Monday, April 25, 2011

Jangan Ulang "Sejarah" PRN Sarawak



KUCHING 25 APRIL : Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu proses Pilihan Raya akan datang dijalankan dengan telus, bebas dan bersih tidak seperti Pilihan Raya Negeri Sarawak baru-baru ini.

Justeru Anwar mahu pemantau dan media antarabangsa dijemput kerajaan bagi memastikan tiada kecurangan berlaku, justeru mengelak sejarah di Sarawak berulang.

"Pastikan segala proses dalam pilihanraya bebas, pilihanraya umum nanti pastikan tiada sekatan media seperti apa yang berlaku di PRN Sarawak, kami berkeras mahukan pemerhati antarabangsa, media, dan kita jemput mereka untuk datang memerhati bagaimana Pilihan Raya di negara kita berjalan," kata Anwar dalam sidang media di Dewan Ruai Belian, Menara Grand Kuching di sini, semalam.

Dalam PRN Sarawak lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dikecam Pakatan Rakyat kerana berpihak kepada BN.

Malah bantahan Pakatan Rakyat seperti kiraan semula undi di DUN Senadin langsung tidak dilayan mereka.

Anwar berkata, Kerajaan perlu memastikan SPR menjalankan tanggungjawab seperti yang termaktub dalam undang-undang.

Menurut Anwar tindakan BN mempertahankan SPR walaupun melakukan pelbagai sekatan semasa PRN lepas perlulah dihentikan.

"Tidak ada kelebihan untuk semua ini kepada mana-mana parti mempertahankan diri mereka, dengan apa yang berlaku, saya bercakap secara umum dalam pilihanraya dan dari apa yang berlaku, segala proses harus berlangsung secara telus, kita lihat apa yang berlaku kepada Presiden BERSIH yang dihalang masuk ke Sarawak, kenapa ianya berlaku? secara jelas kenapa mereka sekat kehadiran BERSIH kerana mereka mahu lakukan 'kotor'", tegas Anwar.

Justeru menurut Anwar, penting bagi pemantau dan media antarabangsa bagi menjadikan pilihan raya akan datang berlangsung dengan 'bersih' dan tiada ruang bagi kecurangan berlaku.

No comments: