Wednesday, October 13, 2010

PAS tidak boleh bersangka baik dengan SPR



KOTA BHARU, 13 Okt. : PAS Kelantan mnyangkal jaminan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai senarai 11,553 daftar pemilih di Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas adalah bersih dan isu ‘pengundi hantu’ tidak berbangkit.

Pengarah Jentera Pilihan Raya PAS negeri, Abdul Fatah Haron berkata, selagi adanya Barisan Nasional dalam pilihan raya kecil, selagi itu isu ‘pengundi hantu’ tidak boleh dielakkan.


“Saya tidak percaya jaminan SPR kerana suruhanjaya itu sendiri tidak pernah pantau isu ini yang sentiasa berbangkit setiap kali pilihan raya berlaku. Saya cabar SPR buktikan jaminan ini di Galas nanti.

“PAS dengan SPR boleh diibaratkan ‘tidak boleh tidur lena dalam perut’ dan tidak boleh bersangka baik kerana isu ‘pengundi hantu’ tetap akan wujud berdasarkan pengalaman di pilihan raya kecil sebelum ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, berikutan ketidakyakinan terhadap peranan yang dimainkan SPR selama ini, PAS menubuhkan jawatankuasa sendiri setiap kali pilihan raya berlangsung dalam usaha memantau ketelusan perjalanan pilihan raya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tuku itu berkata, pemantauan yang dibuat untuk mengesan ketidaktelusan pengundi sepanjang pilihan raya berlangsung dibuat setakat yang mampu dengan kaedah tersendiri.

“PAS tidak mengharapkan SPR kerana suruhanjaya itu sendiri tidak pernah memantau dengan berkesan isu ‘pengundi hantu’ ini.

“Isu ini akan terus berbangkit kerana PAS mahukan keadilan dan ketelusan dalam pilihan raya dan mahukan hanya daftar pemilih yang sah dibenarkan membuang undi,” katanya.

Kelmarin, Pengarah SPR Kelantan memberi jaminan senarai pemilih di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, yang berjumlah 11,553 bersih dan sudah dikemas kini dari semasa ke semasa.

Isu pengundi hantu tidak sepatutnya berbangkit dan pihaknya mengeluarkan senarai pendaftaran yang dikemas kini dan boleh dibeli di pejabat SPR negeri bermula kelmarin.

SPR juga memperuntukkan RM1.3 juta untuk mengurus pilihan raya kecil kali ini di Galas.SH

No comments: