Saturday, April 23, 2011

Mat Sabu lawan Nasha, Husam pertahan Hadi

Ketika Mohamad Sabu menggerakkan jentera dan penyokong untuk mencabar Nasharudin Mat Isa untuk kerusi Timbalan Presiden PAS, Datuk Husam Musa menunjukkan sikap berbeza apabila mempertahankan Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Husam yang bersaing dengan Mohamad dalam merebut jawatan timbalan presiden pada maktamar 2009 kini menunjukkan sikap berhati-hati dan kelihatan menegaskan perpaduan parti serta mempertahankan presiden.

Husam dilapor berkata apa yang perlu dilakukan PAS ialah memperbaiki parti dan bukan menjatuhkan Abdul Hadi.

Kedudukan Abdul Hadi mula diperkatakan lagi ekoran kenyataan pakar undang-undang yang rapat dengan PAS dan PKR, Prof Dr Abdul Aziz Bari yang Abdul Hadi perlu diganti kerana menjadi liabiliti kepada PAS dan Pakatan Rakyat.

Husam kini menjadi antara tokoh parti yang muncul mempertahankan Abdul Hadi, yang masih dilihat dengan kritikal oleh sesetengah pihak dalam parti kerana dikaitkan dengan pakatan bersama Umno.

Kenyataan Husam itu merupakan kali kedua beliau mempertahankan Abdul Hadi sebagai presiden parti. Sebelum ini Husam menolak pencalonan untuk jawatan timbalan presiden oleh PAS Kawasan Bukit Bintang.

Husam dikatakan tidak mahu bertanding jawatan timbalan presiden pada tahun ini dan akan menumpukan pada Jawatankuasa Pusat.

Husam ialah tokoh yang disebut dipilih oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi timbalan perdana menteri sekiranya projek 16 September, 2008 untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional di peringkat pusat melalui lompat parti berjaya.

Pada masa ini, Mohamad merupakan tokoh yang pertama dan paling jelas menunjukkan kesungguhan untuk bertanding dalam pemilihan muktamar tahun ini yang dijadual awal Jun.

No comments: