Friday, May 27, 2011

Himpunan BERSIH 2.0 akan aman tanpa gangguan polis

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj_PNndnQNa0cD09FHkxzZRNrG-E3yJGrAdxoiuYz8FwtwYe8swyaEFatejBJHRiaCf8n1ADkanL0nSDeGUileboFBTqdXf4FvxsGfVaIURtY0EmHZlYR_jPXCr4kvLQV8Y3865bqHnAcKt/s400/2dc22e15b5348f214999ec2d95afadfa.jpg
SEREMBAN 27 MEI : Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) kesal dengan pandangan cetek Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Tun Hussien yang menyifatkan perhimpunan aman yang dirancang Jawatankuasa Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) kali ke-2, akan memburukkan imej negara.

Pengerusinya, Badrul Hisham Shaharin berkata rekod menunjukkan mana- mana perhimpunan anjuran Pakatan Rakyat, NGO mahupun rakyat kebanyakan berjalan secara aman tetapi akan berakhir dengan kekecohan apabila diganggu oleh anggota keselamatan yang kononnya menerima arahan daripada pihak 'atasan'.

Beliau menambah, Hishammuddin harus menerima hakikat bahawa negara yang mengamalkan demokrasi tulen akan dipandang masyarakat dunia bukannya dikecam, dihina.

Badrul merujuk kepada negara Korea Selatan yang hampir setiap hari ada himpunan aman, namun bilangan pelaburan dan pelancongan negara itu jauh meninggalkan Malaysia.
Fenomena itu katanya membuktikan, daya saing negara dan pengiktirafan dunia pasti datang seiring dengan pelaksanaan demokrasi yang adil dalam negara.
SAMM juga menolak cadangan sempit Hishammuddin untuk BERSIH 2 diadakan dalam stadium.

Badrul berkata, cadangan ini jelas menunjukkan sikap berat sebelah Hishammuddin dan KDN. Ini berikutan mereka seolah- olah menutup mata, memekakkan telinga kepada segala protes yang dianjurkan pemuda UMNO dan Pertubuhan Peribumi Perkasa (PERKASA).

Tetapi pantas bertindak kepada perhimpunan aman yang digerakkan pihak yang tidak memihak kepada kerajaan pemerintah.

Badrul berkata himpunan BERSIH 2 tidak dapat dielakkan daripada diadakan berikutan banyak tuntutan yang diajukan pada himpunan kali pertama masih tidak diendahkan kerajaan pemerintah.

Antaranya penggunaan dakwat kekal, media yang bebas, pemansuhan undi pos dan pembersihan daftar pemilih.

Dua tuntutan tambahan akan dimajukan pada himpunan kali ini, ia adalah dakwaan penyalahgunaan institusi kerajaan dalam pilihan raya sehingga rakyat tidak dapat menilai antara parti politik dan kerajaan, dan melanjutkan tempoh pilihan raya di peringkat kebangsaan dengan ‘tempoh yang lebih munasabah’ berbanding tempoh lapan hari yang dianggap sebagai terlalu singkat.

Himpunan BERSIH 2, bertemakan 'Walk For Democracy', dijadualkan diadakan pada 9 Julai 2011 di Kuala Lumpur.

Himpunan ini melangkaui mana- mana parti politik berikutan ia hanya refrendum suara hati rakyat marhaen agar pilihan raya dinegara ini diadakan dalam keadaan adil dan saksama.

No comments: