Monday, March 7, 2011

Wahai Umno, kasihanilah Ibrahim Ali sampai bila nak jadi katak







Oleh Aspan Alias
Pilihanraya umumakan tiba tidak lama lagi. Tanda-tanda dan dalilnya sudah banyak kita lihat dan perhatikan. Piliharaya Sarawak akan sampai selewat-lewatnya pada bulan Julai ini tetapi tanda-tanda ia akan berlaku lebih awal memang jelas kelihatan.

Orang-orang politik yang bercita-cita tinggi sudah mula mundar mandir dari kawasan masing-masing ke Kuala lumpur untuk mencari jalan menjadi calun dan ada juga yang sedang mencari peluang untuk medapatkan peluang perniagaan semasa pilihanraya sudah hampir ini.

Di bahagian-bahagian UMNO sudah ramai yang sedang memasang badan dan mendekati rakyat untuk mendapat sokongan jika diberi peluang untuk menjadi calun. Masalahnya setiap kawasan Parlimen atau DUN hanya seorang sahaja yang akan dicalunkan sedangkan yang memasang badan terlalu ramai. Ketua-ketua cawangan sudah mula mendapat ‘handouts’ mereka yang bercita-cita dan ketua-ketua cawangan ini sedang mendapat perhatian istimewa dari ‘bakal-bakal’ calun ini.

Itu cerita di peringkat kawasan. Di peringkat pusat pula ramai penggiat politik juga sedang memasang badan dan selalu sahaja muka-muka dan wajah mereka terpampang di dada-dada akhbar. Kali ini Ibrahim Ali misaknya dengan cekap mengucapkan tahniah kepada UMNO dan BN kerana berjaya di dalam PRK Kerdau dan Merlimau walaupun beliau melangkah ke Parlimen dengan sokongan PAS.


Ibrahim ini pandai orangnya. Beliau sentiasa berada dalam perhatian pimpinan dan orang ramai kerana beliau itu adalah Ibrahim Ali. Semasa beliau dipecat dari UMNO kerana bertanding sebagai calun bebas beliau adalah orang kuat Nik Aziz. Pada masa itu Nik Aziz adalah orang yang tersangat mulia dan dihormati oleh Ibrahim dan kebijaksanaan Ibrahim jugalah yang meyakinkan Nik Aziz untuk membenarkan Ibrahim bertanding menggunakan simbul PAS dan beliau telah mendapat majoriti melebihi tujuh ribu undi.


Semasa Ibrahim bertanding di dalam PRK di Pasir Mas beliau hanya mendapat 600 undi sahaja kalau tidak silap saya dan telah hilang wang pertaruhannya. Dengan menggunakan pengaruh PAS dan Nik Aziz, Ibrahim berjaya menjadi Ahli Parlimen yang lantang dan didengari oleh semua orang. Sekarang Ibrahim sudah berputus arang dengan Nik Aziz dan PAS seperti dia berputus arang dengan UMNO selepas beliau dipecat sehinggakan beliau sanggup bertanding di atas tiket bebas untuk menentang UMNO.


Ibrahim orang berani mengambil keputusan asalakn sahaja beliau berada di dalam arus politik tanahair.


Itulah sebabnya saya selalu menasihati kawan-kawan yang sama-sama mengenali Ibrahim Ali ini supaya jangan diikutkan sangat gelagatnya semasa berbaik dengan dia sebab pada bila-bila masa beliau akan meninggalkan kita. Sebaliknya jika kita berada dalam situasi yang bertentangan dengan beliau jangan dibenci beliau habis-habisan kerana pada bila-bila masa sahaja beliau akan datang bersama kita apabila beliau ditinggalkan oleh kawan-kawan dan kumpulannya.


Kepada UMNO dan BN elok diambil Ibrahim ini sebagai calun dalam pilihanraya kali ini dan kawasannya tidak lain dan tidak bukan ialah Pasir Mas. Ibrahim telah dipecat seumur hidup dari UMNO dan tidak tahulah caranya UMNO untuk menerima Ibrahim sebagai ahli UMNO. Tetapi rakan-rakan beliau yang masih berada bersama beliau hari ini mencadangkan supaya Ibrahim diberikan keistimewaan sekali lagi untuk bertanding sebagai calun bebas tetapi menggunakan simbul BN seperti yang beliau lakukan bersama PAS dalam pilihanraya UMUM yang lalu.


Saya mengenali sangat Ibrahim ini kerana sudah berkawan sejak tahun 1971 lagi semasa sama-sama belajar di kampus dahulu. Beliau mahukan tempat di dalam pilihanraya yang akan datang ini. Kta rakan-rakan beliau yang rapat beliau mengharapkan akan mendapat sokongan Dr Mahathir untuk mempengaruhi UMNO atau bekerjasama dengan UMNO untuk bertanding di Pasir Mas. Pada hemat saya berikan sahajalah tempat kepada beliau supaya politik kita tidak bising sangat. Berilah tempat kepada beliau kerana beliau ialah Ibrahim Ali.


Beliau adalah seorang yang cekal. Bermacam-macam orang mengata beliau. Mohamad Sabu memberikan beliau nama ‘Ibrahim Kaya Parti’ kerana terlalu banyak parti yang beliau sertai bermula dari parti Berjasa sampailah tidak ada parti sekarang ini. Lim Kit Siang pula memanggil beliau sebagai katak dan banyak lagi gelaran yang didengari untuk Ibrahim ini.


Pengaruh beliau sebagai ketua kepada PERKASA mungkin boleh membawa sedikit sebanyak undi untuk UMNO dari kalangan orang Melayu walaupun MCA mungkin tidak bersetuju. Elok jika Ibrahim ini masih berada dalam politik negara kita walaupun beliau sentiasa berubah-berubah pendirian mengikut keadaan dan masa.


Ibrahim Ali ini penting untuk berada di dalam arena politik negara. Ibrahim ini penting ibarat pentingnya garam dalam masakan kita. Dalam masakan kita mesti ada garam, barulah masakan itu sedap dimakan.


Tetapi masalahnya garam ini hanyalah setakat sesedap rasa sahaja. Kalau banyak sangat dibubuh garam di dalam masakan kita masakan itu akan terlalu masin untuk dijamah.


Tetapi yang pentingnya garam itu mesti ada untuk mengenakkan masakan.

No comments: