Friday, November 26, 2010

USBO bukan USNO














KOTA KINABALU, 26 Nov. :United Sabah Bajau Organisation (USBO) kini dalam peringkat akhir untuk mengkaji dan menimbangkan cadangan majoriti ahlinya sama ada untuk menyertai Barisan Nasional sebagai Anggota Bersekutu atau kekal dengan konsep yang sedia ada.

USBO yang sedang dijurutera semula sebagai persediaan untuk menjadi sebuah NGO yang berteraskan Konsep Barisan Nasional dijangka akan membuka ‘pintu ijtihad’ dengan lebih meluas untuk menerima semua kaum bumiputera sebagai ahlinya.

Buat masa ini, USBO hanya menerima ‘Rumpun Bajau’ sebagai ahli, namun jika Pendaftar Pertubuhan meluluskan pindaan perlembagaannya, USBO tidak perlu mengubah akronimnya kerana huruf ‘B’ yang bermaksud ‘Bajau’ dipinda kepada ‘Bumi’s’ iaitu Bumiputera Sabah.

Dengan membuka pintu yang luas kepada bumiputera, USBO boleh memainkan peranan penting mengekalkan pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional di Sabah dan dalam masa yang sama memberi peluang kepada bekas ahli Ex-USNO untuk menyertai USBO.

Walaupun pindaan perlembagaan masih belum diluluskan Pendaftar Pertubuhan, namun Ahli Majlis Tertinggi USBO sudah mula menggerakkan jentera sebagai persediaan awal untuk memacu agenda USBO yang akan menerima lambakan sokongan daripada rumpun Bumiputera Sabah yang tidak menyertai UMNO atau parti komponen BN yang lain atas dasar prinsip.

Dalam pada itu, Presiden USBO, Datuk Seri Panglima Mohd Salleh Tun Said ketika dihubungi melalui telefon tidak menafikan cadangan USBO untuk menimbangkan penyertaan mereka sebagai Ahli Bersekutu Barisan Nasional.

“Kita akan mengkaji segala syarat yang ditetapkan dan jika ia memberi manfaat kepada ahli, kita akan menimbangkannya secara saksama,” ujar Salleh yang tidak mengakui pihaknya sedang mengemaskinikan jentera USBO agar dapat menjadi sebuah NGO dan juga kemungkinan menjadi ‘Parti’ Komponen BN yang berkesan.

Kata Salleh, USBO terpaksa berubah dan meningkatkan daya saing untuk menjamin survival bumiputera di Sabah yang semakin dihimpit globalisasi dan mendepani cabaran yang menghambat mereka, terutama membebaskan bumiputera daripada dijarah kemiskinan yang merantai.

“Kaum bumiputera terpaksa berubah atau nasib mereka akan diubah oleh gerakan emansipasi politik yang tidak menentu. USBO akan memastikan kaum bumiputera berada di dalam landasan politik yang stabil dan meneruskan dasar kerjasama dengan Kerajaan BN,” kata Salleh yang yakin USBO akan menjadi pengimbang politik yang stabil di Sabah.

Oleh: KREW SABAHKINI.NET

No comments: