Thursday, September 2, 2010

Tangguh salur wang ihsan


KOTA BHARU, 3 Sept. : Kerajaan Kelantan bercadang untuk memfailkan satu lagi tuntutan untuk menghentikan penyaluran wang ihsan yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan kini sehingga kes saman terhadap Petronas selesai.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa berkata, perkara tersebut akan dibincangkan dengan peguam kanan yang sama, Tommy Thomas dalam sedikit masa lagi.


“Kerajaan Negeri akan dapatkan pandangan daripada peguam, Tommy bagi tujuan untuk melaksanakan fail tuntutan itu nanti,” beliau berkata demikian di Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya kepada anak-anak yatim dan ibu tunggal di Dewan Undangan Negeri (DUN) Salor di sini, semalam.


Menurutnya, peruntukkan sebanyak RM25 juta yang diluluskan Kerajaan Persekutuan sebagai pemberian wang ihsan pertama kepada negeri itu perlu dihentikan untuk sementara waktu.


“Peruntukkan dari Kerajaan Pusat itu sedikit sebanyak ada kaitannya dengan isu tuntutan royalti minyak yang difailkan Kerajaan Negeri di Mahkamah Dagang, Kuala Lumpur pada Isnin lalu.


“Jadi, kita akan cuba untuk memohon kepada mahkamah supaya pembahagian wang berkenaan dihentikan sehingga keputusan ke atas kes saman Petronas itu diputuskan oleh mahkamah berkenaan,” katanya.


Isnin lalu, Kerajaan Kelantan memfailkan saman terhadap Petronas kerana mendakwa syarikat minyak negara itu melanggar perjanjian selain menuntut syarikat sama untuk melaksanakan perjanjian petroleum dengan negeri ini.
SH

No comments: