapan AJK terbabit termasuk Mohd Azreen.

“Kita sudah bincang dan minta mereka membatalkan hasrat itu. Namun mereka tetap mahu meletak jawatan, jadi Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar terpaksa menghormati keputusan mereka.

“Saya anggap isu ini sudah selesai dan kita menghormati pendirian mereka. Mereka masih lagi ahli UMNO cuma tidak lagi menjadi AJK

peringkat bahagian,” katanya.

Ditanya mengenai kekosongan yang berlaku, Zubir berkata, jawatan berkenaan akan disusun semula selepas Aidilfitri.

“Saya bagi pihak Pemuda UMNO Bahagian ingin menyatakan sokongan padu terhadap kepimpinan UMNO Bahagian Alor Setar yang diketuai Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah serta mengucapkan terima kasih kepada mereka yang selama ini berkhidmat sebagai AJK di Bahagian Alor Setar,” katanya.SH

No comments: