Friday, April 15, 2011

Rakyat Sarawak tentukan kerajaan negeri hari ini

PRN Sarawak : Rakyat Mula Tentukan Mandat Kerajaan Negeri


KUCHING 16 APRIL : Setelah sepuluh hari berkempen kini lebih 970,000 rakyat Sarawak mula keluar mengundi, sejak 8 pagi tadi, di 71 kerusi Dewan Undangan Negeri dalam pilihan raya negeri ke-10 yang digambarkan paling sengit dalam sejarah Bumi Kenyalang.

Pengundian akan ditutup secara berperingkat-peringkat pada pukul 5 petang ini.

Keseluruhan keputusan akan diketahui menjelang 11 malam ini.

Pilihan raya kali ini juga menyaksikan peningkatan jumlah pengundi dengan 1,748 pusat mengundi dibuka di seluruh negeri itu.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya menjangkakan peratusan pengundian antara 65 hingga 75 peratus daripada 979,796 pemilih berdaftar.

Peratusan pengundian pada 2006 ialah 63.2 peratus.

Seramai 213 calon bertanding merebut 71 kerusi.

Pada kali ini, BN bertanding dan menghadapi saingan di kesemua 71 kerus dengan calon-calon daripada parti komponen BN negeri yang diterajui Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRK) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).

Pada 2006, BN menguasai 62 kerusi pada hari pengundian dan kemudiannya, seorang wakil rakyat dari Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) menyertai komponen itu yang membolehkan BN menguasai 63 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri sebelum pembubarannya.

Seramai 18,363 pemilih telah mengundi secara pos pada Rabu dan Khamis lalu.

Sebanyak 27 kawasan menyaksikan pertandingan satu lawan satu, 23 kawasan (tiga penjuru), 17 (empat penjuru), dua (lima penjuru) manakala dua lagi (enam penjuru).

Pada 2006, pembangkang menawan lapan kerusi dengan enam daripadanya dimenangi DAP yang sebelum itu dikuasai SUPP.

DAP adalah anggota Pakatan Rakyat (PR) dan bertanding di 15 kerusi majoriti Cina dan campuran Cina-Iban. Dua lagi anggota PR ialah Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bertanding di 49 kerusi majoriti Melayu/Melanau dan Dayak, dan PAS di lima kawasan Melayu.

Turut bertanding ialah Snap di 26 kerusi majoriti Dayak, Parti Cinta Malaysia (PCM) di enam kawasan Bumiputera dan 41 calon Bebas. Kumpulan calon Bebas termasuklah 15 calon daripada parti yang masih belum berdaftar, Parti Ekonomi Rakyat Sarawak Bersatu (PERSB), menggunakan simbol kapal terbang dan sembilan anggota PKR yang telah dipecat daripada parti selepas memilih untuk bertanding atas tiket Bebas.

No comments: