Tuesday, April 19, 2011

PRU-13 : PAS Tetap Tanding di Sarawak



KUALA LUMPUR 19 APRIL : PAS akan tetap bertanding merebut kerusi Parlimen di Sarawak pada pilihan raya umum ke-13 walaupun gagal memenangi sebarang kerusi semasa pilihan raya negeri Sarawak, Sabtu lalu.

Tegas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, walaupun parti Islam itu tidak menang di kelima- lima kerusi yang ditandingi namun sokongan kuat pengundi Sarawak menunjukkan parti itu mula diterima.

“Sokongan yang kuat diterima, menunjukkan PAS diterima di Sarawak, namun kekuatan yang ada tidak mampu memberi kemenangan buat masa ini.

“Bagaimanapun kita yakin dengan penerusan gerak kerja yang akan kita lakukan untuk mengembangkan PAS di Sarawak sejurus tamat pilihan raya (negeri Sarawak).

“Malah sudah ada negeri-negeri yang mengambil inisiatif menjadikan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dibantu sebagai DUN angkat, untuk digerakkan PAS di Sarawak dan kita akan bertanding dalam pilihan raya yang akan datang,” katanya.

Pada pilihan raya negeri Sarawak kali ini PAS bertanding lima kerusi iaitu Tanjung Datu, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau dan Beting Maro namun tewas di kesemua kawasan.

Walaupun tiada kerusi dimenangi tetapi undi popular diterima parti itu meningkat.

Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerajaan negeri Sarawak dalam persaingan paling sengit dengan memperoleh 55 kerusi Dewan Undangan Negeri manakala Pakatan Rakyat, yang pertama kali bertanding di bawah perikatan tiga parti pula mendapat 15 kerusi dan Bebas satu.

Tambah Hadi, walaupun masih baru bertapak di Sarawak, namun undi parti itu pada pilihan raya negeri itu meningkat dan ia bukti pengundi mula menerima dasar perjuangan parti Islam itu.

“PAS parti yang baru di Sarawak, walaupun tidak memenangi sebarang kerusi, undi PAS meningkat tinggi di Beting Maro dan bertambah melebihi 100 peratus di beberapa DUN lain yang ditandingi.

“Walaupun kali pertama bertanding di empat DUN yang baru, kita tidak hilang wang pertaruhan. Malah ada banyak peti undi yang kita menang dalam DUN tersebut termasuklah rumah panjang didiami kaum Iban,” katanya.

Jelas Ahli Parlimen Marang itu, PAS akan meneruskan gerak kerja dan Sarawak bagi memperkukuhkan parti itu dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13.- malaysianinsider

No comments: