Sunday, February 27, 2011

Erbakan pemimpin ummah sukar dicari ganti

Pemergian Erbakan kehilangan besar buat ummah

KUALA LUMPUR, 28 Feb: Dewan Pemuda PAS Pusat merakamkan ucapan takziah buat keluarga Prof Dr Necmettin Erbakan, Parti Saedat dan seluruh rakyat Turki atas pemergian tokoh gerakan Islam itu ke rahmatullah kelmarin.

Pengerusi Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS Pusat, Dr Raja Ahmad al-Hiss berkata, pemergian Necmettin Erbakan (gambar) adalah satu kehilangan besar buat rakyat Turki dan ummat Islam serantau.

Katanya, Prof Erbakan adalah merupakan pelopor kepada gerakan Islam di Turki sejak kejatuhan Empayar Othmaniah pada tahun 1924.

Sejak daripada itu, katanya Turki telah di perintah oleh rejim sekular di bawah Kamal Attartuk di mana Islam hanya menjadi amalan di masjid dan dalam majlis perkahwinan sahaja.

Katanya, umat Islam yang ingin melaksanakan Islam akan diambil tindakan oleh rejim Attartuk dan perlembagaan Turki sehingga ke hari ini masih menjadikan dasar sekular sebagai tiang kepada sistem Negara mereka yang di payungi oleh tentera.

Namun sejak daripada itu, ujarnya kumpulan-kumpulan Islam tidak berdiam diri untuk memastikan roh Islam dilaksanakan semula di Turki.

Jelasnya, antara pelopor kepada gerakan tersebut adalah Prof Dr Necmettin Erbakan yang menubuhkan Parti Refah pada 1983 dan akhirnya berjaya memenangi pilihan raya umum Turki dan membentuk kerajaan campuran dimana Prof Erbakan dilantik mengetuai kerajaan campuran tersebut dan menjadi Perdana Menteri Turki pada tahun 1996.

Namun, katanya pemerintah dan tentera yang melihat kejayaan Erbakan dalam membawa Turki ke arah era baru Islam mendakwa Erbakan cuba melanggari perlembagaan negara iaitu cuba menghapuskan sistem sekular ke arah Islam menyebabkan akhirnya Parti Refah diharamkan pada 1998 dan Erbakan telah diharamkan dari bertanding pilihan raya.

Namun Prof Erbakan telah cuba menubuhkan beberapa parti baru namun juga tidak berjaya apabila pihak berkuasa Turki dapat menghidunya.

“Di akhir hayat, beliau berjaya mengasaskan Parti Saedat pada 2001 sebagai alternatif baru kepada rakyat Turki bagi yang cintakan Islam dan keamanan sehinggalah ke akhir hayat beliau kelmarin.

“Bagi pihak Dewan Pemuda PAS Pusat, kami merakamkan ucapan takziah dan semoga Allah mencuri rohnya dikalangan orang-orang yang beriman,” ujarnya.

No comments: