Wednesday, September 1, 2010

Timbalan KM Sabah keluar LDP, sertai Gerakan



















KOTA KINABALU, 1 Sept. :
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Peter Pang En Yin hari ini mengumumkan bahawa beliau keluar dari parti Parti Liberal Demokratik (LDP) dan meletakkan semua jawatan dalam parti itu termasuk sebagai naib presiden berkuat kuasa serta-merta.


Menurut ADUN Karamunting itu, keputusan sukar berkenaan terpaksa dibuat berikutan tindakan LDP untuk menolak sebarang kerjasama dengan pengerusi BN negeri yang juga Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

“Saya faham keputusan ini akan mempengaruhi kedudukan di dalam kerajaan dan dengan ini, saya menawarkan untuk meletak jawatan daripada jawatan sedia ada dan berjanji untuk meneruskan khidmat di bawah kerajaan BN pimpinan Musa,” katanya.

Pang yang kelihatan sedih pada sidang akhbar itu, berkata beliau telah memaklumkan terlebih dahulu kepada Liew tentang keputusannya itu dan telah menjelaskan kepada Presiden LDP itu mengenai sebab beliau meninggalkan parti itu.

Katanya beliau tidak hadir pada mesyuarat BN Sabah dan tidak dirujuk berhubung keputusan untuk menentang Musa.

"Sekiranya saya dimaklumkan, saya tentu akan memberi cadangan agar melupakan sahaja perkara itu, demi kepentingan rakyat, untuk melihat keamanan dan kestabilan dalam kerajaan BN bagi mencapai kemajuan," katanya.

Pada Ahad lalu, Liew yang merupakan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, yang juga tidak hadir pada mesyuarat BN 24 Ogos, berkata beliau bersedia bertemu Musa berhubung pendirian LDP itu.

Pang dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah pada Mei tahun lalu.
Sejak kebelakangan, timbul khabar angin parti komponen itu akan meninggalkan BN.

Ia berikutan pergeseran antara Musa dengan beberapa pemimpin LDP.

Sebelum ini, timbalan presiden LDP, Chin Su Phin dilaporkan berkata parti itu tidak lagi boleh bekerjasama dengan Musa tetapi tetap setia kepada BN.
Paling tadah

Berikutan kenyataan Chin itu, timbalan pengerusi perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Salleh Said berkata LDP bersekongkol dengan pihak tertentu bagi menumbangkan Musa.

Presiden LDP, Datuk Liew Vui Keong, bagaimanapun menafikan bahawa partinya itu akan berpaling tadah.

"Tiada spekulasi seperti itu. Saya setia sebagai orang BN dan berikrar kesetiaan kepada BN di bawah pimpinan (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Razak),” katanya ketika dihubungi.

Pada 26 Ogos lalu, Musa melahirkan rasa kecewa dengan tindakan LDP yang didakwanya masih terbawa-bawa dengan isu pembinaan patung dewa Mazu dengan membangkitkannya dalam mesyuarat BN baru-baru ini walaupun perkara itu telahpun diselesaikan di mahkamah.

Sertai Gerakan

"Sebagai pemimpin BN, kita seharusnya hadir ke mesyuarat dengan niat yang baik dan dengan tujuan untuk mengutamakan kepentingan rakyat dan bukannya kepentingan individu," katanya kepada pemberita.
Di Putrajaya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata tindakan Pang keluar parti itu adalah bagi menyertai Parti Gerakan.

Beliau berkata Pang bertindak keluar daripada LDP bukan untuk menentang Barisan Nasional tetapi beliau masih menjadi "keluarga BN".

"Saya sedang bincang perkara ini dengan Presiden LDP (Datuk Liew Vui Keong) dan juga dengan (Ketua Menteri) Datuk Seri Musa Aman," katanya kepada pemberita selepas menerima kad Hari Kemerdekaan daripada pelajar Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara, di Kuala Lumpur, hari ini.

No comments: