Wednesday, March 9, 2011

Undi PAS meningkat di Felda satu petanda yang baik

Analisis PRK Kerdau: Undi PAS meningkat di Felda

TEMERLOH: Sebaik sahaja keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kerdau diketahui, Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata kekalahan di pihaknya memang telah dijangkakan kerana hakikatnya PAS terpaksa berhadapan dengan kerajaan Malaysia.

Bayangkan, pemimpin BN turun bergentayangan dengan kapasiti sebagai menteri, menteri besar, timbalan menteri, pengarah jabatan dan sebagainya berkempen dan mengeluarkan peruntukan masing-masing melalui pelbagai program mendekati penduduk.


Jentera Umno daripada seluruh negara juga sudah tentu tersuntik semangat luar biasa kerana ini merupakan PRK pertama di negeri perdana menteri.


Sehinggalah warga Kerdau menjadi ‘tuan’ dalam tempoh masa 10 hari dan semua mereka mendapat ‘ang pau’ di atas pelbagai nama daripada kanak-kanak, pelajar sekolah, belia, orang kurang upaya hinggalah kepada warga emas, usahawan dan petani.


Jumlah sebenar wang yang dibelanjakan BN tidak diketahui namun Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Kerdau, Ahmad Mohd Yaman, berkata daripada sumber yang diperolehinya setiap keluarga mendapat tidak kurang daripada RM450 hingga RM2,000.


Itu belum masuk lagi dengan kenduri besar dan jamuan sepanjang masa, kos perbelanjaan petugas, pelbagai projek segera dan penempatan anggota polis yang berjumlah besar di empat lokasi.


Di pihak PAS pula, Kerdau bukan dikelaskan sebagai ‘dun tumpuan’ kerana sejarah keputusan pilihan raya. Justeru jenteranya tidak sekuat Jengka, iaitu satu lagi dun dalam parlimen Kuala Krau. Malah keputusan PRU dahulu Kerdau berada di ‘ranking’ ketiga selepas Jenderak. Sebab itu terdengar juga rungutan daripada pembantu dari luar Pahang berkenaan kurangnya tenaga pembantu tempatan.


Setiausaha MTD Kerdau, Sharuddin Saleh, mengakui PAS mempunyi 11 cawangannya dalan Dun berkenaan tetapi lima daripadanya tidak aktif. Bagaimanapun terdapat 1,200 ahli dan ‘hardcore’ PAS di situ.


Notis penetapan tarikh PRK Kerdau pula agak singkat bagi persediaan PAS apabila serentak dengan Merlimau. Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, meninggal dunia pada 21 Januari 2011 sedangkan Adun Kerdau Datuk Zaharuddin Abu Kassim, 63, meninggal pada 12 Februari.


Dari segi calon, pandangan pemerhati PAS mempunyai kelebihan kerana sepanjang kempen tidak ada isu peribadi yang dibangkitkan. Berbeza dengan calon Umno, pada peringkat awal kempen kelihatan terkial-kial mempertahankan diri termasuk terpaksa memanggil media untuk menunjukkan kelulusan ijazahnya.


Akan tetapi setelah beberapa hari kempen berjalan, dengan pelbagai usaha dan inisiatif bertindak pihak BN menyebabkan akhirnya pengundi tidak lagi melihat kriteria calon bahkan memilih parti iaitu sama ada kerajaan atau pembangkang.


Akibatnya pada PRK ini PAS mengalami kemerosotan sebanyak 184 undi atau 7 % berbanding pilihan raya umum (PRU) 2008. Pada PRU tersebut calon PAS yang sama, Hassanuddin Salim mendapat undi sebanyak 2,520. Tetapi pada PRK ini undi beliau susut kepada 2,336.


Jika pada PRU 2008 calon BN mendapat undi sebanyak 4,135, kini calon BN Syed Ibrahim Syed Ahmad mendapat 5,060. Ini menunjukkan BN mendapat pertambahan undi sebanyak 925 atau peningkatan 22.4%.


Sekali gus majoriti kekalahan PAS daripada 1,615 pada 2008 melebar kepada 2,724. Faktor peningkatan undi BN juga dibantu dengan peratusan keluar mengundi yang paling tinggi dalam sejarah pilihan raya di sini iaitu 83%. Jika pada PRU lalu jumlah keluar mengundi ialah 6,777, jumlah keluar mengundi kali ini ialah 7,445.


Undi popular PAS jatuh dari 37 % (2008) kepada hanya 31 %. Keputusan ini mengakibatkan PAS kalah di semua 13 unit peti undi (UPU), malah di semua saluran dan undi pos.


Tiga belas UPU dalam Kerdau Rumpun Makmur, Jengka 25, Jengka 22, batu Sawar, Jengka 23, Kuala tekal, Pulau Pasir Mandi, Kerai, Lipat Kajang, Desa Murni, Kerdau, Kuala Kerdau, Teluk Sentang dan 51 undi pos.


Undi PAS di Felda meningkat, undi Cina menurun


Pada PRU 2008 PAS menang di UPU Teluk Sentang dengan kelebihan 5 undi. Tetapi kali ini PAS tewas di situ dengan kekurangan 71 undi.


Undi kaum Cina yang dulunya banyak membantu kepada peningkatan PAS turut merosot. Jumlah pengundi Cina hanya 461 orang atau 5.12% dan kebanyakannya tertumpu di UPU Kerdau. Keputusan menunjukkan PAS hanya memperolehi 261 undi sedangkan BN mendapat 428. Ini bermakna PAS tewas di situ dengan majoriti 212 undi atau kemerosotan sebanyak 24 %. Pada PRU lepas PAS hanya tewas 37 undi.


Namun yang menakjubkan ialah PAS mendapat peningkatan undi di semua UPU Felda iaitu Jengka 22, 23, dan 25. Walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri turun menjanjikan habuan wang SES RM13,000, MPOB RM4,000 kepada peneroka dan lot tanah kediaman.


Di Jengka 22 PAS menokok 62 undi atau kenaikan 28.2 %, di Jengka 23 naik 30 undi (8 %) dan di Jengka 25 yang dianggap kubu Umno paling kebal di Felda, juga meningkat dua undi atau 5 %. Peningkatan ini dipercayai hasil gerak gempur Persatuan Anak-Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) dan kerja keras Biro Felda PKR.


Jika dalam PRK ini peneroka dikepung dan diasak tetapi PAS boleh membuat peningkatan undi, ini bermakna PAS boleh menawan kawasan berkenaan andainya gerak kerja dilakukan berterusan.


Terdapat satu lagi peti undi kampung tradisional yang mengalami peningkatan undi. Jika pada 2008 PAS hanya dapat 94 kini meningkat kepada 108 iaitu naik 14 undi. Walau bagaimanapun tetap tewas dengan majoriti 36 undi.


Jika diukur dari segi kekuatan dan potensi, hanya tiga UPU yang melepasi paras 40 % iaitu Kuala Kerdau (44 %), Pulau Pasir Mandi (43 %) dan Teluk Sentang (43 %). Dua UPU dianggap sangat lemah iaitu Jengka 25 (12 %) dan Kerai (13 %). Kerai ialah peti undi Orang Asli.


Permasalahan setempat gagal dibangkit

Seperti kata Tuan Ibrahim, PAS perlu melihat kemerosotan ini sebagai satu cabaran besar dalam PRU yang hampir tiba.
Perlu diakui, jentera PAS sememangnya lemah terutama melibatkan penerangan dan gerak saraf (PGS). PAS masih bergantung kepada medium ceramah umum dalam penyampaian maklumat. Tidak dinafikan ceramah PAS mendapat sambutan luar biasa sehingga terpaksa ‘melepaskan’ Ummi Hafilda, Ibrahim Ali, Mohd Nor Deris dan M. Daud Kilau untuk mengganggu ceramah PAS.

Namun dipercayai pengundi sebenar tidak ramai yang hadir kerana disibukkan dengan pelbagai program menteri. Lagipun penduduk Kerdau kurang termakan dengan isu nasional dan antarabangsa. Di sinilah terletaknya kelompangan jentera PGS PAS kerana gagal memanupulasi isu-isu tempatan yang menjadi kudis selama ini.


Contohnya, telah lama terdengar rungutan penduduk mengenai agihan saham Felcra Kerdau yang dikatakan tidak adil. Isu yang menyentuh terus penduduk Kerdau ini hampir tidak kedengaran langsung dibangkitkan.


Begitu juga dengan isu tanah kampung untuk generasi kedua yang telah lama dijanjikan, masalah bekalan air paip di deretan kampung yang tidak pernah selesai selama 20 tahun, ketakutan penduduk dengan binaan projek kilang simen di Gunung Jebak Puyuh, kegagalan projek nangka madu di Kampung Gunung Senyum dan banyak lagi.


Menurut pemerhati, isu yang amat berkesan yang berjaya meracuni pengundi Melayu kampung ialah isu perkauman ‘PAS jadi alat DAP’. Isu ini dimainkan bersungguh-sungguh tanpa ditangkis oleh PGS PAS. Kenapa tidak, umpamanya, dicetak risalah yang memuatkan pengakuan Karpal Singh sanggup menerima negara Islam?


Satu perkara lagi yang perlu diambil perhatian, PAS kalah di semua saluran 2 dan 3 iaitu saluran pengundi muda. Senario ini amat bahaya kerana orang muda sifat asalnya ialah ‘anti-establishment’. Namun ia tidak berlaku dalam PRK ini.


Akhirnya, ada yang berkata Kerdau tidak mustahil diambil semula oleh PAS dalam PRU akan datang jika gerak kerja tidak terhenti. Ini berdasarkan PRK Ijok pada 2007 di mana Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (PKR) tewas kepada calon BN K. Parthiban. Tetapi pada PRU 2008 Khalid menang dengan bergaya.


Sama ada pengundi Kerdau menyamai ciri-ciri yang serupa dengan pengundi Ijok, itu hanya boleh dijawap oleh mereka sendiri.


Namun begitu ada yang mahu PAS menilai semula penyertaan parti itu dalam mana-mana PRK berdasarkan penggunaan berleluasa agensi kerajaan, premis awam dan media oleh BN. Bagi mereka, jika didapati kawasan tersebut dalam PRU pun sukar untuk dimenangi tidak usahlah bertanding. Hujah mereka, kekalahan berturut-turut PAS dalam siri PRK dikhuatiri sedikit sebanyak melemahkan moral pekerja parti dan memburukkan imej di mata umum.

No comments: