Wednesday, November 24, 2010

PRU 13 sebelum persempadanan semula pilihanraya






















KUALA LUMPUR, 24 Nov. : Selepas mesyuarat agung Umno bulan lepas dan pilihan raya kecil Galas dan Batu Sapi, tumpuan awam beralih pula kepada pilihan raya umum ke-13 (PRU13). Bilakah PRU13 akan diadakan?

Namun seperkara yang kurang dapat perhatian umum ialah persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya. Sekiranya persempadanan semula siap dilakarkan sebelum PRU13 -- yang wajib diadakan sebelum September 2013 -- maka implikasinya terhadap arah aliran politik negara adalah ketara.


Di bawah Perkara 113(2), Perlembagaan Persekutuan, tanggungjawab bagi menjalankan kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya Parlimen dan negeri diberikan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Mengikut perundangan, persempadanan hanya boleh dibuat setelah tamat tempoh lapan tahun dengan selesainya kajian semula persempadanan sebelum itu.

Persempadanan semula juga perlu disiapkan dalam tempoh masa dua tahun. Ia terakhir sekali dibuat pada Mei 2003. Maka urusan persempadanan ini bakal dilaksanakan tahun depan 2011.

Prinsip undi sama nilai


Dalam sistem demokrasi berasaskan perwakilan, semua warga, tanpa mengira di mana dalam negara mereka bermastautin, adalah berhak untuk diwakili oleh seorang Wakil Rakyat dalam dewan perundangan secara samarata.

Maka, setiap warga yang layak mengundi mempunyai satu undi dan undi itu adalah sama nilai dengan undi warga lain.


Urusan persempadanan semula adalah penting supaya prinsip persamarataan dilaksanakan secara saksama. Sejajar dengan prinsip ini, bilangan pemilih di setiap bahagian pilihan raya hendaklah lebih kurang sama.

Dengan itu, nilai asas sistem demokrasi yang mendukung prinsip "satu warga, satu undi" boleh dihayati.


Sebagai contoh, di United Kingdom terdapat 650 bahagian yang hampir semuanya mengandungi jumlah pemilih dari 50,000 ke 79,000 orang.


Persempadanan dari masa kesemasa adalah juga penting dilaksanakan supaya boleh mengambilkira serta setimpal dengan kadar pertumbuhan penduduk dalam bahagian-bahagian pilihan raya tersebut.

Dalam sistem negara kita, pihak SPR dalam menjalankan persempadanan semula harus mematuhi prinsip- prinsip yang digariskan di bawah Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan.1

Satu prinsip utama ialah:

"Bilangan pemilih di dalam setiap bahagian pilihan raya di dalam sesuatu negeri patutlah lebih kurang sama banyak kecuali bahawa, dengan mengambil kira kesulitan yang lebih besar untuk sampai kepada pemilih di dalam daerah desa dan kesukaran lain yang dihadapi oleh bahagian-bahagian pilihan raya di luar bandar, ukuran pewajaran bagi kawasan patutlah diberikan kepada bahagian-bahagian pilihan raya."


Prinsip mengagihkan wajaran kepada kawasan luar bandar telah dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan 1957 di mana variasi saiz (jumlah pemilih) di antara mana-mana dua kawasan haruslah tidak melebihi 15 peratus.

Sejak 1952, persempadanan semula telah dilakukan sebanyak lapan kali dan banyak rungutan ditimbulkan bahawa prinsip ini tidak dipatuhi sepenuhnya oleh pihak SPR. Harus diperhatikan bahawa wajaran 15 peratus yang dipersetujui tersebut tidak digunakan selepas beberapa pindaan kepada Perlembagaan sejak tahun 1973.

Kini pihak SPR menggunakan asas penentuan pemilih bagi satu-satu bahagian pilihan raya seperti jadual berikut:
2 Kategori bahagian berdasarkan kajian tempatan oleh pihak SPR akan menentukan keluasan kawasan serta jumlah pemilih dalam sesuatu bahagian.

Kriteria bagi persempadanan bahagian pilihanraya
Kriteria
Kategori Bahagian Luas Kawasan Jumlah pemilih bahagian Pilihanraya Parlimen Jumlah pemilih bahagian Pilihanraya Negeri
Bandar 8-49 KMP 60,000 ke atas 25,000 ke atas
Separuh bandar 50-250 KMP 30,000-59,000 15,000-24,000
Luar bandar dan pendalaman > 250 KMP 30,000 ke bawah 15,000 ke bawah
*Kecuali bagi W.P, Putrajaya dan W.P Labuan

Persempadanan semula tahun 2003


Dalam urusan persempadanan semula 2003, sebanyak 222 bahagian Parlimen diwujudkan, termasuk Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan yang tidak mengikut kriteria yang ditetapkan atas sebab-sebab tertentu.

Walhal demikian, nyata dalam urusan tersebut pihak SPR tidak juga menggunakan kriteria yang disebutkan dengan sepenuhnya atau secara seragam bagi menetapkan persempadanan bahagian-bahagian lain.


Bahagian Parlimen terkecil dari segi jumlah pemilih, yakni 15,717 orang adalah di Sarawak, iaitu P222 Lawas. Manakala bahagian terbesar ialah P109 Kapar (112,224 orang) di Selangor.

Secara kasar, ini bermakna nilai satu undi di Lawas adalah bersamaan dengan tujuh undi di Kapar.

Perbandingan kawasan yang terkecil dan terbesar di Semananjung adalah seperti di jadual berikut:

Bahagian Parlimen Kategori Bahagian Jumlah Pemilih Variasi (%)
P55. Leggong Luar Bandar 22,999 -------
P109. Kapar Bandar 112,224 388

Variasi antara Lenggong dan Kapar adalah 388 peratus, jauh daripada syor 15 peratus yang dipersetujui pada tahun 1957.

Kajian terperinci akan menunjukkan bahawa terdapat variasi jumlah pemilih antara banyak lagi bahagian-bahagian yang tidak mematuhi prinsip persamarataan dari segi 'satu warga, satu undi'.

Mungkin pihak SPR dapat mempertahankan variasi yang tidak munasabah berasaskan prinsip:

"Perhatian harus juga diberi kepada kemudahan-kemudahan pentadbiran yang boleh didapati di dalam bahagian-bahagian pilihan raya itu untuk menyediakan kemudahan yang diperlukan bagi pendaftaran dan semasa mengundi;3


Akan tetapi apa yang mengelirukan adalah tafsiran dan aplikasi kriteria bagi mengkategorikan bahagian bahagian pilihan raya, khususnya bagi kawasan di luar bandar.


Perbandingan bahagian yang nyata harus dikategorikan sebagai kawasan luar bandar menunjukkan perbezaan ketara seperti dipaparkan dalam jadual berikut:


Bahagian Parlimen
Kategori Bahagian
Jumlah Pemilih
P.55. Leggong Luar Bandar 22,999
P.16. Baling Bandar 80,878
P.25 Bachok Bandar 63,736
P.67 Kuala Kangsar Luar Bandar 28,224


Soalnya kenapakah kriteria "Bandar 60,000 ke atas" digunakan untuk Baling di Kedah dan Bachok di Kelantan, walhal dari kajian tempatan jelas bahawa kedua-dua kawasan tersebut adalah berada di 'luar bandar'?


Apabila Baling dan Bachok dibandingkan dengan Kuala Kangsar yang hanya mempunyai jumlah pengundi 28,224, maka akan timbul keraguan mengenai kesahihan proses persempadanan yang dijalankan oleh SPR. Adakah Kuala Kangsar kawasan lebih berumpama 'desa dan pedalaman' berbanding dengan Baling dan Bachok?

Selain daripada itu, urusan persempadanan 2003 juga tidak mengambil kira kadar pertumbuhan penduduk di sesebuah negeri.

Sebagai contoh, Johor dengan jumlah penduduk 2.74 juta penduduk dan kadar pertumbuhan 2.6 peratus dalam tempoh masa 1991-2000 diberikan enam kerusi tambahan berbanding dengan Selangor yang mendapat lima kerusi tambahan walaupun mempunyai 4.19 juta penduduk dan mencapai kadar pertumbuhan 6.1 peratus dalam tempoh waktu yang sama.

Rungutan bahawa urusan persempadanan berat sebelah kepada parti memerintah nampaknya memang berasas.


Tatacara persempadanan


Bagi memahami punca masalah ketidakseimbangan antara bahagian, kita perlu meneliti prosedur yang digunapakai oleh SPR dalam urusan persempadanan, seperti berikut:
4

1. Arahan oleh ibu pejabat SPR kepada pengarah-pengarah pilihan raya negeri mengumpul maklumat-maklumat seperti bilangan pemilih di bahagian-bahagian, kemudahan-kemudahan baru yang ada seperti bangunan dan sekolah-sekolah dan kemudahan perhubungan dan pengangkutan;


2. Laporan kajian semula persempadanan dengan syor awal dikemukakan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Perdana Menteri;

3. Pada masa yang sama, suatu notis dikeluarkan dalam sekurang-kurangnya satu akhbar dan disiarkan dalam warta, serta dipamerkan di semua bahagian-bahagian pilihan raya selama satu bulan untuk pemeriksaan dan rayuan orang ramai;

4. SPR mengadakan siasatan tempatan untuk mendengar rayuan yang diterima dalam tempoh pameran dari mana-mana kerajaan negari, pihak berkuasa tempatan dan kumpulan 100 orang pemilih dan lebih;

5. Sebaik sahaja selesai siastan sebarang perubahan persempadanan harus dipamerkan semula kepada orang ramai untuk tempoh sebulan; dan

6. Cadangan persempadanan akhir dikemukakan kepada Perdana Menteri untuk dibentangkan dalam Dewan Rakyat.

Jelas bahawa autonomi SPR dalam urusan ini tersekat apabila cadangan persempadanan harus terlebih dahulu dikemukakan kepada Perdana Menteri sebanyak dua kali.

Beliau mempunyai kuasa dan peluang untuk membuat pindaan kepada cadangan SPR sebelum dibentangkan di Parlimen.


Sesiapapun yang menjadi Perdana Menteri dari gabungan BN ataupun PR, bolehkah kita mengharap bahawa penyandang jawatan akan bertindak secara 'non-partisan', dan tidak akan mengambil peluang untuk memperkasakan kedudukan partinya?

Walaupun rakyat diberi peluang untuk buat cadangan, masalah ketara ialah untuk mengumpul 100 orang pemilih yang berminat dan mempunyai masa untuk buat sedemikian [merujuk kepada perkara (4) di atas].

Kita harus mengakui bahawa tahap pemahaman dan komitmen rakyat jelata kepada proses demokrasi dalam negara kita adalah rendah.

Maka kita dapat lihat bagaimana urusan persempadanan pada hakikatnya dikuasai hampir sepenuh-penuhnya oleh pihak SPR dan kerajaan yang memerintah.

Kesimpulan


Kelemahan dalam urusan persempadanan semula suduh wujud sekian lama dan akan berterusan. Ia hanya akan dapat diatasi sekiranya pindaan dibuat kepada perundangan, sistem dan prosedur sedia ada supaya SPR benar-benar bebas dan berautonomi.

Sebagai langkah permulaan, tatacara mengemukakan cadangan awal dan laporan akhir persempadanan kepada Perdana Menteri perlu dimansuhkan. Cadangan persempadanan boleh saja dibentangkan terus untuk pertimbangan dan kelulusan Parlimen.


Supaya benar-benar menganuti prinsip 'satu warga, satu undi', sistem pilihan raya perlu dirubah. Rombakan ini hanya akan direalisasikan sekiranya rakyat sendiri menunaikan tanggungjawab dan menuntut perubahan yang dihasratkan.

No comments: