Tuesday, December 21, 2010

Lawyers for Liberty cabar keputusan Mahkamah Tinggi

Peguam Selvach cabar penahanan tidak sah selama dua tahun

Lawyers for Liberty akan mencabar keputusan Mahkamah Tinggi berhubung keputusannya menerima bantahan awal Peguam Kanan Persekutuan yang mendakwa Mahkamah Tinggi tidak mempunyai kuasa mendengar permohonan habeas corpus K Selvach.

“Kami akan mencabar keputusan Mahkamah Tinggi dalam usaha tegar kami memaknakan perlindungan tertinggi yang diberikan Perlembagaan menerusi permohonan habeas corpus yang menentang penangkapan serta penahanan sewenang-wenangnya di bawah undang-undang pencegahan yang membenarkan penahanan tanpa bicara,” kata Lawyers for Liberty dalam kenyataan media mereka. K Selvach dalam permohonan habeas corpus beliau mencabar kesahan penahanannya di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Merbahaya (Akta Langkah Pencegahan) 1985.

Habeas corpus adalah perintah mahkamah untuk membebaskan seseorang yang ditahan tidak menurut undang-undang yang sah.

Sebelum ini, K Selvach memberi keterangan dalam kes R Gunasegaran yang mati selepas berada dalam tahanan polis selama dua jam.

Beliau ditahan secara ganas oleh sepuluh polis berpakaian preman dan dipukul di hadapan rumahnya pada 25 Oktober setelah memberi keterangan dalam inkues terbuka mengaitkan pihak polis dengan kematian Gunasegaran.

Dalam inkues terbuka kematian Gunasegaran, koroner Siti Shakirah Mohtarudin memberikan keputusan bahawa ‘bukti tidak mencukupi untuk menentukan punca kematian Gunasegaran’.

Mahkamah Tinggi dalam keputusan mereka menerima bantahan awal tersebut, memberikan alasan penahanan Selvach di luar bidang kuasa mahkamah kerana Menteri Dalam Negeri sudah mengeluarkan perintah tahanan selama dua tahun di bawah Seksyen 6(1) akta yang sama.

Lawyers for Liberty berpendapat mahkamah mengabaikan prinsip yang menetapkan permohonan habeas corpus perlu didengari secepat mungkin kerana ia menghalang kebebasan invidu.

“Mahkamah mengabaikan prinsip sedia ada yang menetapkan permohonan habeas corpus perlu disegerakan kerana ia dianggap satu perlindungan tertinggi dari sisi Perlembagaan kepada inidividu yang dicabuli hak mereka oleh undang-undang pencegahan drakonian yang membenarkan penahanan tanpa bicara,” kata Lawyers of Liberty dalam kenyataan mereka.

Melalui satu pekeliling bertarikh 23 Jun 2010, pihak mahkamah mempunyai kuasa mengarahkan semua permohonan habeas corpus untuk didengar dalam masa tujuh hari dari tarikh difailkan.

Namun, apabila permohonan K Selvach difailkan pada 10 November 2010, mahkamah mengambil masa dua minggu untuk menetapkan tarikh pendengaran walaupun pihak peguam bela berulang kali meminta kes tersebut dipercepatkan.

Lebih teruk lagi, pada hari pendengaran, Peguam Kanan Persekutuan memohon untuk menangguhkan tarikh pendengaran kes.

Penangguhan kes tersebut memberikan kesempatan kepada Menteri Dalam Negeri dengan niat jahat mengeluarkan perintah tahanan selama dua tahun untuk melemahkan usaha permohonan habeas corpus.

Lawyers for Liberty berpendapat, keputusan mahkamah yang menerima bantahan Peguam Cara Negara seolah-olah merestui tindakan Menteri Dalam Negeri menahan K Selvach tanpa bicara selama dua tahun.

No comments: