Monday, January 24, 2011

Lapangan Terbang Moscow dibom

Lapangan Terbang Dibom, 35 Terbunuh - 180 Cedera


MOSCOW 25 Jan. : Sekurang-kurangnya 35 terbunuh dan hampir 180 lagi cedera dalam satu letupan bom di dewan ketibaan lapangan terbesar Rusia yang disifatkan antara terburuk berlaku di negara itu malahan mengorbankan dua orang pelancong Britain dipetik daripada laporan Associated Press.

Saksi memberitahu radio Russia, letupan bom itu turut memusnahkan kawasan tuntutan bagasi di lapangan terbang Domodedovo, Moscow.

"Satu letupan berlaku hari ini (semalam) di dewan ketibaan lapangan terbang Domodedovo," kata jawatankuasa penyiasat Russia.Jurucakapnya, Vladimir Markin, berkata siasatan sudah dilancarkan terhadap keganasan itu.

Seorang lagi pegawai, Tatyana Morozova, memberitahu agensi berita Interfax bahawa letupan juga berlaku di kawasan tuntutan bagasi, keganasan pertama yang berlaku tahun ini di kawasan bandar Russia.

Sumber keselamatan berkata, letupan berlaku di dewan berlepas antarabangsa. Media melaporkan, kepulan asap dilihat di kawasan tuntutan bagasi dan ramai yang berlari keluar dari pintu kecemasan lapangan terbang itu.

"Ramai yang cedera kerana melecur antara yang berlari. Anggota perubatan dilihat membawa sisa daging manusia yang diletak pada pengusung dan troli," kata seorang saksi dikenali sebagai Andrei kepada radio City FM.

"Ada juga yang dipapah dalam keadaan berlumuran darah," kata seorang lagi saksi, Nadezhda kepada radio itu.

Sergei Lavochkin yang berada dekat dewan ketibaan menunggu rakan dari Cuba, memberitahu televisyen Rossiya 24: "Saya dengar letupan kuat dan jeritan. Selepas itu, ramai yang berlari keluar."

"Ini adalah serangan pengganas berdasarkan maklumat awal," kata Presiden Dmitry Medvedev kepada pegawai keselamatan dalam sesi yang disiarkan secara langsung.
Jurucakap Kementerian Pembangunan Sosial dan Kesihatan, Sofia Malyavina, berkata 56 ambulans sudah dihantar bagi membantu mangsa.

"Lapangan terbang itu penuh dengan asap," katanya, Lapangan terbang Domodedovo dibina pada 1964, terletak 42 kilometer ke tenggara Moscow dan melayan 22 juta pengguna tahun lalu.

Umumnya, ia dianggap lapangan terbang paling moden Moscow tetapi prosedur keselamatannya sudah pun dipertikaikan.

Pada 2004, dua penyerang bunuh diri berjaya menaiki pesawat di Domodedovo dengan membeli tiket daripada petugas lapangan terbang.

Penyerang wanita terbabit meletupkan bom ketika pesawat di udara menyebabkan 90 orang maut dalam dua penerbangan. - AP/Reuters

No comments: